Wednesday, July 2, 2008

Kisah Benar : Perginya Jantung Hati Kami

SECEBIS KISAH - Perginya jantung hati kami


Perginya jantung hati kami
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tuesday, October 18 @ 10:17:58 MYT

Rabu, 5 Oktober, 1 Ramadhan, jam 8.15 pagi. Segalanya berhenti. Deru angin, kicau burung, juga lintasan dan angan-angan. Dengan lembut roh Nurul Syafiqah bt Siti Hawa, 11 tahun, anak kedua kami dipisahkan dari jasadnya sehingga saya, isteri dan tiga putera lainnya, Ahmad Luqman Hakim, Ahmad Ikmal Syafiq dan Umar Mukhtar menyangkanya tertidur nyenyak.

Tragedi tidak bermula Subuh awal puasa itu.

Aturan Ilahi tentang kematian kerap menyentap, mengejutkan lena, memancung cita-cita, namun punya rahsia tersembunyi, yang mungkin tidak terbongkar sampai bila-bila.

Jumaat, 30 September, 12.45 tengahari. Syafiqah telefon dari sekolah. "Akak tertinggal bas, boleh ayah ambil?" Saya terdiam, banyak kerja mesti disiapkan; artikel politik kampus untuk harakahdaily baru setengah jalan. "Akak jalan kaki, ya?" pintas Syafiqah selepas saya membatu.

Semalaman membakar pizza

"Tapi banyak barang kena bawa ni," asaknya tanpa nada mendesak. Hari itu Syafiqah 'menjamu' guru-gurunya dengan juadah pizza masakan ibunya. Semalaman dia menunggu pizza dibakar oven. Sememangnya Syafiqah suka sekali membawa makanan ke sekolah, tidak lama dulu nasi daging.

Sehingga dia mengalah, saya langsung tidak terasa apa-apa bahawa Syafiqah mulai letih dengan demam dan sakit tekak yang dideritainya. Petangnya Syafiqah telefon maklumkan dia dapat tumpang kawannya balik.

Malamnya, apabila sampai depan rumah, lambat pula Syafiqah buka pagar. "Awat lambat?" Saya merungut walaupun cahaya lampu kereta menyerlahkan muka Syafiqah yang pucat.
"Akak cari tudung."
"Malam gelap, tak ada siapa nampak," jawab kebodohan saya. Ketika itu tidak teringat langsung bahawa Syafiqah kini cukup prihatin dengan aurat. Nak masukkan karung sampah di belakang rumah pun Syafiqah pastikan bertudung dulu.

Set nasi ayam

Sabtu, 1 Oktober, sepatutnya saya tunaikan janji dengan Syafiqah. Selepas tamat UPSR dan PSRA, dua hari sebelum itu, Syafiqah minta set nasi Ayamas.

"RM5 saja ayah. Akak teringin nak makan dengan kawan. Kami jalan kaki pun boleh." Masya-Allah, saya seolah-olah tidak mendengarnya sambil memberi jawapan tidak pasti, "esok ... esok."

Isteri saya, Siti Hawa memberitahu Syafiqah tidak selera makan malam tadi apabila saya minta izin ke KL hadiri mesyuarat penggerak demokrasi bersama Mat Sabu. Nasi goreng kampung dengan sambal belacan kegemarannya hanya ditatap, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Saya masih tidak terasa apa-apa sedangkan takdir hanya menunggu masa.

"Ayah pi sekejap aja, sebelum tengahari selesai, nanti malam kita balik kampung," kata saya kepada Syafiqah sambil berjalan ke kereta. Raut muka cerianya seperti terlindung. Saya seakan terlupa Syafiqah anak berjiwa kental, sesekali tidak menunjukkan rasa sakit minta dimanja walaupun sememangnya sedang menderita.

Lewat petang, selepas menukar tayar kereta di Hulu Kelang, memecut laju ke asrama anak sulung kami, Luqman, di SAM 10, Cheras. Aduhai, janji dengan Syafiqah sudah luput.

"Bawa akak ke klinik, tekak makin perit," katanya, juga tanpa menunjukkan rasa sakit.

Masih sempat bermain-main

Klinik famili kami, Dr Mahyuddin Yassin tutup. Saya ke klinik sebelah, dekat Taman Sri Ampang. Semasa menunggu, Syafiqah bermain-main dengan dua anak kecil. Nampak letih tetapi tetap gembira.

Saya berbisik, "Nak balik kampung?" "Ayah baliklah dulu, akak boleh tinggal dengan nenek," balasnya.

Ketika neneknya datang malam itu, kami sudah bersiap nak balik Kedah. Syafiqah tenang saja. Kalau anak lain tentu akan merengek. Emak mentua saya akan membawanya ke hospital periksa darah, takut-takut denggi.

Dalam perjalanan kami dimaklumkan Syafiqah tidak diserang demam maut itu. Lega. Melalui SMS, dan itu kali pertama Syafiqah menggunakannya, dia bertanya, "ayah di mana?" Sambil melintasi Taiping, saya menjawab. Selang beberapa lama nada SMS berbunyi, juga dari Syafiqah, soalan sama, di samping memberitahu dia muntah.

5 pagi, kami sampai di Kampung Raja, Kubang Pasu. Saya maklumkan kepada Syafiqah. Kemudiannya kami diberitahu Syafiqah malam itu asyik sembang dengan neneknya, maklumkan kandungan SMS.

Ahad, pagi ke petang (begitu juga Isnin) temujanji saya padat di Alor Setar, Syafiqah terus SMS. "Mulut akak pahit, nak buat macamana." Saya menjawab, dan Syafiqah bertanya hal lain pula. Sehingga malam baru saya sedari SMS tadi rupanya "gagal dihantar". Ya Allah, rupanya Syafiqah terus menunggu dan menunggu ...

Selasa pagi kami berangkat pulang. Walaupun jangkanya dapat bertolak sebelum jam 10, tapi disebabkan singgah banyak rumah saudara-mara, itu pun tidak sempat menziarahi pusara bonda Aisyah (sesuatu yang tidak pernah saya tinggalkan jika balik kampung), menjelang 1 tengahari baru kami keluar ke Pekan Tunjang, seterusnya ke Lebuhraya Utara Selatan.

Di rumah neneknya, Syafiqah makin lemah tidak berselera makan, dan asyik menyebut nama ayah dan ibunya. Tapi bicaranya tetap ramah, suaranya masih bertenaga. Kami solat Maghrib di R&R Sg Buloh. Syafiqah desak saya jemput. Sekali lagi, ayah yang tidak mengerti perasaan anak di hujung usia itu, minta tangguh esoknya, atas alasan letih.

Celoteh bersama Luqman

Syafiqah berkeras. Dia menggesa nenek dan pamannya hantar segera ke Bukit Ampang. Ketika Syafiqah tiba, saya keletihan di katil. Namun terdengar juga celotehnya dengan Luqman. Dia bercerita tentang bagaimana darahnya diperiksa. Saya dimaklumkan kemudiannya, Luqman pun tidak memberikan respons sewajarnya, juga kerana letih dan mengantuk.

Awal pagi terdengar Syafiqah asyik masuk keluar bilik air, muntah. Ibunya berlari-lari anak menyantuni, antara Syafiqah dan adik kecilnya, Nurin Afifah, 2 tahun, yang juga terbatuk-batuk. Setengah jam sebelum Subuh kami sekeluarga di meja makan, bersahur, termasuk Syafiqah.

"Fiqah tak payah posalah," kata saya. Ampun Tuhan, suara suara agak tinggi minta Syafiqah kembali tidur dan berehat, kebetulan kerusi di meja makan tidak cukup untuk semua kami.

7.45 pagi, 1 Ramadhan, isteri mengejutkan lena saya. Syafiqah menjerit:"Ibu, sakit! Ibu, sakit! Dari atas saya mendengar suara Syafiqah cukup kuat, tidak pernah dia menjerit selantang itu.

Melihat keadaannya, jantung saya berdegup kencang. Taqdir makin dekat. Tahu ibunya menyidai basuhan, Syafiqah bersuara, agak perlahan: "Dahlah ibu, suruh abang sidai kain, akak sakit ni."

Kuatnya semangat Syafiqah

Tapi bicara Syafiqah masih jelas, dia sendiri minta ke hospital. Saya renung matanya, langsung tidak berair, maknanya dia hanya menjerit bukan menangis. Ya Allah, kuatnya semangat anakku ini. Sememangnya sejak malam tadi saya berkira untuk ke hospital pagi-pagi esoknya.

Namun, saya dan Siti langsung tidak terlintas Syafiqah akan berangkat ke alam lain, meninggalkan fitnah dunia. Rupanya Siti sudah memandi dan membersihkan tubuhnya.

"Bagai bayi saya mandikan Syafiqah, cuci rambutnya. Nampak kakinya kuning, tubuhnya sejuk, tapi langsung tidak terbayang dia mahu pergi selamanya," cerita Siti kemudiannya kepada kawan-kawan yang menziarahi.

8.00 pagi. Suara Syafiqah tetap jelas bila meminta saya memapahnya keluar dari bilik solat. Bersama Siti, saya menuntunnya ke ruang tengah. Selepas didudukkan, saya perhatikan wajahnya seolah-olah tanpa darah. Ketika itu baru lintasan hati mengilhamkan sesuatu yang pedih dan perit.

Syafiqah masih sempat minta saya papahnya ke kerusi panjang di depannya, mungkin dia mahu berbaring. Saya cuba mengangkatnya tapi tidak terdaya, Syafiqah terasa berat.

Semasa sibuk mengemas untuk ke Hospital Ampang Puteri - 4 km dari rumah kami - saya, Siti dan anak-anak terpandang Syafiqah seperti menarik nafas panjang, dua kali. Lehernya terlentok.

Subhanallah, janji Allah sudah sampai. Mata saya dan Siti berpandangan, namun kami tidak sempat memberi reaksi lain kecuali mempercepatkan Syafiqah ke hospital.

Terasa hangat

Hati saya berkata-kata sambil cuba menatang tubuh Syafiqah yang masih terasa hangatnya. Selepas menghidupkan enjin kereta saya memanggil jiran sebelah, William, sama-sama mengangkat Syafiqah.

Berkali-kali namanya dipanggil. Syafiqah nampak seperti nyenyak tidur. Dalam kelam-kabut itu saya pandangan saya letak ke wajah Siti, ibu yang mengandungkan Syafiqah dan Syafiqah membesar di depannya sehingga menginjak usia 11 tahun.

Harapan ibu tetap tinggi. Sambil memangkunya di kerusi belakang, Siti tidak putus-putus menyebut nama Allah. Air mata tidak sempat tumpah lagi. Tumpuan saya ke arah jalan raya yang sibuk pagi itu. Perjalanan ke hospital terasa begitu aneh, kiri kanan jalan seperti sunyi sepi. Degupan jantung kuat sekali.

Tangan kanan memegang stereng, tangan kiri menjamah tubuh Syafiqah. "Panas lagi," harap Siti walaupun menyedari tiada apa yang bergerak di tubuh Syafiqah.

Mulut saya terkunci. Mata terasa panas. Bergenang air mata Siti tapi harapannya tidak pudar.

Saya memberhentikan kereta di lobi kecemasan. Hon dibunyikan bertalu-talu. Melihatkan reaksi awal kakitangan hospital ketika mereka mengangkat tubuh Syafiqah, jawapannya jelas dan pasti. Syafiqah sudah pergi meninggalkan kami.

Ketika saya memimpin Nurin dari kawasan letak kereta, dan Siti sedang menemani Syafiqah, saya belum dimaklumkan secara rasmi tentang kehilangan jantung hati kami itu.

Namun berat sekali kaki diheret menaiki tangga. Saya mendukung Nurin sambil menciumnya: "Kakak dah tak ada Nurin."

Sebaik melangkah masuk hospital, saya nampak Siti sedang mengisi keterangan peribdi Syafiqah. Saya dengar hampir semua maklumat penting Syafiqah yang diberikannya salah.

Ketara pucat

Siti menoleh ke arah saya, wajahnya tenang walaupun ketara pucat. Saya tidak perlu bertanya lagi. "Fiqah dah tak ada, bang," getar suaranya jelas.

