Showing posts with label Sad Story. Show all posts
Showing posts with label Sad Story. Show all posts

Sunday, July 6, 2008

Air Mata Di Malam Pertama


Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam.

Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernak kukenali pilihan keluarga. Aku pasrah.
Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.
"Ana dah jadi isteri! " Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul.

"Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti."Doaku perlahan.
Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku sudah bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti.

"Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti"Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati.
Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.

"Assalamualaikum!" Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya.

Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku.
"Sayang"..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya.

Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud kejari manisku.
"Abang".. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku.
"Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana kepangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang.."Bisikku perlahan. " Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia." Janjinya padaku.

Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku.
Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu.
Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi.
Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu.

Aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami.
"Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana".Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulakan bicaranya.

"Apa dia ayah, mak? Macam penting je" Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka.
"Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana."
"Apa!!!"Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?" Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.

"Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?"Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian.

"Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana. "Ujar mak setelah sekian lama membisu.
"Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya."Terang ayah lagi.
"Ana.." Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa.
"Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.";

"Ini cincinnya, pakailah." Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini.
"Ahhhhgggg..."Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni.

"Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu." Ujar ayah padaku.
Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah satu agenda yang tidak boleh dilupakan.
Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik.

Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu.

Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami."

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin."
Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman. aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan.
"Bang, maafkan Ana!" Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus.
"Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang."Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku.
Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.

"Abang nak kemana tu?"Soalku.
"Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi."Jawabnya.
"Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi."Aku kesian melihatnya, keletihan.
"Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah." Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu.

"Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya." Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah.

Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.
"Bila Ana turun?" Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja.
" Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang."
"Maafkan abang sayang." Dia menghampiriku.
"Sayang tak marahkan?" Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat.

Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku.
"Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita." Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku.
"Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang."Jawabnya tersenyum.
"Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi."
"Betul ni?"Soal suamiku cepat-cepat.
"Ish..;gatal la abang ni!" Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku.

Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi. Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri.

Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku.

"Apa yang Ana menungkan ni?"Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang.
"Abang ni, terkejut Ana tau!" Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk.

"Alaa..sayang ni.macam tu pun nak marah." Usiknya sambil mencubit pipiku.
"Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!" Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.
"Sayang..." Seru suamiku sambil merangkul tubuhku.

"Sayang nak honeymoon ke mana?" Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu.
"Ana ikut aje ke mana abang nak bawa."
"Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?" Guraunya.
"Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?" Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa.
"Nanti sayang nak berapa orang anak?" Soalnya lagi setelah ketawanya reda.
"Abang nak berapa?" Soalku kembali tanpa menjawab soalannya.
"Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?"

"Ish...abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?" Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa.
"Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan."
"Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup." Penjelasanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira.
"Ni yang buat abang tambah sayang ni." Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku.
Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

"Zul, Ana! Jom kita makan dulu!" Suara mak memanggil.
"Mari bang! Ana pun dah lapar ni." Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam.
Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik.

Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukenali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu bertahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apataha lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

"Mampukah akau menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?" Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

"Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku."
"Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan.
Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti?
Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

"Masuklah, pintu tak berkunci." Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku.
Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku.
" Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?" Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku.

Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu.
"Habistu apa yang sayang menungkan ni?"
"Ana takut bang!" Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya.
Dia memelukku erat sambil membelai rambutku.
" Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita." Pujuk suamiku.
" Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut.." Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.

" Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang! " Bisiknya.
Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku.

" Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit." Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang.
Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai.
Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.

"Ayah, mak! Ana dah buat keputusan." Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari.

Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri.
" Keputusan tentang apa?" Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat.
" Pasal peminangan tu." Ujarku.
Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku.
" Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih." Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari.

Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.
" Syukurlah, moga Ana bahagia nanti." Ucap ayah padaku.
Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku.

"Nanti mak kenalkan dia pada Ana." Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka.
" Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje." Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat.

" Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya." Ayah mempersoalkan keputusanku itu.
" Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?" Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.
Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku.

" Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah." Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan.
" Baik bang. Bang, ni baju abang." Ujarku sambil bangun untuk ke dapur.
Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi.
" Patutlah." Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang.
Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik.

Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan.
Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya.
Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

"Bang...."Seruku.
"Ada apa sayang?" Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya.
"Malam ni abang nak.....nak....."Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya... " Nak apa sayang?" Soalnya lagi sambil tersenyum.
"Ah..abang ni..."Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku.
"Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?" Bisiknya ketelingaku.

Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

"Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!" Bisik suamiku.
" Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia." Jawabku.
Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul.

Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama lading dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk memperaktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda:
"Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."
Rasulullah bersabda:
"Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu."
Rasulullah bersabda:
"Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."

Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."
Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang.

Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah. Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya.
"Abang tak apa-apa?" Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui.
"Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot."Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam.
"Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu." Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pajama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu.
"Nakallah abang ni." Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar.

Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam.
Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu.
Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku. Aku lihat muka suamiku agak kepucatan.
"Kenapa ni bang?" Soalku sewaktu bersalaman dengannya.
" Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni.."
"Zul sakit ke?" Tanya ayah.
"Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot."Jawabnya.
"Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak." Sampuk mak.
"Nanti Ana ambilkan ubat." Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat.

Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air.
Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan.
"Terima kasih." Ucapnya perlahan. Aku angguk.
"Abang berehatlah." Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.
"Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang."
" Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah."
"Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan."
"Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah."Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya.
"Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan saying. Sayanglah satu-satunya buah hati abang." Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja.
Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik.
"Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea"
"Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya." Ujarnya perlahan.
"Abang tidurlah." Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu.

Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga. Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat.

Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku.
Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.
" Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana." Pujuk emak.
Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjengok dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku.
Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.
Amin..


Seruling Senja
4 Mei 2003
4.08 pagi
G 1.3 Kolej Bilal
Uia Gombak.
serulingsenja@hotmail.com

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Friday, July 4, 2008

Hanya Tinggal Kenangan

Hanya Tinggal Kenangan...

Hasil Karya: mar dhea
Disenarai Pada: 06 May, 2008


Rintik-rintik hujan persis tahu isi hati gadis itu. Dia termenung lagi di jendela. Menyulam kasih yang tiada kunjung tiba. ‘Ibu...’ Hatinya berbisik perlahan. "Humaira rindukan ibu..." Terungkap jua kata-kata rindu. Suara esak tangis kedengaran berbalam dari balik pintu bilik Humaira. Mak Esah tidak dapat membendung duka hatinya. Kudrat tua yang membesarkan Humaira berdiri teguh bersandarkan pintu. Biarpun tiada balasan untuk semua itu, dia pasrah. Cukuplah Humaira sudah banyak menggembirakan hatinya.

Air mata yang mengalir di kesat perlahan. Baju kurung kedah yang tersarung lecun dek air mata. Hatinya diruntun pilu. Dia tidak rela anak gadis itu terluka lagi. Sudah acap kali dia melihat Humaira termenung sendirian di jendela itu. Tiap kali itu jugalah perkataan ‘ibu’ menampar gegendang telinganya. Sudah jelas anak itu rindukan ibunya. Hampir tujuh belas tahun berpisah masakan tiada rindu bermukim di hati itu.

"Humaira..."

Humaira berpaling. Air mata yang mengalir lantas di kesat. Laju tingkahnya. Barangkali tidak mahu Mak Esah tahu.

"Ya..mak..." Tingkah Humaira.

"Apa yang Humaira buat kat tingkap tu?" Ujar Mak Esah tenang. Suara yang sedikit serak cuba di lembutkan.