Berdepan jasad kaku Syafiqah, terlintas, bagaimana sewaktu tiga tahun saya menderita sakit misteri, terlantar di rumah, tidak mampu bekerja, saya sering terhibur dengan celotehnya, gurau manjanya, malah puas terasa bila dia mengurut lenguh badan. Kerap dia teresak-esak menangis bila melihat saya mengerang kesakitan.

Tapi, ya Allah, apabila dia menderita sakit, saya tiada di sisi, malah tidak pun sempat melayannya dengan baik, dan banyak janji tidak tertunai, walaupun sekadar nasi Ayamas yang selalu disebutnya.

Air mata mula tumpah dan hingga kini, selepas seminggu, air mata itu belum mahu kering lagi. Al-Fatehah. - UM


Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

PERMINTAAN TERAKHIR

PERMINTAAN TERAKHIR

Hasil Karya: Aelliea
Disenarai Pada: 07 July, 2004

Malam semakin larut. Sesekali kedengaran jelas bayu malam berhembusan dingin memecah kesunyian malam. Jam di dinding sudah mencecah ke angka dua pagi. Baringannya semakin merimaskan. Kesakitan yang cuba dilawannya semakin menyakitkan. Nalia mencuit lengan adiknya, Nadia di sisinya perlahan. Nadia terjaga dari lena.

"Akak sakit ke?" tanya Nadia risau. Nalia hanya mengangguk lemah. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit. Peluh sudah membasahi mukanya. Nadia bangun lalu mencapai botol-botol ubat di sisi katil. Jag berisi air masak dituang ke dalam gelas lalu membantu Nalia memakan ubat. Air mata yang mengalir segera diseka Nadia. Tersentuh hatinya melihatkan keadaan kakaknya yang terlantar begitu sejak dua bulan yang lalu kerana kanser tulang yang dihadapinya. Tubuh Nalia dibetulkan agar lebih selesa baringnya. Selimut tebal yang sudah terselak sehingga ke betis segera dicapai lalu menutup tubuh Nalia sehingga ke paras dada.

"Akak nak Dia panggilkan Mama?" tanya Nadia semakin risau. Nalia hanya menggelengkan kepala. Nadia mengurut kaki dan tangan Nalia agar dapat mengurangkan sedikit kesakitannya walaupun dia tahu Nalia ibarat gadis yang telah lumpuh di perbaringan.

"Dia, akak nak Dia janji dengan akak. Kalau ditakdirkan, akak dah tak ada nanti, berikan surat di atas meja tu kepada Kak Liana. Hanya itu permintaan terakhir akak," pesan Nalia tersekat-sekat. Nadia hanya mengangguk. Tiada apa yang dapat dilafazkan lagi. Kata-kata doktor sudah cukup sebagai persediaan untuk mereka sekeluarga menerima setiap takdir yang menimpa. Penyakit Nalia sudah di tahap kritikal.

Sudah seminggu Nalia keluar dari hospital setelah tiada ikhtiar lagi dari pihak hospital. Pembedahan juga tidak mahu dijalaninya. Dia tidak mahu mati dengan kekurangan fizikal yang Tuhan berikan. Itu permintaan terakhirnya. Nalia tidak setuju untuk menjalani rawatan kimoterapi yang menyakitkan sedangkan keputusannya belum tentu akan menggembirakan hatinya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi. Andai ajal telah ditetapkan, berubat sehebat mana pun, malaikat tetap akan mengambil nyawanya. Itu alasan yang sering diberinya. Nalia tidak putus semangat atau putus asa. Cuma, dia mahu orang di sekelilingnya menghormati keputusan yang dia beri. Dia mahu habiskan sisa hidupnya dengan keluarga dan orang yang disayanginya kecuali Hazrul. Sejak malam itu, dia sengaja tidak menghubungi jejaka itu.

"Dia janji, kak," janji Nadia. Nalia memejamkan matanya. Pasti ubat tadi sudah mula memberikan kesan. Nadia mengusap ubun rambut kakaknya yang sudah banyak gugur. Dahi yang sudah tidak segebu dulu diciumnya lama. Kelak dahi itu tidak lagi dapat diciumnya. Kemudian pipi cengkung Nalia pula menjadi persinggahan bibirnya.

Sesekali kedengaran nafasnya bagaikan tersekat. Ada ketikanya dahinya berkerut menahan perit kesakitan. Nalia menyeka air mata yang gugur tanpa dimintanya. Tiga tahun di luar negeri sudah cukup menjarakkan dirinya dengan kakak kesayangannya itu. Dia tidak mahu satu-satunya kakak yang dimilikinya itu hilang dari pandangan matanya. Sudah terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nalia sehingga dia sanggup mengenepikan perasaan dan masa depannya sendiri. Sehingga ke akhir hayatnya, belum tentu jasa-jasa kakaknya itu dapat dibalas. Saat ini, hanya ini satu-satunya pengorbanan yang dapat dilakukan. Biarlah dia kehilangan pekerjaan asalkan dia tidak kehilangan kakaknya.

********************

Nalia terjaga dari tidurnya apabila terasa ada jemari yang mengusap pipinya yang tidak lagi semontel dulu. Wajah Liana tenang di sisinya walaupun sudah basah dek air mata. Nadia di sisi hanya menjadi pemerhati. Sedetik pun jika boleh tidak ingin dia jauh dari pandangan kakaknya.

"Kenapa kau rahsiakan dari kami, Nell?" tanya Liana kesal dalam tangisan. Nalia hanya tersenyum.

"Tak ada bezanya Nell bagitahu atau tidak. Kematian tetap suatu suratan. Nell redha, Yan," jawabnya tenang. Liana memeluk tubuh yang tidak lagi setegap beberapa bulan yang lalu. Pertemuan di Majlis Pertemuan semula kolej mereka bagaikan suatu mimpi. Nalia berdiri anggun bergaya dan menawan di hadapannya. Senyuman mekar di kelopak bibirnya. Nalia yang masih rancak bercerita tentang zaman kolej mereka. Nalia yang masih mampu ketawa dan tergelak. Nalia yang masih diusik dan manja. Nalia yang tidak pernah kering dengan sifat pemaafnya. Tapi hari ini Nalia sudah berubah. Wajah itu semakin cengkung. Tubuh itu hanya terlantar di atas katil. Senyumannya tidak lagi seayu dulu. Cerianya sudah hilang ditelan kesakitan.

"Tapi Nell tak patut rahsiakan dari Yan kalau betul kita kawan baik. Nell lupa, kunci sebuah persahabatan adalah kejujuran dan kesudian kita untuk berkongsi setiap suka dan duka. Lainlah kalau Nell dah tak anggap Yan ni kawan Nell," leter Liana sedikit kesal. Nalia ketawa kecil. Liana tetap seperti dulu. Cepat merajuk. Aku akan merindui sifat manjamu itu, Yan.

"Tak apalah. Sekurang-kurangnya Nell masih bernafas. Yan masih sempat jumpa Nell. Itu yang penting."

"Sejak bila Nell sakit ni? Patutlah malam tu Nell nampak lain sangat. Yan dah agak mesti ada sesuatu yang tak kena dengan Nell."

"Semuanya bermula lima tahun dahulu. Yan ingat lagi tak, Nell pernah cakap pada malam tu yang Nell baru ditinggalkan keretapi." Liana hanya mengiakan saja. Nalia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Sayu renungannya.

"Nell baru naik pangkat masa tu. Tak lama kemudian, orang yang Nell sayang tinggalkan Nell untuk berkahwin dengan kawan Nell sendiri. Nell bawa diri sambung belajar ke US selama dua tahun. Tahun lepas, Nell kemalangan di sana. Siapa sangka kemalangan tu telah mengesahkan Nell menghidap barah tulang. Kalau tak kerana tu, Nell takan balik ke sini. Nell takkan jumpa Yan. Nell takkan dapat tengok muka putera hati Nell untuk kali terakhir. Nell bersyukur di atas apa yang terjadi sebab Nell tahu ada hikmah di sebalik semua takdir ini," ceritanya lemah.

"Nell nak jumpa putera?" tanya Liana tanpa Nalia duga. Hanya senyuman terukir di bibirnya.

"Nell dah jumpa dia dan Nell tak terkilan andai Tuhan ambil nyawa Nell hari ini. Nell tahu, Iza tak bermaksud nak buat Nell macam tu. Nell faham perasaan dia. Dia sayangkan Hazrul. Begitu payah dia cuba dapatkan Hazrul. Sekurang-kurangnya dia berusaha. Tak macam Nell. Menanti macam pungguk rindukan bulan."

Nalia berpaling ke wajah Liana yang sudah reda dari tangisnya. "Yan, janji dengan Nell. Ini permintaan terakhir dari Nell. Rahsiakan perkara ni dari Hazrul. Nell tak nak dia lebih terluka. Biarlah dia tak tahu dari dia meratapi pemergian Nell. Semua impian Nell dah tertunai. Nell dah bersedia untuk pergi", pintanya. Liana hanya mengangguk.

"Yan janji. Yan akan tunaikan permintaan Nell," janjinya. Jemari Nalia erat di dalam genggamannya. Hanya itu perngorbanan terakhir yang mampu dilaksanakannya. Perpisahan selama enam tahun dulu sudah cukup merugikannya. Dia tidak mahu terkilan pula kali ini. Demi Nalia dia sanggup buat apa saja.

****************

Sudah dua hari Liana berada di rumah Nalia. Kebetulan suaminya berkursus ke utara Semenanjung Malaysia selama seminggu memberikannya peluang untuk berada di sisi Nalia. Sudah sebulan Nalia tidak bangun dari baringnya. Jika sebelum ini sekurang-kurangnya dia masih mampu duduk di kerusi roda kini tubuh itu sudah terlalu lemah untuk bergerak.

Matanya yang bulat galak sudah hilang indahnya. Tubuh yang tidak lagi berselera menerima makanan kini sudah tinggal tulang. Tempoh hayat yang doktor berikan sudah melewati dua bulan. Barangkali ini satu berita yang baik untuk mereka yang mengasihinya.

"Yan menangis lagi ke?" tegur Nalia. Liana hanya ketawa kecil.

"Mata masuk habuklah," dalihnya sambil mengesat air mata.

"Apasal mata Nell tak masuk habuk pun?" jerat Nalia. Liana menggaru kepala yang tidak gatal.

"Got you!". Mereka ketawa serentak. Liana mengusap lengan Nalia yang semakin susut.

"Nell masih sayangkan putera?" tanya Liana.

"Cinta pertama, Yan. Dan, cinta pertama tak semestinya berakhir dengan perkahwinan. Cinta pertama selalunya mematangkan kita. Dan cinta pertama selalunya lebih kita kenang dari cinta selepasnya."

"Kalau ditakdirkan dia muncul di saat ni, Nell nak jumpa dia?" duganya.

"Nell tak sanggup nak jumpa dia dengan keadaan Nell begini. Lagipun, Nell takut Nell tak sekuat malam tu, Yan. Bila Nell tengok dia, Nell rasa gembira sangat. Sekurang-kurangnya Nell tak terkilan. Sekurang-kurangnya Nell boleh dengar suara dia untuk kali terakhir. Dan, yang paling penting, Nell tahu selama ni walaupun sudah terlambat, Nell tak pernah bertepuk sebelah tangan".

"You're so tough, Nell. I'm glad to be you're friend." Nalia tersenyum.

"Me too." Mereka berpelukan erat bagaikan tidak mahu berpisah.

"Yan, Nell mengantuklah. Boleh Nell tidur atas riba Yan?" pintanya. Liana membetulkan duduknya lalu memangku kepala Nalia ke ribanya. Jemari kanan Nalia mengusap perlahan perut Liana yang sedang mengandung lima bulan.

"Agaknya sempat tak Nell nak jumpa baby ni, Yan?" tanyanya meruntun jiwa Liana. Hanya anggukan yang mampu menjawab pertanyaan yang tidak diketahui jawapannya. Ubun rambut Nalia diusap mesra penuh kasih sayang bagaikan si ibu memujuk si anak kecil. Jemari mereka masih bertaut erat. Tanpa sedar, Liana terlena bersandar di kepala katil milik Nalia.