"Tak ada apa mak..Humaira saja nak ambil angin.." Secalit senyuman hambar terbit dari bibir itu. Garis-garis duka jelas kelihatan.

Mak Esah tarik nafas panjang-panjang. Berusaha untuk mengukir kata. Tingkah Humaira membuatkannya risau. Dia tahu anaknya yang satu itu.

"Humaira..mak tahu Humaira rindukan ibu Humaira..tapi Humaira tak boleh ikutkan hati.." Ujar Mak Esah. Tangan Humaira di genggam erat. Humaira hanya menunduk.

"Maafkan Humaira, mak..." Sahut Humaira perlahan. Esak tangisnya kedengaran lagi. Hati Mak Esah turut diruntun pilu.

******************************

Di balik pintu, kelihatan ada yang menanggung benci. Bibir mulusnya diketap perlahan. Benci melihat situasi itu. Api kemarahannya meluap. Zulaikha lantas membawa diri ke anjung rumah. Mual menyaksikan sandiwara itu.

‘Pura-pura baik konon..meluat aku...’ Desis hatinya. Air matanya bergenang. Ditabahkan hati supaya air berharga itu tidak tumpah. Dada yang terasa sesak di urut perlahan.

"Dasar tak tahu malu!" Ujar Zulaikha lantang.

"Zulaikha..."

Suara si ayah mengejutkan gadis itu. Nafas ditarik perlahan. ‘Apalah ayah ni..buat orang terkejut aje..’ Bentak hatinya.

"Ye ayah.." Zulaikha menjawab acuh tak acuh. Wajah ayah ditenung perlahan. Menanti kata yang bakal terhambur dari bibir ayah. "Apa yang kau buat kat situ? Bercakap sorang-sorang pula.." Tanya ayah. Dirinya sedari tadi menonton tingkah anak gadisnya itu. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir. Tidak senang duduk betahnya. Alih-alih bercakap seorang diri.

"Tak ada apalah ayah..." Jawab Zulaikha tenang. Malas mahu melayan soalan si ayah, kaki yang terasa berat di ayun juga ke dapur. Pak Zali menggeleng lemah. Lantas surat khabar diatas meja dicapai dan dibuka isi kandungannya.

**********************

"Kak Ika..."

Panggilan yang satu itu dibiarkan saja. Tangannya masih ligat mengupas bawang.

"Kak Ika..."

Tingkahnya tadi cepat, perlahan tiba-tiba. Zulaikha panggung kepala. Dahinya berkerut menahan marah. Segala tindakannya tadi terbantut gara-gara Humaira. Hatinya bengang.

"Kau tak nampak ke aku tengah sibuk ni??" Bentak Zulaikha garang. Humaira hanya menunduk. Takut menyaksikan wajah garang Zulaikha.

"Maafkan Humaira, kak" ujar Humaira lembut. Mahu memenangi hati kakak angkatnya itu. Biarpun dia tahu sikap Zulaikha yang sentiasa dingin dengannya, dia tidak pernah sekalipun membenci gadis itu.

"Maaf..maaf..itu saja yang kau tahu...duduk kat rumah ni bukannya buat apa-apa... Alih-alih aku yang kena buat..tak guna mak bela kau dari kecil.. Sedarlah diri tu sikit... Dah lah cacat!" Ujar Zulaikha lantang. Dirinya puas. Senyuman sinis terbit dari bibirnya.

Humaira hanya menunduk. Hatinya pilu mendengar kata Zulaikha. Dia sedar kekurangan dirinya. Sudah tujuh belas tahun dia tinggal di rumah usang itu, tiada satu pun bantuan yang dihulurkannya. Kecacatan yang di alami membuatkannya sukar untuk menolong Zulaikha mahupun Mak Esah. Humaira tetap menunduk.

"Apa lagi yang tercegat kat situ? Dah..pergi..menyibuk je kat sini!" Zulaikha bersuara setelah tiada riaksi dari Humaira. Humaira panggung kepala. Ditatap tenang wajah bersih si kakak. Senyuman di ulum tanda mengerti.

Zulaikha yang menyaksikan tingkah itu meluat. Dia mencebik sambil tangannya ligat mengupas bawang. ‘Dia ingat dia bagus sangat ker?’ Desis hati Zulaikha benci.

**********************

"Humaira ke mana tadi?" Tanya Mak Esah setelah kelibat Humaira kelihatan.

"Humaira jenguk kak Ika kat dapur..Humaira bosan tak ada buat apa-apa.." Jawab Humaira tenang. Senyuman manis terukir dari bibir gadis itu. Hati Mak Esah senang melihat tingkah Humaira. Lengan gadis itu di usap perlahan.

"Humaira tak payah lah nak pergi kat dapur tu..Humaira duduk jer kat ruang tamu.. Baca surat khabar ker??? Hilang juga rasa bosan.. Biar kak Ika je yang buat kerja kat dapur tu..." Ujar Mak Esah tenang. Wajah Humaira ditilik perlahan. Menanti riaksi gadis itu.

"Baik lah, mak" Humaira melangkah ke ruang tamu. Terkial-kial dia mencapai surat khabar di atas meja.

Kelibat Zulaikha di balik pintu dapur menerjah ruang mata Mak Esah. Mata mereka bertemu. Zulaikha merengus perlahan.

"Ika!"

Zulaikha berpaling. Mata Mak Esah ditatap. Tajam. "Ye mak..." Dia bersuara perlahan. Selamba saja lagaknya. Tangannya kembali ligat mengupas bawang. Sudah separuh bawang di dalam bakul kecil itu dikupasnya. Itu pun atas arahan Mak Esah. Kalau ikutkan hati, tak kuasa dia mahu membuat kerja remeh begitu.

"Ika..kenapa pandang mak macam tu?" Tanya Mak Esah lantang. Mahu mengajar si anak yang semakin hari semakin biadap. "Mak...Ika pandang macam mana ke? Suka hati Ika lah.. Mak sibuk pasal apa..." Jawab Zulaikha lantang. Hatinya geram dengan tuduhan Mak Esah yang melulu terhadapnya. Dia cuma memandang. Adakah itu salah?

Rengusan demi rengusan terbit dari bibir gadis itu. Mak Esah memandang kurang percaya. Hati nya panas. Zulaikha dirasakan sudah keterlaluan.

"Anak kurang ajar! Siapa yang ajar kau jadi biadap macam ni?" Bentak Mak Esah garang.

"Siapa ajar Zulaikha jadi biadap? Mak tanyalah diri mak tu sendiri..siapa yang ajar Zulaikha jadi biadap?!" Zulaikha termengah-mengah menahan marah. Darah dirasakan meruap hingga ke kepala. Sakit hatinya bukan kepalang.

"Anak kurang ajar!!!" Mak Esah sudah hilang pertimbangan. Tangan dinaikkan mahu menampar anak kurang ajar itu.

"Mak!"

Teriak Humaira lantang. Perbuatan Mak Esah terbantut apabila mendengar suara Humaira. Zulaikha menahan rasa. Semakin meluat apabila melihat wajah itu. Zulaikha menghentakkan kaki dan berlalu ke biliknya.

"Zulaikha!"

Humaira menahan tubuh Mak Esah dari terus melulu. Dia takut Zulaikha akan di apa-apakan oleh Mak Esah. Sedari tadi dia mendengar suara orang berbalah. Lantas kakinya di ayun ke dapur. Dia menjerit sekuat hati apabila melihat Mak Esah mahu menampar pipi Zulaikha.

"Sudah lah mak...maafkan kak Ika..dia tak sengaja tu.." Ujar Humaira mahu meredakan perasaan marah Mak Esah. Diusap lembut lengan tua itu.

Air mata yang sedari tadi ditahan, mengalir jua di tubir mata. Dia kesal dengan sikap Zulaikha terhadapnya. Sembilan bulan mengandungkan si anak, inikah balasan yang di terima? Mak Esah menunduk. Perasan kesal tidak sudah-sudah menghimpit jiwanya.

"Ya Allah! Apakah dosa aku? Sehingga aku di perlakukan begini..." Suara Mak Esah yang tersekat-sekat meruntun jiwa Humaira. Tangan Mak Esah digenggam erat. Sebak di dada menuntut air mata. Tanpa sedar, mengalir jua air mata si gadis. Mak Esah memeluk erat tubuh Humaira.

Sementara di dalam bilik, Zulaikha tidak sudah-sudah menyumpah seranah. Benci melihat wajah polos itu. Wajah yang dirasakan mengganggu kehidupannya.

******************

Angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut wajah Humaira. Ketenangan dirasa menusuk jauh ke dalam hati. Dia bersyukur kerana di kurniakan ketenangan dalam hidupnya. Meskipun tiada ibu dan bapa kandung di sisi, dia tegar. Itulah lumrah hidup. Tidak semesti apa yang diingini akan dapat diperolehi. Biarpun benda itu ada di depan mata.

"Oi! Ehwah-ehwah! Bersenang-lenang kau kat sini yer...selama ni, aku bersabar jer dengan kau.." Bentak Zulaikha tiba-tiba. Humaira mengurut dadanya perlahan. Terkejut dengan sergahan Zulaikha.

"Kenapa kak?" Tanya Humaira setelah keadaan dirinya beransur tenang. Wajah bersih Zulaikha di tatap perlahan.

"Kenapa? Kau ingat mak dan ayah tak ada kat rumah ni kau boleh duduk senang-lenang ker?..dah..jangan nak tercegat kat situ lagi..tolong aku kat dapur..." Zulaikha segera berlalu. Meluat menatap wajah polos itu lama-lama.

"Baik.."

Humaira mengekori langkah Zulaikha ke dapur. Berbagai persoalan menerpa fikirannya. Mengingatkan sikap Zulaikha yang dingin terhadapnya dia jadi takut. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. ‘Kak Ika nak suruh aku buat apa?’ Desis hatinya gusar.

"Nah! Kau tolong aku potong sayur ni..lepas tu basuh.." Arah Zulaikha. Humaira yang mendengar hanya tercegat disitu. "Apasal tecegat lagi ni??" Ujar Zulaikha lantang. Muak melihat wajah simpati gadis itu. Bibir Humaira yang kelihatan ingin membicarakan sesuatu dibiarkan saja. Zulaikha segera berlalu ke ruang tamu. Malas mahu berlama-lama disitu.

Humaira menatap timbunan sayur-mayur itu dengan wajah yang kelat. Air liur di telan berkali-kali. "Macam mana aku nak buat semua ni?" Ujarnya perlahan. Pisau di atas meja dicapai perlahan. Terkial-kial dia mencapai pisau itu. ‘Nak capai sesuatu pun susah, inikan pula nak potong sayur..macam mana ni?’ Desis hatinya sayu. Dadanya tiba-tiba merasa sebak. Ingin menangis lagaknya.

****************************

"Ah!"

Humaira menjerit lantang. Pisau yang dipegangnya terlepas dari tangan lalu mencucuk kakinya. Sakit yang dirasakan bukan kepalang. Dia menjerit semahunya.

"Apa yang kau menjerit tu hah! Diam lah!" Teriak Zulaikha lantang dari ruang tamu. Perhatiannya terhadap rancangan di televisyen usang ayah terganggu akibat jeritan Humaira.

"Kak!" Ujar Humaira sayup-sayup. Pandangannya berpinar. Dia terhuyung-hayang di dapur usang itu.

"Allah!" Sakitnya menjadi-jadi apabila dirasakan bahagian belakang badannya di cucuk sesuatu. Dia jatuh terjelepok ke lantai. Sakit yang dirasakan menusuk-nusuk. Pandangannya berpinar-pinar. Kelibat kak Ika yang kabur kelihatan di ruang mata. Kedengaran Kak Ika menjerit lantang namanya.

"Apasal kau ni ah! Aku dah kata diam..diam lah..." Ujar Zulaikha lantang. Dia berlalu ke dapur rumah. Bengang dengan sikap Humaira.

"Humaira!..kenapa ni?" Zulaikha terpana. Darah merah memercik keluar dari tubuh itu. Zulaikha buntu. Rasa simpati terbit dari lubuk hatinya. Dia berusaha memapah Humaira.

"Mak! Tolong Humaira mak!" Jerit Zulaikha lantang. Air mata mengalir deras dari tubir matanya. Nafas Humaira kedengaran berombak.

"Ya Allah! Tolong...tolong!" Zulaikha menjerit semahunya. Badan Humaira dilihat bergetar-getar. Dia buntu mahu berbuat apa.

"Humaira!" Suara Mak Esah kedengaran dari pintu dapur usang itu. Berjengket-jengket dia berlari ke arah Humaira. Hatinya tidak keruan apabila mendengar jeritan Zulaikha. Apa yang dimahu si anak? Dia sendiri tidak tahu. Alih-alih, di ayunkan jua kakinya ke dapur.

"Kenapa ni Humaira???...abang!" Mak Esah sudah tidak keruan lagaknya. Nama Pak Zali di jerit lantang.

"Ibu....." Ujar Humaira perlahan.

Esak tangisan Mak Esah semakin kuat. Hatinya pilu mendengar ungkapan itu.

"Lekas..kita bawa dia ke hospital.." Ujar Pak Zali lantang. Dia berusaha memapah Humaira dengan bantuan Zulaikha.

********************

Suasana suram di hospital itu mencengkam kuat tulang sumsum Zulaikha. Hatinya bagai mahu pecah. Dia menyesal dengan perbuatannya terhadap Humaira selama ini. Kerana benci, dia sanggup berbuat kejam terhadap adik angkatnya itu. Air matanya terus-terusan mengalir bagai tidak mahu berhenti.

Dipandang sayu Mak Esah di sebelah. Kelihatan ibu tua itu berusaha menahan sendu. Bicara sudah tidak lagi menggamit suasana sebaliknya hanya tangisan yang kedengaran.

"Mak Esah..."

Satu suara asing menjengah ruang pendengaran Zulaikha. Wanita dalam likungan 40 an itu dipandang asyik. Kini Mak Esah dalam dakapannya. Berbagai persoalan menerpa ruang minda gadis itu. Siapakah wanita itu?

"Zarina!" Ujar Mak Esah sayu. Gema tangisannya semakin kuat. Siapa Zarina? Hati Zulaikha bertanya sendiri.

Wanita yang bergelar Zarina itu menerpa ke arahnya. Dikucup sayu tangan itu tanda hormat. Senyuman tetap di ukir biarpun hambar.