Nalia cuba mengejutkan Liana yang sedang tidur lena. Kali ini sakit yang menyerang lebih sakit dari biasa. Badannya bagaikan telah mati. Tidak berupaya untuknya bergerak walau sedikit pun sedangkan air mata sudah mengalir laju mengharapkan bantuan. Suaranya juga bagaikan sudah hilang untuk mengejutkan tidur Liana. Nalia memejam matanya erat menahan sakit.

Dia tahu ajalnya sudah tiba. Bibir pucatnya berkumat-kamit mengucap dua kalimah syahadah walaupun sejuta kepayahan yang muncul sebelum tangannya jatuh terkulai di birai katil. Lenanya tidak lagi diganggu kesakitan.

*******************

Liana masih setia di pusara yang baru berpenghuni itu. Sudah dua hari Nalia meninggalkan mereka semua. Meninggalkan segala keperitan dan kenangan indahnya. Buku surah Yassin diletakkan di atas ribanya. Lalu disirami pusara yang masih merah tanahnya dengan air dan taburan mawar merah.

"Yan," Liana dan suaminya, Hazlan menoleh apabila namanya dipanggil. Seorang jejaka tampan berdiri tegak berbaju melayu ungu. Liana menginjak sedikit menghampiri suaminya. Si jejaka turut berteleku di sisi pusara yang masih bernesankan kayu dan bersalut kain putih. Sekalung doa disedekahkan buat si penghuni.

"Nell, kenapa rahsiakan semuanya dari Hazrul? Apa salah Hazrul Nell buat macam ni?" kesalnya. Ada getaran pada suara yang baru didengar oleh Liana dan suami. Liana mengeluarkan sepucuk surat dari beg tangannya lalu diserahkan pada Hazrul.

"Permintaan terakhir dari Nell, agar diserahkan surat ni setelah dia sudah tidak ada lagi". Hazrul mencapainya dari Liana lalu segera dibuka. Tulisan tangan Nalia masih kemas seperti dulu.


Assalamualaikum.

Maafkan Nell kerana terpaksa melukakan hati Hazrul. Bukan niat Nell untuk menjadi kejam cuma keadaan yang memaksa. Nell mengaku bersalah kerana berbohong pada Hazrul sejak di malam itu lagi. Nell terpaksa sebab Nell tak nak menggelapkan kehidupan Hazrul kelak.

Pagi hari itu, Nell baru saja dikhabarkan tentang penyakit Nell yang sudah di tahap kritikal. Nell sedih sebab ajal Nell sudah tiba ke penghujungnya di saat Hazrul lafazkan kata-kata yang Nell tunggu selama ni. Tapi, Nell tak kecewa sepenuhnya sebab sekurang-kurangnya Nell tahu Nell tak bertepuk sebelah tangan selama ni.
Penantian Nell berbaloi.

Abang Hazrul sayang, Nell teringin memanggil Hazrul begitu dulu. Semenjak tujuh tahun dulu, kasih sayang Nell pada Hazrul tak pernah berubah walau sekelumit pun. Semakin hari ia semakin membara walaupun Nell telah dikecewakan. Nell sedar rintangan yang datang. Maafkan Nell kerana selama ini menganggap Hazrullah putera di hati Puteri Nalia. Terima kasih kerana sudi menyayangi gadis yang tidak sempurna ini. Nell bawa kasih sayang Hazrul dari dulu sehingga ke akhir hayat Nell ke sana.

Nell berdoa moga Hazrul akan temui insan yang lebih sempurna dari Nell. Permintaan terakhir Nell, kirimkanlah sekalung doa untuk Nell di sana kelak.

Wasalam.
Puteri Nalia

Hazrul melipat kembali surat tadi lalu disimpan ke dalam kocek poketnya.

"Nell pergi dengan aman dalam tidurnya, Hazrul. Dia dah dapat apa yang dia nak. Semua harapan dan impiannya tertunai sudah sebelum dia menutup mata", Liana bersuara.

"Yan tahu semuanya?" tanya Hazrul menahan sebak.

"Dari awal sehingga akhir hayatnya, Hazrul. Cuma, penyakitnya saja Yan baru tahu iaitu kira-kira tiga bulan yang lepas. Dia cukup gembira malam tu walaupun dia sedih sebab terpaksa berbohong dan melukakan perasaan dia sendiri dan perasaan Hazrul," cerita Liana.

"Mungkin kami tidak ditakdirkan untuk bersama di dunia ini. Di akhirat mungkin jodoh kami semakin kuat," Hazrul bersuara lemah. Liana menatap wajah jejak itu lama.

"Apa maksud Hazrul?".

"Hazrul akan menyusul langkah Nell, Yan. Doktor baru sahkan Hazrul mengidap barah hati sebulan yang lalu. Hazrul ingat nak jumpa arwah sebelum Hazrul pergi. Hazrul ingat Hazrul yang akan tinggalkan dia dulu. Rupanya, arwah dulu pergi meninggalkan Hazrul. Hazrul terkilan, Yan," jelasnya.

"Bersabarlah, Hazrul. Insyaallah, Tuhan sentiasa bersama hambaNya yang sabar," Hazlan bersuara setelah lama membisu menjadi saksi kepiluan di wajah Hazrul.

"Kami beransur dulu, Hazrul," Liana memohon diri. Hazrul hanya mengangguk lalu menghantar langkah mereka dengan ekor matanya.

"Nell, seperti mana Nell membawa kasih sayang Nell sehingga ke akhir hayat Nell, Hazrul juga akan buat perkara yang sama. Moga kita jumpa di sana kelak. Hazrul minta diri dulu. Insyaallah, esok Hazrul datang lagi, sayang. Semoga Nell aman di sana."

Hazrul mengusap kayu menggantikan batu nesan yang masih belum bertanda lalu perlahan-lahan bergerak meninggalkan pusara yang telah menyemadikan jasad orang yang paling dicintainya. Permintaan terakhirmu tidak dapat kutunaikan kerana permintaan terakhirku agar aku terus menyayangimu sehingga akhir hayatku. Puteri Nalia, akulah putera di hatimu kerana bagiku kaulah puteri teristimewa dalam hidupku. Selamanya.