"Macam mana keadaan Humaira kak?" Zarina memandang Mak Esah asyik. Menanti kata yang bakal dihamburkan. Kelibat Mak Esah yang menunduk menambahkan resah di hatinya. Tangannya cepat mengoncang tubuh Mak Esah yang kaku.

Mak Esah panggung kepala. Wajah Zarina di tatap perlahan.

"Kakak tak tahu Zarina. Doktor belum keluar lagi." Ujar Mak Esah dalam tangisan. "Ya Allah!" Zarina meraup wajahnya perlahan. Hatinya resah bila Mak Esah menelefon memberitahu perihal Humaira kepadanya. Ibu mana yang tidak kasihan mendengar anaknya di timpa bencana. Tanpa memperdulikan kerja yang berlambak di pejabat, dia segera memecut keretanya ke hospital.

"Puan Asiah.."

Mak Esah segera menerpa ke arah doktor yang merawat Humaira. Begitu juga dengan Zarina. Hati Zulaikha resah tidak menentu. Wajah doktor di hadapannya ditatap asyik.

"Puan Asiah..diharapkan puan bersabar. Humaira berada dalam keadaan yang amat kritikal sekarang. Kami masih sedaya upaya merawatnya. Maafkan saya, sekiranya saya mengatakan bahawa peluang Humaira untuk hidup amat tipis"

Kata-kata yang terhambur dari bibir Dr. Aril meluruhkan seluruh jiwa Mak Esah mahupun Zarina. Humaira kini berada dalam keadaan yang amat kritikal. Zulaikha melopong tidak percaya. Dia dihantui rasa bersalah yang teramat. Senyuman manis Humaira berlegar-legar dimindanya.

‘Maafkan kakak, dik....’ Zulaikha menekup wajahnya. Air mata tidak putus-putus mengalir dari tubir mata. Dia menyesal. Sungguh menyesal. Kerana benci dia sanggup berlaku kejam terhadap adiknya sendiri.

Sementara Zarina tergamam tidak percaya. Air mata yang sedari tadi ditahan mengalir jua akhirnya. Kekesalan yang bermukim di hatinya membuatkan nafasnya sesak. Lantas tangan Mak Esah digenggam erat.

"Boleh kami jenguk dia doktor?" Tanya Pak Zali setelah sekian lama mendiamkan diri. Dr. Aril hanya sekadar mengangguk.

Ruang putih itu jelas mendamaikan lubuk jiwa Zulaikha. Wajah kaku Humaira di atas katil ditatap sayu. Sekali lagi air matanya jatuh ke pipi.

‘Maafkan kakak, dik..maafkan kakak!’ Desis hatinya hiba. Wajah sayu Mak Esah di tatap bersama tangisan. Bahu Mak Esah terinjut-injut menahan sendu. Hiba dihatinya tidak tertanggung lagi apabila melihat keadaan Humaira yang sebegitu rupa. Wajahnya ternyata pucat tidak bermaya.

"Humaira..ibu datang sayang..bukalah mata.." Kata-kata Zarina yang menggenggam erat tangan Humaira meluruhkan seluruh jiwa Mak Esah. ‘Kalaulah Humaira sempat berjumpa dengan Zarina, ibunya...alangkah gembiranya dia..’ Esak tangisnya kedengaran lagi. Hanya tangisan yang menghantui suasana.


"Ibu...." Suara serak basah itu merubah suasana yang tegang sebelum ini. "Humaira...." Zarina berbisik perlahan. Ditatap asyik wajah Humaira. Jari halus Humaira di usap lembut. "Ibu.." Suara itu berkumandang lagi. Kini lebih jelas. Sinar gembira terpancar dari wajah bersih Zarina.

"Ya sayang...ibu datang..." Zarina mengesat perlahan air matanya yang gugur.

"Ibu..Hu...maira...rin..dukan ibu.." Rintih Humaira. Dadanya kelihatan berombak apabila mengungkapkan kata-kata. "Ibu pun rindukan Humaira...." Ungkap Zarina bersama esakan.

"Maafkan Humaira, bu...Hu..maira tak dapat bersama ibu..."

"Jangan kata begitu sayang...tak baik.." Hati Zarina di palu resah apabila mendengar kata-kata Humaira. Humaira anaknya. Dia tidak rela berpisah lagi dengan Humaira setelah tujuh belas tahun menanggung rindu. Ya! Memang dulu dia jahil. Kata-kata Hisyam, bekas suaminya di turuti tanpa bantahan. Lelaki itu mengatakan bahawa Humaira anak sial yang bakal melumpuhkan perniagaannya. Dengan keadaan Humaira yang cacat, dia percaya akan kata-kata suaminya itu. Oleh sebab itu, dia memberikan Humaira kepada Mak Esah. Setelah sepuluh tahun berlalu, Hisyam meninggalkannya dengan menggelapkan duit syarikat perusahaannya.

‘Alangkah bodohnya aku!’ Bisik Zarina di dalam hati. Mengenali Hisyam umpama mimpi ngeri baginya. Dia sanggup membuang anak sendiri kerana terlalu mengikut hati.

"Ibu...ibu...." Ungkap Humaira perlahan. Pandangannya kabur. Sakit di dada terasa menusuk-nusuk. Tetapi hatinya di hiasi kegembiraan. Dia tahu, dia tidak akan menanggung kesakitan ini lagi nanti. Dia akan aman dan tenang di ‘alam’ itu. Perlahan-perlahan dia menutup mata.

"Humaira!!!!!!!!!!"

‘Segalanya indah di sini...ibu, jangan risaukan Humaira..Humaira dah bebas..maafkan Humaira kerana tak dapat bersama ibu...maafkan Humaira, mak..Humaira tak sempat nak ucap terima kasih kepada mak...ayah, maafkan Humaira ayah...dan kak Zulaikha...Humaira sayangkan kakak..Humaira maafkan kakak seikhlas hati... Selamat Tinggal semua...’


Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Wednesday, July 2, 2008

Kisah Benar : Perginya Jantung Hati Kami

SECEBIS KISAH - Perginya jantung hati kami


Perginya jantung hati kami
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tuesday, October 18 @ 10:17:58 MYT

Rabu, 5 Oktober, 1 Ramadhan, jam 8.15 pagi. Segalanya berhenti. Deru angin, kicau burung, juga lintasan dan angan-angan. Dengan lembut roh Nurul Syafiqah bt Siti Hawa, 11 tahun, anak kedua kami dipisahkan dari jasadnya sehingga saya, isteri dan tiga putera lainnya, Ahmad Luqman Hakim, Ahmad Ikmal Syafiq dan Umar Mukhtar menyangkanya tertidur nyenyak.

Tragedi tidak bermula Subuh awal puasa itu.

Aturan Ilahi tentang kematian kerap menyentap, mengejutkan lena, memancung cita-cita, namun punya rahsia tersembunyi, yang mungkin tidak terbongkar sampai bila-bila.

Jumaat, 30 September, 12.45 tengahari. Syafiqah telefon dari sekolah. "Akak tertinggal bas, boleh ayah ambil?" Saya terdiam, banyak kerja mesti disiapkan; artikel politik kampus untuk harakahdaily baru setengah jalan. "Akak jalan kaki, ya?" pintas Syafiqah selepas saya membatu.

Semalaman membakar pizza

"Tapi banyak barang kena bawa ni," asaknya tanpa nada mendesak. Hari itu Syafiqah 'menjamu' guru-gurunya dengan juadah pizza masakan ibunya. Semalaman dia menunggu pizza dibakar oven. Sememangnya Syafiqah suka sekali membawa makanan ke sekolah, tidak lama dulu nasi daging.

Sehingga dia mengalah, saya langsung tidak terasa apa-apa bahawa Syafiqah mulai letih dengan demam dan sakit tekak yang dideritainya. Petangnya Syafiqah telefon maklumkan dia dapat tumpang kawannya balik.

Malamnya, apabila sampai depan rumah, lambat pula Syafiqah buka pagar. "Awat lambat?" Saya merungut walaupun cahaya lampu kereta menyerlahkan muka Syafiqah yang pucat.
"Akak cari tudung."
"Malam gelap, tak ada siapa nampak," jawab kebodohan saya. Ketika itu tidak teringat langsung bahawa Syafiqah kini cukup prihatin dengan aurat. Nak masukkan karung sampah di belakang rumah pun Syafiqah pastikan bertudung dulu.

Set nasi ayam

Sabtu, 1 Oktober, sepatutnya saya tunaikan janji dengan Syafiqah. Selepas tamat UPSR dan PSRA, dua hari sebelum itu, Syafiqah minta set nasi Ayamas.

"RM5 saja ayah. Akak teringin nak makan dengan kawan. Kami jalan kaki pun boleh." Masya-Allah, saya seolah-olah tidak mendengarnya sambil memberi jawapan tidak pasti, "esok ... esok."

Isteri saya, Siti Hawa memberitahu Syafiqah tidak selera makan malam tadi apabila saya minta izin ke KL hadiri mesyuarat penggerak demokrasi bersama Mat Sabu. Nasi goreng kampung dengan sambal belacan kegemarannya hanya ditatap, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Saya masih tidak terasa apa-apa sedangkan takdir hanya menunggu masa.

"Ayah pi sekejap aja, sebelum tengahari selesai, nanti malam kita balik kampung," kata saya kepada Syafiqah sambil berjalan ke kereta. Raut muka cerianya seperti terlindung. Saya seakan terlupa Syafiqah anak berjiwa kental, sesekali tidak menunjukkan rasa sakit minta dimanja walaupun sememangnya sedang menderita.

Lewat petang, selepas menukar tayar kereta di Hulu Kelang, memecut laju ke asrama anak sulung kami, Luqman, di SAM 10, Cheras. Aduhai, janji dengan Syafiqah sudah luput.

"Bawa akak ke klinik, tekak makin perit," katanya, juga tanpa menunjukkan rasa sakit.

Masih sempat bermain-main

Klinik famili kami, Dr Mahyuddin Yassin tutup. Saya ke klinik sebelah, dekat Taman Sri Ampang. Semasa menunggu, Syafiqah bermain-main dengan dua anak kecil. Nampak letih tetapi tetap gembira.

Saya berbisik, "Nak balik kampung?" "Ayah baliklah dulu, akak boleh tinggal dengan nenek," balasnya.

Ketika neneknya datang malam itu, kami sudah bersiap nak balik Kedah. Syafiqah tenang saja. Kalau anak lain tentu akan merengek. Emak mentua saya akan membawanya ke hospital periksa darah, takut-takut denggi.

Dalam perjalanan kami dimaklumkan Syafiqah tidak diserang demam maut itu. Lega. Melalui SMS, dan itu kali pertama Syafiqah menggunakannya, dia bertanya, "ayah di mana?" Sambil melintasi Taiping, saya menjawab. Selang beberapa lama nada SMS berbunyi, juga dari Syafiqah, soalan sama, di samping memberitahu dia muntah.

5 pagi, kami sampai di Kampung Raja, Kubang Pasu. Saya maklumkan kepada Syafiqah. Kemudiannya kami diberitahu Syafiqah malam itu asyik sembang dengan neneknya, maklumkan kandungan SMS.

Ahad, pagi ke petang (begitu juga Isnin) temujanji saya padat di Alor Setar, Syafiqah terus SMS. "Mulut akak pahit, nak buat macamana." Saya menjawab, dan Syafiqah bertanya hal lain pula. Sehingga malam baru saya sedari SMS tadi rupanya "gagal dihantar". Ya Allah, rupanya Syafiqah terus menunggu dan menunggu ...

Selasa pagi kami berangkat pulang. Walaupun jangkanya dapat bertolak sebelum jam 10, tapi disebabkan singgah banyak rumah saudara-mara, itu pun tidak sempat menziarahi pusara bonda Aisyah (sesuatu yang tidak pernah saya tinggalkan jika balik kampung), menjelang 1 tengahari baru kami keluar ke Pekan Tunjang, seterusnya ke Lebuhraya Utara Selatan.

Di rumah neneknya, Syafiqah makin lemah tidak berselera makan, dan asyik menyebut nama ayah dan ibunya. Tapi bicaranya tetap ramah, suaranya masih bertenaga. Kami solat Maghrib di R&R Sg Buloh. Syafiqah desak saya jemput. Sekali lagi, ayah yang tidak mengerti perasaan anak di hujung usia itu, minta tangguh esoknya, atas alasan letih.

Celoteh bersama Luqman

Syafiqah berkeras. Dia menggesa nenek dan pamannya hantar segera ke Bukit Ampang. Ketika Syafiqah tiba, saya keletihan di katil. Namun terdengar juga celotehnya dengan Luqman. Dia bercerita tentang bagaimana darahnya diperiksa. Saya dimaklumkan kemudiannya, Luqman pun tidak memberikan respons sewajarnya, juga kerana letih dan mengantuk.

Awal pagi terdengar Syafiqah asyik masuk keluar bilik air, muntah. Ibunya berlari-lari anak menyantuni, antara Syafiqah dan adik kecilnya, Nurin Afifah, 2 tahun, yang juga terbatuk-batuk. Setengah jam sebelum Subuh kami sekeluarga di meja makan, bersahur, termasuk Syafiqah.

"Fiqah tak payah posalah," kata saya. Ampun Tuhan, suara suara agak tinggi minta Syafiqah kembali tidur dan berehat, kebetulan kerusi di meja makan tidak cukup untuk semua kami.

7.45 pagi, 1 Ramadhan, isteri mengejutkan lena saya. Syafiqah menjerit:"Ibu, sakit! Ibu, sakit! Dari atas saya mendengar suara Syafiqah cukup kuat, tidak pernah dia menjerit selantang itu.

Melihat keadaannya, jantung saya berdegup kencang. Taqdir makin dekat. Tahu ibunya menyidai basuhan, Syafiqah bersuara, agak perlahan: "Dahlah ibu, suruh abang sidai kain, akak sakit ni."

Kuatnya semangat Syafiqah

Tapi bicara Syafiqah masih jelas, dia sendiri minta ke hospital. Saya renung matanya, langsung tidak berair, maknanya dia hanya menjerit bukan menangis. Ya Allah, kuatnya semangat anakku ini. Sememangnya sejak malam tadi saya berkira untuk ke hospital pagi-pagi esoknya.

Namun, saya dan Siti langsung tidak terlintas Syafiqah akan berangkat ke alam lain, meninggalkan fitnah dunia. Rupanya Siti sudah memandi dan membersihkan tubuhnya.