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Tuesday, July 1, 2008

Pasrah Dalam Penantian



PASRAH DALAM PENANTIAN
~ Oleh : Rozita Abd. Latiff ~

HAKIKATNYA penderitaan ini aku yang tanggung. Aku juga yang merasai bahangnya apa yang menghantui hidup aku selama ini. Aku tidak ingin belas kasihan orang lain. Apatah lagi pertolongan. Aku juga tidak ingin orang lain mengetahui penderitaan ini.
"Ina, sampai bila kau hendak begini? Takkan selamanya kau terus memenjarakan diri engkau sendiri? Sudahlah Ina."
Muktamad. Itulah keputusan yang akan berikan pada ibu dan abah bila berulang kali persoalan itu yang ditanyakan. Aku bosan. Bosan. Bagaimana untuk jelaskan lagi. Usahlah diulangi pertanyaan itu hanya kerana membangkitkan rasa marah aku. Rasa kecewa aku lebih-lebih lagi kekesalan aku yang tidak kesudahan. Aku sedih, pedih dan kalau boleh ingin aku katakan semua perkataan yang menggambarkan kepedihan itu. Aku tidak ingin mengimbasnya kembali. Tidak. Biarpun aku tahu ia tidak dapat mengundurkan ingatan itu dari kotak pemikiranku. Tapi, aku lebih kecewa andainya persoalan itu yang ditanyakan berulang kali.
Aku terduduk di kerusi ruang tamu. Terasa tidak bermaya untuk aku melangkah ke bilik. Membiarkan saja ibu dan abah merenungi aku sekaligus memberi kata nasihat yang tidak putus-putus. Bagaikan aku ini tiada lagi kewarasan fikiran. Diam. Aku terusan diam. Harus bagaimana lagi untuk aku jelaskan? Aku sudah kekeringan penjelasan sedangkan ibu dan abah telah tahu sebab dan munasabahnya. Apa lagi yang aku lakukan demi menghalang persoalan itu dari terus menghujani aku. Apalagi ibu? Apalagi?
Aku membiarkan ibu dengan seribu alasannya supaya aku terus menerima kehendak takdir. Dan aku tidak juga menangkisnya walau dengan satu alasan pun kerana telah aku katakan pada ibu memang sedia mengetahuinya. Atau memang ibu sengaja cuba melupai semua itu. Tapi ibu, tidak semudah itu untuk aku melupainya kerana ia tetap kemas terpahat di lubuk hati aku yang paling dalam. Sedalam mana sukar untuk aku jelaskan tetapi kata muktamad sudah membuktikan segalanya.
Percayalah ibu, anakmu ini masih lagi waras. Masih lagi dapat berfikir buruk dan baiknya. Terimalah aku seadanya ibu. Aku juga tidak pernah membenci ibu, apatah lagi mendendami. Aku percaya apa yang menimpa ini adalah suatu takdir. Aku menerimanya dengan hati yang terbuka.
"Tapi, Ina engkau kenalah berikhtiar. Jangan hanya berserah kepada takdir semata".
Aku tersenyum. Mendongak sebentar ke arah ibu. Kemudian beralih pula ke arah abah. Pandangan aku jatuhkan semula ke ribaan. Sukar untuk aku memberi pengharapan kepada kedua orang tuaku ini. Bukannya cuba untuk menderhaka, jauh sekali membunuh harapan mereka. Tidak, tidak sekali-kali. Cuma apa yang aku minta, fahamilah aku. Itu sahaja.
Pandangan mereka sarat dengan kata persetujuan daripada aku. Tapi aku, mengeleng pun tidak, mengangguk pun tidak. Pintu hatiku sudah tertutup terus untuk menerima semuanya itu. Kalau dulu aku gembira sekali menerima setiap risikan yang datang. Tapi tidak lagi kini. Biarpun aku tahu risikan itu bukan lagi risikan tetapi sudah pasti tepak sirih untukku. Aku hanya senyum memanjang bila mendengar cerita ibu. Ibu semakin risau bila aku sering pula termenung tanpa banyak bicara.
"Tak apalah ibu, kalau sudah tak ada apa-apa, biar Ina masuk ke dalam dulu".
Aku melangkah meninggalkan ibu dan abah di ruang tamu. Ibu hanya mengeleng kepala melihat sikap aku. Abah pula hnaya menghantar aku dengan ekor mata. Kepenatan pulang dari kerja masih lagi bersisa. Aku merehatkan badan di atas katil. Berbaring sambil memandang siling sudah menjadi rutin aku, bagaikan menemui kedamaian padanya.
Merenungi siling yang kosong itu umpama melihat ke dalam diri aku. Kosong tanpa ruang yang harus diisi. Cuma yang membezakan siling itu putih bersih tapi hati aku sudah penuh dengan calitan-calitan yang meninggalkan kesan yang berparut. Hati aku sudah tawar dengan kata pujian, pujuk rayu apatah lagi janji-janji manis. Malah aku juga sudah muak dan jemu dengan kata cinta dari seorang yang bergelar lelaki. Apa jua statusnya samada teruna, duda ataupun suami orang, semuanya sama. Aku tidak meletakkan kategorinya. Kerana bagi aku, semuanya sama.
Namun begitu, aku tidak meletakkan semua kesalahan ke atas lelaki. Tidak semuanya berpunca daripada lelaki. Aku tidak ingin menghukum lelaki sedemikian berat kerana aku juga menyedari yang aku juga mempunyai pertalian dengan lelaki. Aku berbintikan lelaki. Aku juga mempunyai adik lelaki. Abahku juga lelaki. Dan apa yang penting kerana lelaki jugalah aku mengenal dunia. Sebuah penghargaan besar untuk lelaki. Cuma apa yang ingin aku tekankan hati aku sudah tawar untuk seorang lelaki. Aku tidak dapat menerima lagi kehadiran lelaki dalam hidup aku. Muktamad.
Itulah kata putus yang aku ambil setelah bertahun-tahun lamanya aku dibaluti dengan kekecewaan yang sering mengekori aku. Sebuah kegagalan yang sering terjadi ke atas seorang wanita masa kini. Wanita yang berpendidikan dan mengejar harta, kata abahku. Kegagalan inilah yang sering menjadi bahan bualan jiran aku. Kegagalan inilah juga yang menjadi topik hangat di majlis kenduri kahwin. Dan kegagalan inilah juga yang telah mendekatkan aku dengan-Nya. Kekasih sejati. Yang maha mengetahui hikmah di sebalik apa yang menimpa hambaNya. Itulah yang terlalu aku hargainya.
Aku mempunyai kerja yang tetap dengan gaji ribuan ringgit. Aku juga mempunyai sebuah kereta hasil titik peluhku sendiri. Malah aku mampu membeli sebuah rumah tapi aku lebih selesa tinggal bersama orang tuaku. Namun aku gagal dalam melengkapkan hidupku dengan sebuah keluargaku sendiri. Mempunyai seorang suami dan anak-anak sebagai penyeri rumahtanggaku. Aku pasrah. Pasrah kiranya ini yang ditakdirkan ke atas aku. Aku bukannya tidak mempunyai naluri keperempuanan aku. Ada tetap ada tetapi kini hanya menjadi hama sahaja akibat kekecewaan yang telah merebak menjadi barah dalam hati aku. Akhirnya aku simpulkan mati naluri itu. Aku menerimanya dengan penuh kerelaan.
Mulanya kekecewaan itu tidaklah indah untuk dikenang. Malah keindahan itu tidak pernah datang lagi dalam hidup aku semenjak kekecewaan menjadi teman setia hidupku. Cuma apa yang dapat aku rasa akan seringkali keindahan itu adalah kekecewaan yang aku alami. Tetapi aku tidak pula menyimpan dendam atas semua itu. Aku menerima dengan penuh syukur. Syukur kerana kedukaan aku sekurang-kurangnya boleh menggembirakan orang lain. Satu amal yang tidak disedari oleh orang lain. Aku lebih banyak mengambil sikap diam, tunggu dan lihat. Dalam diam aku berikan harapan agar tangan kiri tidak mengetahui. Dan aku tunggu lihat reaksinya kemudian melihat kegembiraan yang diperolehinya sedangkan aku menderita.
Aku anak sulung dalam sebuah keluarga yang sederhana pendapatannya. Awalnya kejayaan sentiasa menyebelahi aku. Aku berjaya melayakkan diri ke pusat pengajian tinggi dengan kelulusan S.T.P.M yang agak cemerlang. Namun atas rasa tanggungjawab terhadap adik-adikku yang seramai tujuh orang dan abah yang kesihatannya semakin terjejas, aku lupakan saja hasratku itu.
Aku kira itulah permulaan cerita kekecewaan aku, tapi aku tidaklah bermaksud untuk mengungkit segala apa yang aku korbankan. Cuma aku cuba jelaskan pertaliannya. Dengan berbekalkan kelulusan itu, aku berjaya bekerja di salah sebuah jabatan kerajaan. Hasrat aku untuk melanjutkkan pelajaran tidak terhenti setakat itu. Setelah hampir tiga tahun bekerja, aku kemudiannya mengambil pengajian jarak jauh. Aku berjaya dan dinaikkan pangkat. Kewangan aku semakin kukuh.
Dalam usia 20-an lazimnya waktu itulah yang sering menjadi intaian teruna. Dan aku tidak terlepas dari itu. Rombongan merisik yang pertama sewaktu usia aku 22 tahun. Waktu itu aku sudah pun bekerja. Tapi aku menolak. Aku kira wajar aku bertindak sedemikian. Hanya kerana aku fikir usia 22 tahun terlalu muda untuk aku berkahwin. Lagipun aku sedang belajar sambil bekerja. Aku tidak ingin terlalu banyak perkara yang ingin aku capaikan dalam sati masa. Tambahan pula adik-adikku masih lagi memerlukan perbelanjaan persekolahan yang bukan sedikit. Alang-alang aku bantu biarlah berbekas hasil titik peluh aku. Dan yang paling utama aku sudahpun menpunyai calon pilihanku sendiri.Cuma menunggu masa yang sesuai sahaja untuk aku memberitahu ibu. Aku tidak menyalahkan sesiapa atas penolakan itu sementelah aku tahu benar ibu sendiri tidak teringin sangat lagi untuk bermenantu.
Setelah selesai pengajian aku, aku telah dinaikkan pangkat. Kewangan peribadi aku semakin kukuh. Tambahan pula tanggungjawab aku terhadap adik-adikku semakin kurang. Aku kira inilah masa yang sesuai untuk aku memikirkan kesudahan diri aku. Apatah lagi umur aku sudah menjangkau 25 tahun. Bagi aku tidak terlalu tua dan tidak juga terlalu muda untuk aku berumahtangga.
Namun kami hanya merancang tapi tuhan yang menentukan. Itu aku faham benar. Aku tahu menjadi seorang anak yang baik memang aku banggakan. Tetapi aku kesalkan kebaikan yang Azim pertahankan tidak kena pada tempatnya. Aku tidaklah menyuruhnya menderhaka tetapi cuba untuk mempertahankan pendirian sebagai seorang lelaki.
"Maafkan aku Ina. Aku tidak bermaksud untuk melukai hatimu tetapi itu kehendak ibuku".
Aku merenunginya. Dia tertunduk.Aku tersenyum. Sedikitpun aku tidak memperlihatkan kesedihan itu. Cuma apa yang aku kesalkan mengapakah dia sebagai seorang lelaki tidak beruapaya menentukan sendiri calon pilihannya. Sedangkan aku seorang wanita berupaya mempertahankan hakku.
"Mengapa engkau tersenyum bila mendengar semua ini. Sedangkan aku dalam rasa terkilan, engkau hanya tersenyum sahaja, Ina?".
Aku merenungnya lagi tanpa memberikan jawapan kepada soalannya. Aku biarkan dia merenungi tasik biru di hadapan kami. Aku amat mengharapkan pertemuan kami petang ini menjanjikan hari-hari yang cerah seperti semalam. Namun, aku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari.
"Azim, semyuman aku ini bukannya bermaksud untuk mempersendakanmu. Tapi, aku terasa kesal bila seorang lelaki yang aku puja selama ini rupanya amat lemah".
"Apakah yang engkau maksudkan ini Ina?"
"Ya, lemah dalam mempertahankan hakmu. Alasan yang terlalu rapuh bagi aku".
"Setelah sekian lama kami pupukkan kemesraan ini, sanggup kau lepaskan begitu sahaja?"
Dia terdiam kemudian mendongak merenungi aku. Aku mengalihkan pendangan ke arah tasik. Tidak sanggup aku melihat lemahnya seorang lelaki yang aku cintai selama ini.
"Azim, kau mengatakan kau terkilan dengan keputusan ibumu. Dan juga engkau sangkakan aku mempersendakanmu atas kesedihanmu itu. Engkau silap Azim. Aku sebenarnya terfikir mengapa engkau selemah itu menyerahkan rasa terkilan dengan hanya membiarkan sahaja. Sedih? Engkau ingin aku menangis mendengar perkhabaran ini?"
"Untuk apa aku menangis Azim. Ia tidak mendatangkan apa-apa imbalannya".
"Ina, engkau tidak faham masalah aku" dia mencelah.
"Azim, semuanya terletak atas dirimu untuk memberi imbalan walaupun aku tidak menangis sekalipun. Apakah ini yang engkau berikan pada aku sepanjang penantian aku selama ini? Terserah Azim" aku memotong percakapannya lantas meninggalkan dia sendirian.
Semenjak daripada pertemuan itu, aku tidak lagi berhubung dengannya. Puas sudah dia memohon kemaafan dari aku. Tapi aku hanya berdiam diri sahaja. Aku cuba membuang terus ingatan terhadapnya walaupun aku tahu tak ke mana tindakan aku itu. Bermula daripada itulah aku lebih banyak berdiam diri daripada berkata-kata. Rasa sedih dan terkilan aku telah menjadikan diri aku beku dan kaku pada sebuah perancangan. Dan aku tidak lagi cuba merancang akhir masa soloku. Aku berserah kepada takdir.
Kekecewaan yang berlalu pedih ini menjadikan aku mengikut apa sahaja perancangan ibu dan abah. Dan ibu juga akhirnya telah mengetahui perhubungan aku dengan Azim. Tapi, apa yang dapat ibu lakukan? Aku biarkan saja ia berlalu bersama usia aku yang semakin bertambah. Dalam kesedihan itu aku bersetuju sahaja pilihan ibu untuk menentukan jodoh aku dengan anak kawan baiknya. Aku menurut sahaja kerana tiada siapa lagi yang perlu aku tunggu. Namun nasib masih belum menyebelahi aku. Kamal akhirnya meninggalkan aku dalam kecelakaan jalanraya semasa kami masih lagi dalam pertunangan.
Aku sedikit pun tidak menangis atas pemergiannya. Hanya ibu yang terlihat kesedihannya. Cuma mampu mengeleng kepala, mungkin mengenangkan nasib anaknya ini. Kesedihan dan tangisan itu sudah menjadi sebati dalam diri aku. Tidak perlu aku memperlihatkannya. Namun tiada siapa tahu, betapa hati aku hancur berkecai, lumat bersama dalam apungan airmata yang telah bertakung sekian lama.
Di usia aku 30 tahun, aku menerima satu lagi risikan tapi terus ditolak oleh ibu atas alasan tidak sepadan dengan aku, Hisham satu jabatan dengan aku. Siapa sangka mencintai aku dalam diam. Setiap perkembangan diri aku diambil tahu. Aku tidaklah mengatakan aku mencintai dia.
Tapi itu tidak penting kerana bagi aku, cinta boleh dipupuk. Lagipun dia pada pandangan mata aku kelihatan beriman. Itu yang lebih penting. Namun ibu telah menolaknya sebelum meminta pandangan aku hanya kerana Hisham kakitangan bawahan. Ya! Hanya seorang pencari fail. Aku berserah. Mungkin ini takdirku.
Mungkin aku memang ditakdirkan untuk menanggung kekecewaan. Mengapa aku berani berkata demikian? Di usia 32 tahun, aku sekali lagi menanggung kekecewaan angkara penipuan lelaki hidung belang. Aku mengenalinya setelah dia menolong aku membaiki kereta yang rosak di pertengahan jalan. Bermula daripada itulah aku mengenalinya. Pada dasarnya dia kelihatan seperti seorang yang cukup bertanggungjawab. Namun tanpa aku sedari dia cuba mengambil kesempatan atas status lanjut usia aku. Setelah hampir 6 bulan kami berkawan, akhirnya aku mengetahui bahawa Mazlan sebenarnya sudah pun beristeri dan mempunyai 2 orang anak.
Aku bersyukur kerana isterinya belum lagi mengetahui perhubungan kami. Walaupun aku bertembung dengan mereka sekeluarga sewaktu mereka sedang berseronok menjamu selera. Waktu itu aku lihat wajah Mazlan berubah warna namun aku bersikap biasa seplah tidak pernah mengenali Mazlan. Semenjak daripada itu, aku tidak pernah lagi berhubung dengannya. Dan begitu juga Mazlan terus mendiamkan diri tanpa menjelaskan keadaan sebenarnya. Walau apapun, bagi aku itu semua tidak menjadi masalah bagi aku. Hati aku telah biasa dengan kekecewaan itu.
Akhirnya kini usia aku sudahpun menjangkau 36 tahun.Aku masih lagi sendiri setelah aku diceraikan oleh Karim 2 tahun yang lalu. Duda yang mempunyai 3 orang anak. Karim yang aku nikahi setelah aku sendiri tidak rela bermadu dan berkongsi kasih. Aku kira lebih baik aku sendirian. Aku sudah serik, serik dengan pengalaman yang terlalu mendera aku. Hinggalah hari ini, ibu meminta lagi persetujuan daripada aku berkenaan rombongan yang datang merisik semalam. Aku tidak mengendahkan sangat, malah tidak bertanya pun siapakah lelaki itu. Cuma yang aku tahu masalah duda yang tidak mempunyai anak.
"Macam mana Ina, setuju ke tak?" ibu terus merenung aku.
"Suka hati ibu, Ina mengikut saja" acuh tidak acuh aku menjawab pertanyaan ibu setelah sekian lama aku mendiamkan diri.
"Kalau begitu, bulan depan engkau memohon cuti. Ibu tidak mahu bertangguh lagi"
Seperti yang dijanjikan oleh ibu. Itulah yang dikotakan. Malam pernikahan kali kedua aku. Sedikit pun aku tidak merasai gembiranya kerana aku yakin aku akan diceraikan seperti duda yang aku kahwini dahulu. Aku kira sudah memang begitu takdirku. Sehinggalah sewaktu akad nikah itu aku baru mengenali bakal suamiku. Ya, memang Allah mengetahu setiap hikmah yang tersimpan untuk hambaNya. Dan memang begitulah takdirku apabila bakal suamiku adalah Azim. Lelaki pertama yang aku cintai sepanjang hidupku. Aku memandang ke arah ibu dan abah. Senyuman yang paling manis yang tak pernah aku lihat sebelum ini.


Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Monday, June 30, 2008

Invisible Love

~ Oleh : Anonymous ~



“Sewaktu kaki ini melangkah menuju ke muara terlihat sebutir permata yang menyuluh cahayanya ke arah ku aku kabur… aku bertemu sebutir permata… ku ingin untuk menjadikan ia milik ku, permata itu telah menyentuh jiwa ini, akan tetapi, kenapa pelbagai halangan yang menghalang untuk aku menggapainya dan meletakkannya di genggaman…tolonglah aku Ya Tuhan…”
Lama Daniel menyentuh dahinya, bersujud di tikar sembahyang. Bila hati mengadap Tuhan, baru dia sedar banyak kelemahan, terasa kerdil dirinya ketika itu. Tiada yang lebih mendamaikan hati melainkan dapat bertemu dengan yang Maha Pencipta. Selesai solatnya, di lihat jam yang tergantung di dinding, hampir menunjukkan pukul dua pagi, namun matanya seakan enggan untuk di lelapkan. “Mungkin dah lena Farah waktu-waktu macam ni…” Daniel berkira-kira sendiri, hatinya berniat mahu menghantar sms, tapi apalah guna kalau tidak berbalas, dia cuma mahu seorang teman, teman untuk berbual sebelum dia betul-betul dapat melelapkan mata, ada rindu di situ sebenarnya…

Farah berulang kali membaca sms di skrin telefon bimbit miliknya, perasaannya sedikit celaru. Dia tahu, selama dua tahun ni dia amat rapat berhubung dengan Daniel, itu pun gara-gara aktiviti kolej yang terpaksa dijalankan bersama beberapa semester yang lalu, kalau tidak, dia hanya melihat Daniel dari kejauhan dan langsung tidak terlintas di benaknya perhubungan sahabat akan terjalin antara keduanya sekalipun mereka tidak sama jurusan tetapi hanya sama fakulti, Maha Agung kuasa Allah yang merancang setiap kejadian di atas muka bumi ini. Tetapi, perhubungan ini membuatkan Farah sedikit bimbang..sedikit takut..Daniel bukan seperti sahabat yang di jangkakannya…

“Farah…tengah hari nanti aku dengan Akma nak lunch kat foodcourt, kau nak ikut?” Suraya mengajaknya selepas kelas Mikropemproses petang itu, perutnya juga dah berbunyi minta diisikan, tetapi dia perlu segera membuat research untuk assignment Puan Saadah, tapi apalah salahnya mengambil masa 15 minit untuk makan… Farah tersenyum dan mengangguk tanda setuju untuk mengikut keduanya. Mereka mengambil tempat yang sedikit lapang untuk menjamu selera tengah hari itu, maklumlah waktu lunch beginilah ada yang berasak untuk beratur, perut tengah lapar katakan, tempat pula kadangkala terhad, kalau terlambat, hendak tak hendak kena juga bersesak untuk makan. “Eh Farah..itu macam Daniel aje, kita ajak dia makan sama lah…nak?Erm tapikan..” Mata Farah mengarah ke arah yang dilihat Akma dan Suraya, tetapi Nurul Hanna yang berada di samping Daniel terlebih dahulu menyapa pandangannya. Serentak dengan itu juga Akma dan Suraya memandangnya, Farah hanya tersenyum dan menunduk, dia memahami pandangan kedua sahabatnya itu. “Aku kena buat research kat library pulak kejap lagi ni, kalau korang lambat-lambat makan, tergendala la kerja aku.” Farah mengubah topik supaya tiada lagi perkara tentang Daniel yang perlu dia bualkan tengah hari itu…sebenarnya, itulah yang dibimbanginya selama ini, Nurul Hanna…Nurul Hanna pernah menjadi sahabat nya dulu, namun kini Farah menjauhkan dirinya dari Nurul Hanna. Nurul Hanna dan Daniel classmate dan mereka bersahabat baik…

“Assalamualaikum Farah...” Sapaan lembut suara Daniel terdengar di telinganya, Farah mendongak sedikit wajahnya dan mata mereka bertentang. Daniel tersenyum, ramah, tidak susah untuk menjejaki Farah, sudah lama dia tidak melihat alis mata yang menyejukkan pandangannya itu. Daniel menggumam sendirian. “Maaf kalau aku mengganggu, tadi aku terserempak dengan Akma, dia yang bagitahu aku kau ada kat sini.” Daniel menarik kerusi berhadapan Farah tanpa di pelawa terlebih dahulu, dia membuka buku dan meneruskan kerjanya. Farah leka memerhati segala perlakuan Daniel, bersahaja… “Mengapa lelaki ini kerap mengikut aku sejak akhir-akhir ni…” terdetik persoalan dihatinya. “Kiranya ada sesiapa yang tahu, kiranya…Hanna yang tahu…” lebih banyak persoalan di benaknya tika Daniel ada bersama, bukan dia tidak menyukai kehadiran Daniel, bahkan lelaki itulah yang kini hampir mendapat tempat dihatinya. “Daniel..maaf, aku nak pulangkan buku ni di kaunter kat depan kejap…” Farah mengunjukkan buku ditangannya. Mengelak..hanya itu yang terlintas difikirannya..

Daniel mengetuk hujung pen ke meja, apa yang dia study langsung tidak melekat di otaknya, hampir dua jam dia menunggu Farah di library tengah hari tadi, “Katanya hendak pulangkan buku, waktu aku lalu di kaunter tadi takde nampak pulak batang hidung dia, tak sudikah Farah? Atau aku yang keterlaluan?”. “Astaghfirullah...” terdengar keluhan dibibir.

Nurul Hanna ternampak seseorang yang amat dikenalinya dalam library itu. Kaki nya menapak ke arah meja study yang terletak di sebalik rak buku..“Mengeluh nampak kawan kita ni, masalah negara ke Daniel?” Nurul Hanna menyedari tingkah Daniel, dia tahu apa yang bermain di fikiran sahabat yang seorang itu, mesti mengenai seseorang. “Farah?” Daniel mengangguk. “Aku tak kisah kiranya kau mahu luahkan perasaan kau pada Farah...tapi,kau pun tahu Farah asyik mengelak je dari kau. Aku rasa elok kau cuba mengenali diri Farah dengan lebih dekat dulu..jika kau sudah yakin, barulah kau luahkan perasaan kau itu..” Daniel menutup buku di meja, keinginannya untuk study sudah hilang. “Aku tak tahu la Hanna, aku tak tahu kenapa dia cuba jauhkan diri dari aku,,,usah kan nak berkawan, nak study sama-sama macam ni pun tak dapat..asyik nak lari je..tapi, hati aku ni makin dekat dengan Farah, aku cuba buat bodoh kalau ternampak Farah, tapi demi Allah, aku rasa seperti tidak mahu jauhkan pandangan dari melihatnya. Aku ikhlas sukakan Farah, Hanna..” Daniel menunduk, dia kalah dengan perasaan sendiri.

Laju kaki Farah menapak menyusuri Dewan Kuliah 5, apa yang didengarinya sebentar tadi dari mulut Badrul, teman sebilik Daniel itu hampir membuatkan langkahnya tersungkur. “Daniel suka kan aku? Daniel menyimpan perasaan pada aku?..Tapi baru sebentar tadi aku terserempak dengan Hanna dan Daniel berjalan beriringan...Hanna, wajahnya yang lembut itu…hm..aku tahu tentang mereka berdua..”

“Terasa berpinar mata Farah dek terik panas matahari tengah hari itu, perutnya pula belum terisi, gara-gara berkeras untuk menyiapkan kerja terlebih dahulu. Langkahnya semakin lemah, tubuhnya terdorong ke depan menyebabkan buku yang dikendongnya bertaburan di jalan. Farah terduduk. “Farah, kau tak apa-apa..?” Lengan Farah diampu seseorang dan dilihat ada jari-jemari kecil mengutip buku-bukunya, dia dipapah ke tempat duduk pondok berhampiran. Farah melihat wajah lembut itu, seraya wajah itu tersenyum. “Aku rasa kau belum makan apa-apa lagi, muka kau pun pucat semacam aje..nak aku belikan makanan..?” Tanpa disuruh, Nurul Hanna menuju ke foodcourt untuk membeli makanan. Farah hanya memerhati, kudratnya betul-betul seperti kehabisan, perutnya kadangkala diselangi bunyi, lapar... “Nah, makanlah, ade karipap dengan kuih lapis, kuih kat foodcourt tu sedap...” Nurul Hanna menghulurkan seplastik kuih dan air kepada Farah. “Terima kasih, Hanna. Hmm…kau sihat?” Wajah yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu mengangguk.”Aku sihat. Kau? Aku tengok macam kau busy je akhir-akhir ni. Busy pun busy jugak tapi makan jangan lupa pulak.”nasihat Nurul Hanna kepada sahabatnya itu. “Aku busy sikit je..hmm…dah lama kita tak berbual bersama, kan? Terima kasih sekali lagi sebab tolong aku tadi, aku ingatkan boleh bertahan perut ni.” “Tak ape-ape, mana tahu lain kali aku pulak yang terkena..” Nurul Hanna tersengih. “Oh ya, aku minta diri dulu lah, aku ada kelas kejap lagi. Daniel dah tunggu aku tu.” Nurul Hanna menghalakan pandangannya ke arah kelibat seorang lelaki yang sedang memakirkan motornya dihadapan bangunan yang tidak jauh dari situ, pandangan Farah sedikit terlindung kerana Daniel membelakangi mereka. “Nak aku kirim salam kat Daniel ke?” tanya Nurul Hanna dengan senyum yang manis. “Hah?Eh, tak ape lah...” Farah tergamam dengan pertanyaan itu. Dengan serta merta menghulur tangan bersalaman seraya memberi salam. Moga Allah merahmati mu. Farah menguntum doa buat Nurul Hanna.

“Farah...!Jauh melamun?” Akma menepuk perlahan bahunya. Farah meraup mukanya, tidak mahu sahabatnya melihat apa yang berperang di dalam sanubarinya. Leka dengan ingatannya terhadap pertemuan antara Nurul Hanna dan dirinya secara tidak sengaja suatu waktu dulu. Singkatnya waktu, segalanya berlaku tanpa disedari dan wajah lembut membantunya tika itu adalah Nurul Hanna, sahabatnya yang pernah berkongsi masalah dulu, tapi kini…tidak lagi…terasa bersalah pada sahabatnya itu…air matanya menitis. “Tapi kelihatan sikap Nurul Hanna seperti ingin merapatkan hubungan aku dan Daniel…benarkah?”detik hati Farah. Namun, di hatinya berkeras mengatakan Hanna adalah milik Daniel. Mengapa tidak, sedangkan mereka memang rapat dan bersahabat baik. Dia tetap berasa bersalah menyimpan perasaan pada seseorang yang tidak sepatutnya dan kini perasaan itu pula berbalas. Tiba-tiba ingatan nya kembali pada apa yang disampaikan oleh Badrul. “Farah kenapa? Nak berkongsi dengan aku?” Akma tidak senang melihat Farah begitu, sejak pulang dari kelas Dr. Hamdan siang tadi Farah hanya diam tanpa bicara. “Aku perlu nyatakan perkara sebenar pada dia, aku tak mahu rasa bersalah terbukam dalam hati, aku takkan benarkan perasaan ni bermukim seperti sekarang...” Akma memahami kebuntuan sahabatnya itu, perasaan adalah milik Allah dan sebaik-baik perancang juga adalah Dia.