"Bagai bayi saya mandikan Syafiqah, cuci rambutnya. Nampak kakinya kuning, tubuhnya sejuk, tapi langsung tidak terbayang dia mahu pergi selamanya," cerita Siti kemudiannya kepada kawan-kawan yang menziarahi.

8.00 pagi. Suara Syafiqah tetap jelas bila meminta saya memapahnya keluar dari bilik solat. Bersama Siti, saya menuntunnya ke ruang tengah. Selepas didudukkan, saya perhatikan wajahnya seolah-olah tanpa darah. Ketika itu baru lintasan hati mengilhamkan sesuatu yang pedih dan perit.

Syafiqah masih sempat minta saya papahnya ke kerusi panjang di depannya, mungkin dia mahu berbaring. Saya cuba mengangkatnya tapi tidak terdaya, Syafiqah terasa berat.

Semasa sibuk mengemas untuk ke Hospital Ampang Puteri - 4 km dari rumah kami - saya, Siti dan anak-anak terpandang Syafiqah seperti menarik nafas panjang, dua kali. Lehernya terlentok.

Subhanallah, janji Allah sudah sampai. Mata saya dan Siti berpandangan, namun kami tidak sempat memberi reaksi lain kecuali mempercepatkan Syafiqah ke hospital.

Terasa hangat

Hati saya berkata-kata sambil cuba menatang tubuh Syafiqah yang masih terasa hangatnya. Selepas menghidupkan enjin kereta saya memanggil jiran sebelah, William, sama-sama mengangkat Syafiqah.

Berkali-kali namanya dipanggil. Syafiqah nampak seperti nyenyak tidur. Dalam kelam-kabut itu saya pandangan saya letak ke wajah Siti, ibu yang mengandungkan Syafiqah dan Syafiqah membesar di depannya sehingga menginjak usia 11 tahun.

Harapan ibu tetap tinggi. Sambil memangkunya di kerusi belakang, Siti tidak putus-putus menyebut nama Allah. Air mata tidak sempat tumpah lagi. Tumpuan saya ke arah jalan raya yang sibuk pagi itu. Perjalanan ke hospital terasa begitu aneh, kiri kanan jalan seperti sunyi sepi. Degupan jantung kuat sekali.

Tangan kanan memegang stereng, tangan kiri menjamah tubuh Syafiqah. "Panas lagi," harap Siti walaupun menyedari tiada apa yang bergerak di tubuh Syafiqah.

Mulut saya terkunci. Mata terasa panas. Bergenang air mata Siti tapi harapannya tidak pudar.

Saya memberhentikan kereta di lobi kecemasan. Hon dibunyikan bertalu-talu. Melihatkan reaksi awal kakitangan hospital ketika mereka mengangkat tubuh Syafiqah, jawapannya jelas dan pasti. Syafiqah sudah pergi meninggalkan kami.

Ketika saya memimpin Nurin dari kawasan letak kereta, dan Siti sedang menemani Syafiqah, saya belum dimaklumkan secara rasmi tentang kehilangan jantung hati kami itu.

Namun berat sekali kaki diheret menaiki tangga. Saya mendukung Nurin sambil menciumnya: "Kakak dah tak ada Nurin."

Sebaik melangkah masuk hospital, saya nampak Siti sedang mengisi keterangan peribdi Syafiqah. Saya dengar hampir semua maklumat penting Syafiqah yang diberikannya salah.

Ketara pucat

Siti menoleh ke arah saya, wajahnya tenang walaupun ketara pucat. Saya tidak perlu bertanya lagi. "Fiqah dah tak ada, bang," getar suaranya jelas.

Berdepan jasad kaku Syafiqah, terlintas, bagaimana sewaktu tiga tahun saya menderita sakit misteri, terlantar di rumah, tidak mampu bekerja, saya sering terhibur dengan celotehnya, gurau manjanya, malah puas terasa bila dia mengurut lenguh badan. Kerap dia teresak-esak menangis bila melihat saya mengerang kesakitan.

Tapi, ya Allah, apabila dia menderita sakit, saya tiada di sisi, malah tidak pun sempat melayannya dengan baik, dan banyak janji tidak tertunai, walaupun sekadar nasi Ayamas yang selalu disebutnya.

Air mata mula tumpah dan hingga kini, selepas seminggu, air mata itu belum mahu kering lagi. Al-Fatehah. - UM


Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

PERMINTAAN TERAKHIR

PERMINTAAN TERAKHIR

Hasil Karya: Aelliea
Disenarai Pada: 07 July, 2004

Malam semakin larut. Sesekali kedengaran jelas bayu malam berhembusan dingin memecah kesunyian malam. Jam di dinding sudah mencecah ke angka dua pagi. Baringannya semakin merimaskan. Kesakitan yang cuba dilawannya semakin menyakitkan. Nalia mencuit lengan adiknya, Nadia di sisinya perlahan. Nadia terjaga dari lena.

"Akak sakit ke?" tanya Nadia risau. Nalia hanya mengangguk lemah. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit. Peluh sudah membasahi mukanya. Nadia bangun lalu mencapai botol-botol ubat di sisi katil. Jag berisi air masak dituang ke dalam gelas lalu membantu Nalia memakan ubat. Air mata yang mengalir segera diseka Nadia. Tersentuh hatinya melihatkan keadaan kakaknya yang terlantar begitu sejak dua bulan yang lalu kerana kanser tulang yang dihadapinya. Tubuh Nalia dibetulkan agar lebih selesa baringnya. Selimut tebal yang sudah terselak sehingga ke betis segera dicapai lalu menutup tubuh Nalia sehingga ke paras dada.

"Akak nak Dia panggilkan Mama?" tanya Nadia semakin risau. Nalia hanya menggelengkan kepala. Nadia mengurut kaki dan tangan Nalia agar dapat mengurangkan sedikit kesakitannya walaupun dia tahu Nalia ibarat gadis yang telah lumpuh di perbaringan.

"Dia, akak nak Dia janji dengan akak. Kalau ditakdirkan, akak dah tak ada nanti, berikan surat di atas meja tu kepada Kak Liana. Hanya itu permintaan terakhir akak," pesan Nalia tersekat-sekat. Nadia hanya mengangguk. Tiada apa yang dapat dilafazkan lagi. Kata-kata doktor sudah cukup sebagai persediaan untuk mereka sekeluarga menerima setiap takdir yang menimpa. Penyakit Nalia sudah di tahap kritikal.

Sudah seminggu Nalia keluar dari hospital setelah tiada ikhtiar lagi dari pihak hospital. Pembedahan juga tidak mahu dijalaninya. Dia tidak mahu mati dengan kekurangan fizikal yang Tuhan berikan. Itu permintaan terakhirnya. Nalia tidak setuju untuk menjalani rawatan kimoterapi yang menyakitkan sedangkan keputusannya belum tentu akan menggembirakan hatinya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi. Andai ajal telah ditetapkan, berubat sehebat mana pun, malaikat tetap akan mengambil nyawanya. Itu alasan yang sering diberinya. Nalia tidak putus semangat atau putus asa. Cuma, dia mahu orang di sekelilingnya menghormati keputusan yang dia beri. Dia mahu habiskan sisa hidupnya dengan keluarga dan orang yang disayanginya kecuali Hazrul. Sejak malam itu, dia sengaja tidak menghubungi jejaka itu.