“Bagaikan terdengar bisikan rindu,
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiran mu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan...”


Lama keduanya mendiamkan diri, sebentar tadi, Farah lancar mengingati apa yang hendak dituturkannya...tetapi kini seperti batu besar yang menghalang segalanya terbit dari mulutnya. Daniel hanya memerhati lagak Farah yang sesekali melirik ke arah Akma di meja yang membelakangi mereka. Kepalanya ligat memikirkan apa yang hendak diperkatakan Farah, mungkin mengenai perasaan yang disampaikan melalui Badrul kepada wanita dihadapannya ini atau mungkin juga penolakan. Dia khuatir sendiri. “Maaf Daniel, sebenarnya aku...aku dah terima pesanan kau melalui Arul, bukannya aku tidak menyukai kau, cuma....aku...” Ya Allah, kenapalah susah sangat berkata ‘tidak’!! Daniel menunduk, dia dapat meneka apa yang mahu diperkatakan oleh Farah. “Tak apa lah, aku cuma minta ‘kebenaran’ kau, tak lebih dari itu...tapi kalau keputusan kau tu datangnya dari hati, aku terima dengan baik.” Hati Farah berdetak kencang, bukan itu yang sebenarnya lahir dari hatinya, dia menyukai Daniel....

“Macam mana Daniel? Kau dah jumpa dia?” Badrul cuba mencungkil tentang Farah, dia tahu sahabatnya itu ada berjumpa dengan Farah siang tadi. “Dia cakap, dia tak dapat nak terima aku...sebenarnya..dia tak cakap, tapi aku dapat agak..takpe lah Arul, aku tak harap sangat, lagipun mungkin ada baiknya., cuma aku yang tak sedar...” Badrul memandang sisi Daniel yang sedang menyandarkan tubuhnya ke besi katil, “Daniel...aku rasa Farah keliru tentang kau dengan Nurul Hanna, aku tak rasa ada yang sanggup terima kau kalau dia tahu kau dah ada hubungan dengan orang lain. Mungkin hati nya bersalah pada Hanna...” Daniel memandang tepat ke wajah Badrul, Farah rasa bersalah pada Hanna? Memang pada Nurul Hanna lah tempat dia meluahkan segalanya pasal Farah. Tapi Nurul Hanna hanya sahabat baiknya. Farah sepatutnya sedia maklum tentang dia dengan Nurul Hanna.


“Cinta itu cahaya sanubari
kurniaan Tuhan fitrah insani
dan dimana terciptanya cinta
disitu rindu bermula

cinta itu tidak pernah meminta
tetapi memberi sepenuh rela
rasa bahagia biarpun sengsara
berkorban segala-gala

di antara dua kasih,
dimakamnya yang berbeza
mudah dijumpa namun sukar untuk dipelihara
lahir dari ketulusan jiwa
bersuluhkan iman
namun nafsu menodainya....”

Farah menyapa arus malam yang sepi, dia membiarkan segala ingatan dan perasaannya berlalu pergi seperti mana angin malam yang meniup lembut. Daniel, bertuahnya kerana memiliki Nurul Hanna, Farah tidak menyesal melepaskan perasaannya pada seseorang yang mampu memberi lebih dari yang mampu diberikannya kepada lelaki itu. “Dia akan bahagia..” Farah berbisik perlahan. “Perasaan yang suci lahir dari hati ini tidak akan ku padamkan, dengannya aku berasa bahagia sekalipun ianya telah berakhir.” Farah menutup tingkap biliknya seperti mana hati itu telah tertutup buat Daniel.

“Ke mana Hanna ni? Sudah dua jam aku tunggu..mana dia pergi ni?” rungut Daniel. Tiba-tiba datang Badrul dalam keadaan termengah-mengah. “Daniel, Hanna accident! Pendarahan teruk di otaknya..” semput di dada belum hilang, namun di sambung lagi, “Dia sekarang kat hospital. Jom kita pergi hospital.” Daniel yang terkejut mendengar berita itu menurut sahaja sahabatnya pergi ke hospital dengan motor. Daniel muram sepanjang perjalanan ke hospital. Nurul Hanna anak yatim piatu. Sejak kecil, dia tinggal bersama neneknya di kampung. Tiada saudara mara yang dapat di hubungi. Semua nya tinggal jauh dari situ. Hanya Daniel setia menanti Nurul Hanna di hospital. Betapa kasihnya Daniel pada sahabat baik nya itu.

Di tepi katil tempat Nurul Hanna terlantar, terdapat beg kepunyaan Nurul Hanna. Dicapainya Daniel beg itu. Dilihat isi dalamnya. Matanya terpandang buku berwarna merah yang tebal kepunyaan Nurul Hanna. Dibeleknya satu persatu. Namun tatapannya terhenti apabila dibacanya…

“Malam ini aku termenung keseorangan, entah mengapa malam ini aku sukar untuk pejamkan mataku…terngiang-ngiang suara gelak tawa dan guarauanmu yang membuat aku rasa tenang bila disampingmu…dapat aku rasakan seperti kau didepan mataku…ahh!!sukarnya memendam perasaan ini…ingin aku luahkan perasaan ini…namun aku tahu diri ku ini hanya sekadar sahabat mu sahaja…setiap masa aku merinduimu, entah kenapa dan mengapa lahirnya perasaan ini dalam diriku…Ya Allah,,tolong lah hambaMu ini..berilah aku petunjukMu, aku hanya insan yang lemah…”

Daniel merenung wajah lembut Nurul Hanna. “Kenapa Hanna? Kenapa kau pendamkan semua ini?” Daniel meraup mukanya, perasaan bersalah kian menghimpit diri....

Setelah dilakukan pembedahan, Nurul Hanna dinasihatkan oleh doktor untuk tinggal lagi dua hari di hospital. Daniel terpaksa kembali ke kolej untuk ke kuliah yang banyak ketinggalan. “Daniel, kau jangan lah bersedih lagi. Aku tahu kau risaukan Hanna. InsyaAllah Hanna akan sembuh. Doktor dah buat operation, nanti lagi 2,3 hari Hanna boleh balik la tu…Pelajaran kau pun dah banyak yang tertinggal. Ini nota yang aku salin masa kau tunggu Hanna kat hospital, kau ambil lah untuk cover balik study kau.” Badrul menghulurkan notanya kepada Daniel.
“Arul, Hanna menyimpan perasaan pada aku” hanya itu yang mampu keluar dari mulut Daniel. Badrul terlopong mendengar apa yang diucapkan oleh Daniel itu. “Aku bersalah pada Hanna, Rul…selama ini aku ceritakan semua isi hati aku terhadap Farah pada Hanna. Namun di sebalik senyuman dan nasihatnya itu, tersimpan satu perasaan yang mendalam terhadap aku. Aku tak tahu la Arul, aku memang sayang kat Hanna, tapi hati ini masih ade sisa pada Farah…”terhenti di situ ayat yang ingin diluahkan oleh Daniel. “Daniel,aku nasihatkan kau sembahyang Istikharah. Hanya padaNya tempat kita meminta petunjuk.” Daniel tiba-tiba seperti tersedar dari mimpi apabila mendengar nasihat Badrul itu. Betapa lupanya dia pada Tuhan yang menciptanya. PadaNya sahajalah tempat untuk dia merujuk dan membuat keputusan yang terbaik.

“Ya Allah sesungguhnya aku meminta petunjuk
yang baik dariMu, dengan ilmuMu aku meminta
kekuatan dariMu dgn kekuatanMu. Aku meminta
dariMu dari kelebihanMu yang banyak, maka
sesungguhnya Engkau berkuasa aku tidak
berkuasa, Engkau mengetahui aku tidak
mengetahui,dan Engkaulah yg paling mengetahui
perkara-perkara yang ghaib.Ya Allah jika Engkau
mengetahui perkara ini baik untukku pada
agamaku duniaku dan kesudahan urusanku buat
masa kini dan masa akan datang maka
tentukannya untukku dan permudahkan nya
kepadaku, jika kamu mengetahui bahawa perkara
ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku
dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa
akan datang maka elakkannya dariku dan elakkan
diriku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku
di mana sahaja aku berada sesungguhnya Engkau
berkuasa di atas segala sesuatu.”

Dengan perlahan pintu bilik pesakit dibuka. Dilihat Nurul Hanna terlantar di atas katil beralaskan cadar putih. Ditariknya kerusi mendekati katil dan duduk menatap wajah sayu Nurul Hanna yang masih terpejam matanya. “Hanna, maafkan aku. Aku bersalah pada kau. Aku tahu, kau cuba untuk rapatkan aku dengan Daniel. Namun, kau lebih layak untuk memiliki hati Daniel. Segala-galanya diluahkan pada kau. Aku bukan sengaja nk jauhkan diri dari kau, cuma aku…aku turut menyimpan perasaan pada Daniel. Tapi aku dah tekad aku nak tengok kau bahagia. Aku dah tutup hati ini buat lelaki bernama Daniel. Semua yang aku pendam hanyalah khayalan..Daniel takkan menyesal dengan ada nya kau kerana kau lebih memahami dia..” tanpa disedari, seorang lelaki berada di pintu sedang mendengar luahan Farah. Dengan segera dia melangkah keluar tanpa disedari oleh Farah.

“Arul, cepatlah. Nanti Hanna tertunggu-tunggu kita kat hospital.” Badrul termengah-mengah menuju ke arah kereta yang disewa mereka semalam. Daniel yang beria-ia menyewa kereta itu untuk mengambil Nurul Hanna di hospital pagi itu.

“Kenapa lambat sangat ni? Lama aku tunggu..” rungut Nurul Hanna. “Ala, jangan la marah-marah sayang oi..” tiba-tiba muka Nurul Hanna menjadi merah apabila mendengar kata-kata Daniel. “Entah angin mana yang bertiup. Tiba-tiba panggil aku ‘sayang’ pulak.”detik hati Nurul Hanna.


Hampir setahun lebih telah berlalu,,,hari yang ditunggu-tunggu…hari “KONVOKESYEN”…

Nurul Hanna membaca sms di skrin telefon bimbitnya. Dilihatnya nama Farah tertera di skrin. “Farah ingin jumpa aku?” sudah lama Nurul Hanna tidak mendengar berita tentang Farah. Mereka hanya terserempak dua kali sahaja sejak dia keluar dari hospital walaupun mereka belajar di fakulti yang sama. Apa yang bermain di fikirannya adalah Daniel. Kenapa Daniel sudah lama tidak bercerita dengannya tentang Farah. Sudah putus harapankah Daniel terhadap Farah? Pelbagai persoalan bermain di fikiran Nurul Hanna.

Pada hari Konvokesyen, Nurul Hanna mencari-cari kelibat Daniel. Ingin diberitahunya kepada Daniel tentang Farah. Sebelum itu, dia telah berjumpa dengan Farah. Farah memperkenalkan tunangnya kepada Nurul Hanna. Mereka bakal diijab kabul dua minggu lagi. Nurul Hanna segera bergegas mencari Daniel. Namun, hampa…Tiba-tiba Badrul datang ke arah Nurul Hanna dengan sejambak bunga. “Arul, lawanya bunga ni…kau nak bagi awek ek?Eh, kau ada nampak Daniel tak? Dari tadi lagi aku tak jumpa dia.” tanya Nurul Hanna sambil matanya mencari-cari Daniel. “Ohh,,Daniel ade dengan keluarga dia kat depan dewan sana. Nah, bunga ni untuk kau.” Badrul menghulurkan bunga itu kepada Nurul Hanna. “Eh, mimpi apa kau bagi bunga kat aku? Nanti tak pasal-pasal pulak awek kau jealous kat aku pulak.” perli Nurul Hanna sambil ditilik nya bunga itu. “Ohh,,,sorry,,no budget la nak beli bunga kat kau. Baik aku beli untuk diri aku sendiri. Bunga tu Daniel yang bagi..” Badrul berlalu pergi meninggalkan Nurul Hanna dengan bunga itu. Di sebalik bunga itu terselit sepucuk surat;

Assalamualaikum, puteriku…

Maafkan Daniel…selama ini Daniel mengabaikan perasaan Hanna…Sebenarnya Hanna adalah penyeri hidup Daniel. Daniel buta selama ini, rupa-rupanya di depan mata Daniel ini adalah puteri yang benar-benar telah mencuri hati ini. Daniel minta maaf banyak-banyak kerana selama ini Daniel membebankan Hanna dengan perasaan Daniel yang tak tentu arah itu…sedangkan Hanna hanya memendam perasaan yang selama ini Daniel tak tahu…maafkan Daniel kerana membaca diari Hanna ketika Hanna terlantar di hospital…tapi dari situ baru Daniel sedar yang selama ini susah senang hanya Hanna yang berada di sisi Daniel…InsyaAllah dengan izin Allah, Daniel berjanji akan melindungi, mengasihi Hanna sehingga ke akhir hayat…

For all those times you stood by me
For all the truth that you made me see
For all the joy you brought to my life
For all the wrong that you made right
For every dream you made come true
For all the love I found in you
I'll be forever thankful baby
You're the one who held me up
Never let me fall
You're the one who saw me through it all

You were my strength when I was weak
You were my voice when I couldn't speak
You were my eyes when I couldn't see
You saw the best there was in me
Lifted me up when I couldn't reach
You gave me faith 'cause you believed
I'm everything I am
Because you loved me

You gave me wings and made me fly
You touched my hand I could touch the sky
I lost my faith; you gave it back to me
You said no star was out of reach
You stood by me and I stood tall
I had your love I had it all
I'm grateful for each day you gave me
Maybe I don't know that much
But I know this much is true
I was blessed because I was loved by you…

Puteramu,
Daniel.

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Sunday, June 29, 2008

Kau Tak Pernah Jauh

~ Oleh : Anonymous ~

Dicapainya handphone lalu mendail nombor yang memang disimpan dalam handphone nya itu. Tiada sahutan dari penerima seperti mana yang diharapkan. Gelisah di hati hanya Allah yang tahu. Aku mesti beritahu dia, mesti tanya dia. Sekali lagi nombor itu cuba dihubungi, panggilan itu dijawab setelah lama menanti.

Suara seorang wanita yang mengarahkannya supaya menanti bertukar kepada suara garau milik insan yang amat dikenali. “Sayang, Sorry, I’m busy right now. I’ll call you later. Promise.” Panggilan ditamatkan serta-merta tanpa menanti bicara yang mengundang kekecewaan yang bertakhta di hati. Hampir menitis keluar airmata membasahi pipinya. Disekanya sebaik saja ia mula untuk berderai keluar. Alina masih lagi pegun duduk di birai katil. Termenung dengan kepalanya yang buntu. Apa daya lagi yang harus dilakukan. Menantikan insan tersebut menghubunginya, entahkan bila zamannya.

Dia tahu jejaka yang setahun lebih tua daripadanya itu sedang sibuk pada masa ini. Hampir seminggu panggilan yang sentiasa bertamu pada waktu lunch tidak lagi menjalankan rutin. Bukannya dia manja untuk dihubungi setiap hari, cuma mahukan insan itu berada pada ketika diperlukan, itu saja.


Mata kecil itu menatap wajah milik tangan yang sedang mengusap tangannya. Mungkin ada sesuatu yang sedang berlegar di kepala Alina sehinggakan dia tidak menyedari wajahnya menjadi tamu mata kecil itu. Sehinggakan suasana persekitaran tidak diendahkan.

“Abang, kalau orang lain pinang sayang, macam mane?” mata Alina dapat menangkap riak terkejut pada wajah milik mata kecil yang cuba disembunyikan. Mata kecil itu bertentang dengan matanya.

Amir hanya tersenyum melihat Alina keresahan menanti jawapan. Sengaja dia membiarkan Alina bergelut dengan kebarangkalian jawapan. “Sayang berhak untuk menentukan kebahagiaan sayang. Terima atau tidak, keputusan tetap di tangan sayang, walau apa jalan yang abang lakukan. Apa jua keputusan sayang, abang terima dengan redha.”

Seraut wajah tidak berpuas hati terbentang di depan mata Amir. Alina kecewa dengan jawapan yang diberikan tidak menepati spesifikasi. Secetek inikah kasih sayang Amir terhadapnya? “Kalau sayang kahwin dengan orang lain dan bukan dengan abang?”

“Abang akan doakan sayang bahagia sekeluarga hingga ke akhir hayat.” Senyuman masih lagi terukir di bibir Amir walaupun matanya menangkap kehampaan pada wajah Alina. “Setidak-tidaknya abang dah bebas dari seksa..”
“Seksa?” Alina terkedu apabila cuping telinga di sebalik tudung yang melitupi kepalanya itu menangkap kata yang aneh di dalam frasa tersebut. Adakah selama ini aku menyeksanya? Adakah aku tidak membalas kasih sayang yang infiniti nilainya dari dia? Mungkin semua yang dilakukan belum mencukupi lagi. Atau mungkin penantian selama lima tahun tidak lagi dihargai.

Senyuman di bibir masih lagi mekar tanpa menghiraukan wajah Alina yang sedang keliru “Iyer la.. Seksa menanggung rindu. Biar bakal suami sayang yang ganti abang tanggung seksa tu nanti.” Spontan tangannya mencubit pipi yang selalu menjadi sasaran.

“Sakitlah.” Tangan lembut Alina mengusap pipi yang kemerahan akibat dicubit. “Tak sayang pada sayang lagi la tu, sampai nak bagi sayang pada orang lain.”

Amir tersengih, gembira melihat Alina tidak lagi bermuram. “Ok, sorry, tadi abang jawab main-main. Ni abang serius.. Abang sayangkan sayang dan kasih sayang ini tidak akan pudar selamanya. Abang mohon sayang supaya tolak semua pinangan selain abang.”

Terukir senyuman manis di bibir Alina. Bahagia rasanya mendengar kata-kata bagaikan janji itu. “Sayang dah tak perlu tanya pasal tu lagi. Sampai bila-bila pun jawapan tetap sama. Jangan terima pinangan orang lain tau.”


Tiba-tiba, semua fantasi yang mengimbas kembali memori silam tadi hilang setelah dikejutkan dengan bunyi ketukan dan pintu terkuak. Matanya mengekor gerak langkah mama yang menghampirinya perlahan. Dia dapat merasai rambutnya dibelai perlahan. Sungguh mendamaikan ketika itu membuatkan dia terlupa masalah yang sedang dihadapinya.

“Mama dah setuju untuk terima rombongan meminang tu.” Kata-kata itu ditutur dengan berhati-hati. Bimbang puterinya yang keras kepala itu memberontak. “Abah dan mama dah berbincang dan kami sepakat dengan keputusan itu. Tunggu Alina je yang berikan jawapan lambat sangat.”

Terjegil mata Alina mendengar butir kata itu. “Mama...”

Mama menarik tangan Alina dengan lembut lalu disarungkan cincin emas belah rotan pada jari manis. “Ni cincin bertanya, diorang yang bagi masa merisik.” Manik-manik kecil jernih yang dibendung sebentar tadi menitis membasahi cincin belah rotan yang sedang ditatapnya. Alina memaut tubuh mama yang turut duduk di katil. Manik-manik yang sudah pun berjuraian kini menghujani bahu mama.

Dalam esakan itu terdengar bicara halus dari bibir Alina. “Mama... Amir...”

“Dengar Alina, mama tak mahu lihat anak mama menjadi bahan ejekan dan fitnah orang. Mama tahu berat untuk Alina menerima keputusan kami. Tapi ini untuk masa depan Alina. Kami takkan salahkan Alina jika apa-apa yang buruk berlaku kemudian nanti.” Mama mengusap lembut belakang puteri yang berusia akhir dua puluhan itu.

Alina berusaha untuk meredakan tangisannya. Pilu yang teramat sangat di hatinya membuatkan tangisan itu tidak dapat dihentikan secara tiba-tiba. “Baiklah mama, Alina terima keputusan itu. Tapi, bersyarat…Alina takkan bertemu dengan bakal suami Alina sehingga pada hari perkahwinan.” suara serak menggetarkan gegendang telinga setelah tangisan reda. Mama memeluk tubuh puteri yang menjadi harapan keluarga itu. Pelukan amat erat tanda kasih sayang yang tak akan putus.


Haluan langkah kaki menuju ke tempat letak kenderaan. Letih badannya tidak tertanggung lagi. Letih menatap monitor belum lagi berkurangan. Kesibukannya pada minggu ini tidak seperti yang sebelumnya. Sehinggakan dia lupa pada ibunya, adik-adik dan yang paling utama pada Alina, kekasih yang setia menantinya untuk sekian lama.

Dengan cermat topi keledar dipakai dan enjin motosikal dihidupkan. Dia lebih senang menunggang motosikal dari memandu kereta. Keadaan lalu-lintas yang sesak setiap kali waktu puncak menjadi sebab utama. Antara sebab sampingan, ekonomi, bermotosikal lebih ekonomi berbanding memandu kereta.

Badannya yang sasa itu direbahkan ke sofa. Terasa hilang sedikit letih pada ketika rebahannya disambut lembut oleh sofa empuk. Butang kemeja berwarna hijau tanpa corak dibuka satu persatu supaya dapat dinikmati kenyamanan udara yang keluar dari pendingin hawa. Dikeluarkannya handphone dari saku seluar.

’25 missed call’ angka yang terpamer di skrin tersebut mengejutkan Amir. Bertambah huru-hara hatinya bila melihat kesemuanya dari nombor yang sama. Lantas dia mendail semula nombor tersebut. Dia faham benar dengan pendirian pemanggil, tidak akan menghubungi jika tidak penting. Pasti ada sesuatu yang penting jika angka yang terpamer melebihi tiga. Handphone itu dilepaskan lalu terdampar di sisi dadanya setelah panggilan itu tidak dijawab.

Dia masih lagi berbaring di sofa sambil merenung siling. Sedang mindanya bergelut dengan kemungkinan yang terjadi. Dicubanya sekali lagi, namun masih lagi hampa kerana tiada jawapan dari pihak kedua. Mungkin merajuk sebab tak angkat call dia tadi. Atau handphone berbunyi di atas sedang dia pula tengah sibuk di bawah. Gegaran handphone ditangan membuatkan dia terkejut. Pantas dia menjawab panggilan itu.

“Assalammualaikum.” Suara lunak yang didambakan menerjah lembut gegendang telinga bagaikan irama asli yang mendamaikan.

“Waalaikumussalam.” Mahu saja dia meneruskan kata-kata berbentuk soalan, tapi akalnya cukup prihatin untuk membiarkan pemanggil menceritakan hal sebenar.

“Amir, saya ada hal nak bincang dengan awak.” Kata gantinama yang cukup janggal untuk diterima oleh saraf pendengarannya.

Namun diketepikan rasa sangsi yang mula wujud di pangkal hati. “Apa yang kita perlu bincangkan sayang?”

“Saya nak awak terima apa yang akan awak dengar dengan hati yang terbuka. Saya…saya…tamatkan hubungan kita setakat ni.” Suara gugup itu agak gementar untuk menyatakan apa yang perlu diberitahu.

“What?” Terlongo mendengar kata-kata Alina yang diluar jangkaan. Akalnya cuba mencari punca frasa itu wujud tanpa di duga. Gagal juga walau sudah dicuba untuk mengimbas kembali sesuatu yang menjadi punca untuk dirinya dibenci. “But why?”

“Cukuplah sekadar awak tahu saya tak layak untuk awak.”

“Sayang, abang minta maaf. Abang benar-benar sibuk dan takde masa untuk sayang. Berikan abang masa untuk abang...”

“Stop it Amir! Please don’t call me sayang anymore. I’m unable to be your sayang.” Getaran suara itu mematikan suara pujukan lembut. Ketegasan di dalam kata-kata itu membuatkan Amir hilang akal untuk memujuk.

Puas difikirkan apa kesalahan yang telah dilakukan sehingga gadis itu begitu marah dan tegas mengungkapkan pendiriannya. Diteliti satu persatu tingkahlaku serta tutur kata yang diimbas dari memori. Mencari kemungkinan yang ada untuk mewujudkan alasan untuk berpisah. Akhirnya terlena kepenatan serta minda yang sudah pun letih memikirkan masalah yang baru terbeban.