"Dia janji, kak," janji Nadia. Nalia memejamkan matanya. Pasti ubat tadi sudah mula memberikan kesan. Nadia mengusap ubun rambut kakaknya yang sudah banyak gugur. Dahi yang sudah tidak segebu dulu diciumnya lama. Kelak dahi itu tidak lagi dapat diciumnya. Kemudian pipi cengkung Nalia pula menjadi persinggahan bibirnya.

Sesekali kedengaran nafasnya bagaikan tersekat. Ada ketikanya dahinya berkerut menahan perit kesakitan. Nalia menyeka air mata yang gugur tanpa dimintanya. Tiga tahun di luar negeri sudah cukup menjarakkan dirinya dengan kakak kesayangannya itu. Dia tidak mahu satu-satunya kakak yang dimilikinya itu hilang dari pandangan matanya. Sudah terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nalia sehingga dia sanggup mengenepikan perasaan dan masa depannya sendiri. Sehingga ke akhir hayatnya, belum tentu jasa-jasa kakaknya itu dapat dibalas. Saat ini, hanya ini satu-satunya pengorbanan yang dapat dilakukan. Biarlah dia kehilangan pekerjaan asalkan dia tidak kehilangan kakaknya.

********************

Nalia terjaga dari tidurnya apabila terasa ada jemari yang mengusap pipinya yang tidak lagi semontel dulu. Wajah Liana tenang di sisinya walaupun sudah basah dek air mata. Nadia di sisi hanya menjadi pemerhati. Sedetik pun jika boleh tidak ingin dia jauh dari pandangan kakaknya.

"Kenapa kau rahsiakan dari kami, Nell?" tanya Liana kesal dalam tangisan. Nalia hanya tersenyum.

"Tak ada bezanya Nell bagitahu atau tidak. Kematian tetap suatu suratan. Nell redha, Yan," jawabnya tenang. Liana memeluk tubuh yang tidak lagi setegap beberapa bulan yang lalu. Pertemuan di Majlis Pertemuan semula kolej mereka bagaikan suatu mimpi. Nalia berdiri anggun bergaya dan menawan di hadapannya. Senyuman mekar di kelopak bibirnya. Nalia yang masih rancak bercerita tentang zaman kolej mereka. Nalia yang masih mampu ketawa dan tergelak. Nalia yang masih diusik dan manja. Nalia yang tidak pernah kering dengan sifat pemaafnya. Tapi hari ini Nalia sudah berubah. Wajah itu semakin cengkung. Tubuh itu hanya terlantar di atas katil. Senyumannya tidak lagi seayu dulu. Cerianya sudah hilang ditelan kesakitan.

"Tapi Nell tak patut rahsiakan dari Yan kalau betul kita kawan baik. Nell lupa, kunci sebuah persahabatan adalah kejujuran dan kesudian kita untuk berkongsi setiap suka dan duka. Lainlah kalau Nell dah tak anggap Yan ni kawan Nell," leter Liana sedikit kesal. Nalia ketawa kecil. Liana tetap seperti dulu. Cepat merajuk. Aku akan merindui sifat manjamu itu, Yan.

"Tak apalah. Sekurang-kurangnya Nell masih bernafas. Yan masih sempat jumpa Nell. Itu yang penting."

"Sejak bila Nell sakit ni? Patutlah malam tu Nell nampak lain sangat. Yan dah agak mesti ada sesuatu yang tak kena dengan Nell."

"Semuanya bermula lima tahun dahulu. Yan ingat lagi tak, Nell pernah cakap pada malam tu yang Nell baru ditinggalkan keretapi." Liana hanya mengiakan saja. Nalia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Sayu renungannya.

"Nell baru naik pangkat masa tu. Tak lama kemudian, orang yang Nell sayang tinggalkan Nell untuk berkahwin dengan kawan Nell sendiri. Nell bawa diri sambung belajar ke US selama dua tahun. Tahun lepas, Nell kemalangan di sana. Siapa sangka kemalangan tu telah mengesahkan Nell menghidap barah tulang. Kalau tak kerana tu, Nell takan balik ke sini. Nell takkan jumpa Yan. Nell takkan dapat tengok muka putera hati Nell untuk kali terakhir. Nell bersyukur di atas apa yang terjadi sebab Nell tahu ada hikmah di sebalik semua takdir ini," ceritanya lemah.

"Nell nak jumpa putera?" tanya Liana tanpa Nalia duga. Hanya senyuman terukir di bibirnya.

"Nell dah jumpa dia dan Nell tak terkilan andai Tuhan ambil nyawa Nell hari ini. Nell tahu, Iza tak bermaksud nak buat Nell macam tu. Nell faham perasaan dia. Dia sayangkan Hazrul. Begitu payah dia cuba dapatkan Hazrul. Sekurang-kurangnya dia berusaha. Tak macam Nell. Menanti macam pungguk rindukan bulan."

Nalia berpaling ke wajah Liana yang sudah reda dari tangisnya. "Yan, janji dengan Nell. Ini permintaan terakhir dari Nell. Rahsiakan perkara ni dari Hazrul. Nell tak nak dia lebih terluka. Biarlah dia tak tahu dari dia meratapi pemergian Nell. Semua impian Nell dah tertunai. Nell dah bersedia untuk pergi", pintanya. Liana hanya mengangguk.

"Yan janji. Yan akan tunaikan permintaan Nell," janjinya. Jemari Nalia erat di dalam genggamannya. Hanya itu perngorbanan terakhir yang mampu dilaksanakannya. Perpisahan selama enam tahun dulu sudah cukup merugikannya. Dia tidak mahu terkilan pula kali ini. Demi Nalia dia sanggup buat apa saja.

****************

Sudah dua hari Liana berada di rumah Nalia. Kebetulan suaminya berkursus ke utara Semenanjung Malaysia selama seminggu memberikannya peluang untuk berada di sisi Nalia. Sudah sebulan Nalia tidak bangun dari baringnya. Jika sebelum ini sekurang-kurangnya dia masih mampu duduk di kerusi roda kini tubuh itu sudah terlalu lemah untuk bergerak.

Matanya yang bulat galak sudah hilang indahnya. Tubuh yang tidak lagi berselera menerima makanan kini sudah tinggal tulang. Tempoh hayat yang doktor berikan sudah melewati dua bulan. Barangkali ini satu berita yang baik untuk mereka yang mengasihinya.

"Yan menangis lagi ke?" tegur Nalia. Liana hanya ketawa kecil.

"Mata masuk habuklah," dalihnya sambil mengesat air mata.

"Apasal mata Nell tak masuk habuk pun?" jerat Nalia. Liana menggaru kepala yang tidak gatal.

"Got you!". Mereka ketawa serentak. Liana mengusap lengan Nalia yang semakin susut.

"Nell masih sayangkan putera?" tanya Liana.

"Cinta pertama, Yan. Dan, cinta pertama tak semestinya berakhir dengan perkahwinan. Cinta pertama selalunya mematangkan kita. Dan cinta pertama selalunya lebih kita kenang dari cinta selepasnya."

"Kalau ditakdirkan dia muncul di saat ni, Nell nak jumpa dia?" duganya.

"Nell tak sanggup nak jumpa dia dengan keadaan Nell begini. Lagipun, Nell takut Nell tak sekuat malam tu, Yan. Bila Nell tengok dia, Nell rasa gembira sangat. Sekurang-kurangnya Nell tak terkilan. Sekurang-kurangnya Nell boleh dengar suara dia untuk kali terakhir. Dan, yang paling penting, Nell tahu selama ni walaupun sudah terlambat, Nell tak pernah bertepuk sebelah tangan".

"You're so tough, Nell. I'm glad to be you're friend." Nalia tersenyum.

"Me too." Mereka berpelukan erat bagaikan tidak mahu berpisah.

"Yan, Nell mengantuklah. Boleh Nell tidur atas riba Yan?" pintanya. Liana membetulkan duduknya lalu memangku kepala Nalia ke ribanya. Jemari kanan Nalia mengusap perlahan perut Liana yang sedang mengandung lima bulan.

"Agaknya sempat tak Nell nak jumpa baby ni, Yan?" tanyanya meruntun jiwa Liana. Hanya anggukan yang mampu menjawab pertanyaan yang tidak diketahui jawapannya. Ubun rambut Nalia diusap mesra penuh kasih sayang bagaikan si ibu memujuk si anak kecil. Jemari mereka masih bertaut erat. Tanpa sedar, Liana terlena bersandar di kepala katil milik Nalia.

Nalia cuba mengejutkan Liana yang sedang tidur lena. Kali ini sakit yang menyerang lebih sakit dari biasa. Badannya bagaikan telah mati. Tidak berupaya untuknya bergerak walau sedikit pun sedangkan air mata sudah mengalir laju mengharapkan bantuan. Suaranya juga bagaikan sudah hilang untuk mengejutkan tidur Liana. Nalia memejam matanya erat menahan sakit.

Dia tahu ajalnya sudah tiba. Bibir pucatnya berkumat-kamit mengucap dua kalimah syahadah walaupun sejuta kepayahan yang muncul sebelum tangannya jatuh terkulai di birai katil. Lenanya tidak lagi diganggu kesakitan.

*******************

Liana masih setia di pusara yang baru berpenghuni itu. Sudah dua hari Nalia meninggalkan mereka semua. Meninggalkan segala keperitan dan kenangan indahnya. Buku surah Yassin diletakkan di atas ribanya. Lalu disirami pusara yang masih merah tanahnya dengan air dan taburan mawar merah.

"Yan," Liana dan suaminya, Hazlan menoleh apabila namanya dipanggil. Seorang jejaka tampan berdiri tegak berbaju melayu ungu. Liana menginjak sedikit menghampiri suaminya. Si jejaka turut berteleku di sisi pusara yang masih bernesankan kayu dan bersalut kain putih. Sekalung doa disedekahkan buat si penghuni.

"Nell, kenapa rahsiakan semuanya dari Hazrul? Apa salah Hazrul Nell buat macam ni?" kesalnya. Ada getaran pada suara yang baru didengar oleh Liana dan suami. Liana mengeluarkan sepucuk surat dari beg tangannya lalu diserahkan pada Hazrul.

"Permintaan terakhir dari Nell, agar diserahkan surat ni setelah dia sudah tidak ada lagi". Hazrul mencapainya dari Liana lalu segera dibuka. Tulisan tangan Nalia masih kemas seperti dulu.


Assalamualaikum.

Maafkan Nell kerana terpaksa melukakan hati Hazrul. Bukan niat Nell untuk menjadi kejam cuma keadaan yang memaksa. Nell mengaku bersalah kerana berbohong pada Hazrul sejak di malam itu lagi. Nell terpaksa sebab Nell tak nak menggelapkan kehidupan Hazrul kelak.

Pagi hari itu, Nell baru saja dikhabarkan tentang penyakit Nell yang sudah di tahap kritikal. Nell sedih sebab ajal Nell sudah tiba ke penghujungnya di saat Hazrul lafazkan kata-kata yang Nell tunggu selama ni. Tapi, Nell tak kecewa sepenuhnya sebab sekurang-kurangnya Nell tahu Nell tak bertepuk sebelah tangan selama ni.
Penantian Nell berbaloi.

Abang Hazrul sayang, Nell teringin memanggil Hazrul begitu dulu. Semenjak tujuh tahun dulu, kasih sayang Nell pada Hazrul tak pernah berubah walau sekelumit pun. Semakin hari ia semakin membara walaupun Nell telah dikecewakan. Nell sedar rintangan yang datang. Maafkan Nell kerana selama ini menganggap Hazrullah putera di hati Puteri Nalia. Terima kasih kerana sudi menyayangi gadis yang tidak sempurna ini. Nell bawa kasih sayang Hazrul dari dulu sehingga ke akhir hayat Nell ke sana.

Nell berdoa moga Hazrul akan temui insan yang lebih sempurna dari Nell. Permintaan terakhir Nell, kirimkanlah sekalung doa untuk Nell di sana kelak.

Wasalam.
Puteri Nalia

Hazrul melipat kembali surat tadi lalu disimpan ke dalam kocek poketnya.

"Nell pergi dengan aman dalam tidurnya, Hazrul. Dia dah dapat apa yang dia nak. Semua harapan dan impiannya tertunai sudah sebelum dia menutup mata", Liana bersuara.

"Yan tahu semuanya?" tanya Hazrul menahan sebak.

"Dari awal sehingga akhir hayatnya, Hazrul. Cuma, penyakitnya saja Yan baru tahu iaitu kira-kira tiga bulan yang lepas. Dia cukup gembira malam tu walaupun dia sedih sebab terpaksa berbohong dan melukakan perasaan dia sendiri dan perasaan Hazrul," cerita Liana.

"Mungkin kami tidak ditakdirkan untuk bersama di dunia ini. Di akhirat mungkin jodoh kami semakin kuat," Hazrul bersuara lemah. Liana menatap wajah jejak itu lama.

"Apa maksud Hazrul?".

"Hazrul akan menyusul langkah Nell, Yan. Doktor baru sahkan Hazrul mengidap barah hati sebulan yang lalu. Hazrul ingat nak jumpa arwah sebelum Hazrul pergi. Hazrul ingat Hazrul yang akan tinggalkan dia dulu. Rupanya, arwah dulu pergi meninggalkan Hazrul. Hazrul terkilan, Yan," jelasnya.

"Bersabarlah, Hazrul. Insyaallah, Tuhan sentiasa bersama hambaNya yang sabar," Hazlan bersuara setelah lama membisu menjadi saksi kepiluan di wajah Hazrul.

"Kami beransur dulu, Hazrul," Liana memohon diri. Hazrul hanya mengangguk lalu menghantar langkah mereka dengan ekor matanya.

"Nell, seperti mana Nell membawa kasih sayang Nell sehingga ke akhir hayat Nell, Hazrul juga akan buat perkara yang sama. Moga kita jumpa di sana kelak. Hazrul minta diri dulu. Insyaallah, esok Hazrul datang lagi, sayang. Semoga Nell aman di sana."

Hazrul mengusap kayu menggantikan batu nesan yang masih belum bertanda lalu perlahan-lahan bergerak meninggalkan pusara yang telah menyemadikan jasad orang yang paling dicintainya. Permintaan terakhirmu tidak dapat kutunaikan kerana permintaan terakhirku agar aku terus menyayangimu sehingga akhir hayatku. Puteri Nalia, akulah putera di hatimu kerana bagiku kaulah puteri teristimewa dalam hidupku. Selamanya.

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net