Kebaya sutera yang membaluti tubuh kerdil Nadia diperkemaskan lagi. Nadia berpuas hati dengan hasil tangannya. Sutera China berwarna biru muda menjadi pilihan untuk majlis pertunangannya nanti. Alina cukup berhati-hati mengawal emosi dan riak muka bagi melindungi rasa hatinya yang sebenar. Baginya masalahnya itu tidak perlu diwar-warkan kepada orang lain.

Seakan cemburu melihat rakan sekolejnya gembira ditunangkan dengan pemuda yang memang teman istimewa. Mungkin dia tidak beruntung kerana tidak dilamar oleh teman istimewanya. Kadangkala dia berasa beruntung juga kerana dilamar oleh orang lain. Kira famous jugakla aku ni. Bukanla anak dara tak laku.

“Ooo anak dara tak laku…” Sentuhan dibahu membuatkannya terperanjat. Langsung terkeluar apa yang difikirkannya. “Ish, kau ni.. terperanjat aku la. Nak apa?”

“Sape anak dara tak laku tu? Kau ke?” Nadia ketawa kecil.

“Wei, tolong sikit ya.. Aku nak bertunang Ahad ni. Itu maksudnya aku bukanlah anak dara tak laku.” Berkelip-kelip mata di sebalik cermin.

“Wah, Tahniah. Amir tak pernah cerita pun. Dua tiga hari lepas aku call dia, dia takde cakap pun nak pinang kau. Cuma dia kata dua tahun lagi dia nak kawin dengan kau.”

Muka yang indah dihiasi dengan senyuman tadi tiba-tiba berubah. Alina tunduk kemuraman. Nadia terpinga-pinga. Salah susun kata ke, takkan dia marah aku call Amir? Senyuman di bibir Nadia turut surut. “Alina, I’m sorry. I didn’t mean to hurt you. Ok, dari hari ni aku takkan call Amir lagi.”

Alina menggeleng. Sesuatu yang dirahsiakan kini terluah juga. Hmm..gatal mulut nak bangkang, terima padahnya. “Nope, kau tak salah. Aku akan bertunang dengan orang lain.”

“Hah, kenapa?”

“Parent aku setuju untuk terima pinangan tu. Aku terpaksa menurut je. Maruah keluarga, harus dijaga.”

“Habis Amir macam mane? Dia dah tau ke?”

“Kitorang dah break-off..” Nadia kagum dengan sikap Alina yang tenang itu. Sebegitu tenang dia menangani masalahnya. Kagum melihat Alina berjaya melakonkan watak selamba pada awal pertemuan tadi. “Nadia, tolong aku…”

“Yes. What ever you want, just give an order.”

“Tolong rahsiakan hal ni dari Amir.”


Ketulan batu yang diambil di pinggir kaki dicampakkan ke tasik. Matanya meliar melihat persekitaran tasik. Sekali lagi batu dikutip dan dicampakkan ke tasik. Hadirnya di situ tanpa tujuan lain hanya untuk menenangkan fikiran yang tension dengan kerja yang bertimbun.

“Hai tak puas lagi ke nak cipta tension island tu?” Suara garau menghentikan lakunya. Dipusingkan kepala untuk melihat insan yang bersuara dari belakang. Memang insan itu dikenalinya.

“Kau ni, nak tegur biar berdepan. Nasib baik aku tak terperanjat, kalau tak, mau aje aku terjun tasik tadi.” Mendongak kepala menatap wajah pemuda yang berdiri di sebelahnya.

Amir mencangkung bersebelahan dengan Hairie. “Angah, aku ada cerita sedih la, nak dengar tak?” Memang mereka sudah lama berkawan, gelaran itu sudah sebati dalam perbualan mereka.

“Cerita pasal kau atau orang lain?” Amir langsung tidak marah dengan panggilan kata nama kau dan aku itu. Walaupun dia layak untuk dipanggil abang. Baginya panggilan itu hanya menjarakkan hubungan mereka lantaran umur yang agak jauh berbeza.

“Pasal aku la..” Matanya meninjau tempat yang selesa untuk melabuhkan punggung. Penat bertinggung ni, mau tercabut kepala lutut. Amir mula menceritakan segala yang terpikul dibahunya. Sekurang-kurangnya ada seseorang mendengar rintihannya dan akan membantu mencari penyelesaian.

Hairie turut bersimpati setelah mendengar cerita Amir. Mujur dia adalah pendengar yang baik yang akan menilai dan sedia membantu. Amir banyak membantu ketika dia mula membina semangat dulu. Pada ketika dia putus cinta, Amir lah yang memberikan semangat dan nasihat.

Baginya Amir adalah seorang abang yang hebat. Dia tahu Amir tabah dan boleh menerima perpisahan itu. Dia tahu Amir hanya mahukan jawapan yang sepatutnya diberikan oleh Alina. Dia mengagumi Amir kerana kesetiaan seorang lelaki kepada kekasihnya. Walaupun berjauhan, Amir tetap merindui Alina.

“Aku rasa, mungkin sebab dia kena kahwin paksa kot..” Terpacul jawapan yang tidak diduga itu setelah lama mereka tidak bersuara.

“Hish, aku kenal mama dia macam mane. Aku pernah jumpa mama dia. Mama dia baik je dengan aku. Macam dia berkenan je aku jadi menantu dia..” sejak diketemukan oleh Alina, Amir kerap kali menziarahi Puan Zanariah yang dianggapnya seperti ibunya sendiri.

“Jadi kau nak tau la jawapan sebenarnya?”

“Yup.”

“Kita tunggu jawapannya selepas ini…hahaha…”

“Hotak kau, aku serius, kau memain yer.” Segumpal tangan sasa itu mengenai bahu Hairie, hampir terjatuh dibuatnya.

“Wei apa ni, betul la, aku serius jugak la. Mana aku tau jawapan sebenar, kau kena la jumpa dia pastu tanya dia.”

“Jumpa dia?” Hairie mengangguk.

“Tanya dia?” Hairie mengangguk lagi.

“Kau tolong aku..” Hairie melirik mata. Memang dia sudah mengagak yang Amir akan minta pertolongannya.


Titisan air jernih di sekeliling gelas yang berisi minuman ringan perlahan-lahan turun jatuh membasahi meja. Minuman sudah hampir separuh, insan yang dinanti masih lagi belum menampakkan bayang. Mata melilau kiri dan kanan mencari susuk tubuh yang amat dirindui. Sesekali dia menjeling ke arah Hairie yang duduk berhampiran dengannya.

Alina mengangkat kening yang seolah-olah bertanya, namun dibalasnya dengan mengangkat bahu. Dia memberikan isyarat untuk beredar, Hairie mengangguk tanda akur. Tiba-tiba ketika dia mula mengorak langkah, terdengar salam dari suara yang amat dikenalinya.

“Assalammualaikum.” Mata bundar yang dirinduinya kini sedang menatap tenang wajahnya.

“Waalaikumussalam.” Amir duduk kembali di tempatnya setelah Alina duduk berhadapan dengannya. “Alina nak makan apa?”

Alina menggeleng kepalanya. “Takpe, saya dah makan sebelum keluar tadi.”

Senyuman mula mekar di bibir Amir. Rindu yang selama ini terpendam di dada hampir terubat. “Saya datang bukan nak tengok awak senyum. Hairie cakap awak ada hal nak cakap dengan saya. Apa hal?”

Mata kecil itu merenung gadis yang mengenakan blaus berwarna biru dipadankan dengan tudung yang sedikit cair bersama seluar hitam. Satu keanehan dapat dirasakan dengan kelakuan gadis di depannya itu. Cara layanan yang agak kasar membuatkan hatinya sedikit terguris. Namun dibiarkan semua itu dan masih lagi mengukir senyuman.

“Awak, saya tak boleh lama ni, saya datang dengan mama saya nun.” Amir Asyraf turut berpaling ke arah hala kepala Nur Alina berpaling. Di kejauhan, berhampiran dengan pintu masuk Mc Donalds berdiri satu tubuh. Puan Zanariah kelihatan bersahaja dan melambai ke arah Amir Asyraf.

“Alina, saya cuma nak tahu mengapa awak nak putuskan hubungan kita.”

“Bukankah saya dah berikan jawapannya? Kita tak sepadan. Saya tak layak untuk awak dan awak tak layak untuk saya. Itu saja.” Kata-kata itu sedikit sebanyak mencarik luka di hati Amir. Terkedu melihat Alina berlalu pergi untuk mendapatkan mama yang sudah lama menanti.

Langkah laju Alina bersama Puan Zanariah diekor dengan mata dari jauh. Dia mengharapkan Alina berpaling ke arahnya seperti selalu supaya dia dapat mengejar kembali. Harapan tinggal hampa, Alina terus melangkah tanpa berpaling. Tegas sungguh pendiriannya kali ini. Takpelah dah tak suka, kena cari ganti gamaknya.

Amir pulang dengan hati yang sarat dengan kelukaan. Hati yang luka itu diubati dengan ungkapan ‘if you love somebody, set them free’. Biarkan dia bebas. Kalau dah jodoh tak ke mana. Perasaan adalah milik Allah dan sebaik-baik perancang juga adalah Dia.

Mungkin bukan jodoh, namun namanya masih bersinar di dalam hati ini. Sedangkan doa yang diamalkan agar nama itu dipadamkan jika bukan jodoh yang terbaik. Mungkin perpisahan ini hanya seketika. Kalau seketika ada chance lagi la. Cuma kena cari ayat elok-elok untuk memujuk.


Bunyi handphone yang membingitkan itu terhenti apabila Amirah yang berumur tiga tahun lebih mengangkat gagangnya. Amirah dengan percakapan telornya berbicara beberapa ketika dengan pemanggil. “Kak Nana tepon. Owang laki nak akap.” Gagang dihulur kepada Nana.

“Hello.”

“Nana. Aku ni. Kau sihat?”

“Oh, Abang Amir. Sihat. Abang Amir camne?”

“Demam, sakit, semua penyakit dah berjangkit kat aku..”

Timbul rasa aneh di hati Nana. Suara macam tak sakit, mesti ada apa-apa. “Kenapa?”

“Ala pasal akak kau la. Dia mintak putus. Aku tak puas hati. Kau tau tak sebab apa?”

Serba salah Nana dibuatnya. “Sebenarnya…sebenarnya,dia dah nak kahwin.” Nana teragak-agak untuk menjawab. Dia terpaksa menjawab supaya Amir faham dan berhenti memujuk kakaknya.

Kemungkinan jawapan yang selalu bermain di kepala akhirnya bergetar jua di gegendang telinga. Jawapan yang cuba untuk ditidakkan. Jawapan yang cukup perit untuk diterima. ‘Dah nak kahwin’ Tidak!! Hmm…Semoga kau berbahagia Alina.


Kurang 24 jam lagi dirinya akan menjadi tunang orang. Hatinya resah memikirkan kekasihnya yang masih lagi disayangi. Dia terpaksa menipu supaya insan yang disayanginya itu menjarakkan hubungan kasih antara mereka. Ya Allah, aku insan yang lemah. Aku tak mampu untuk melawan takdirMu. Fikiran Alina melayang-layang dan wajah kekasihnya itu masih terbayang-banyang diingatan. Dicuba berkali-kali untuk melelapkan mata namun, resah di hati menggagalkan dia melelapkan mata.

Dia mengalah, dia tahu dia perlu berterus terang. Dicapainya handphone di atas meja solek lalu mendail nombor yang sudahpun dipadam di dalam phonebook. Tidak lama kemudian panggilannya dijawab.

“Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam. Awak nak apa lagi?” Suara tenang yang kedengaran seolah tidak mahu diganggu. “Tak cukup lagi awak nak lukakan hati saya?”

“Saya cuma tanya satu soalan saja.” Walaupun gugup, namun diatasinya supaya kekuatan hadir dalam diri bagi mengatasi ketakutan yang akan mengundang kekalutan. “Awak masih sayangkan saya lagi ke?”

“Maaf Cik Nur Alina, saya rasa awak salah orang. Saya tak pernah nak menyayangi awak. Selama ini saya cuma main-main aje dengan awak.” Hampir meraung Alina mendengar jawapan yang diluahkan. Namun, ditabahkan hatinya agar dia tenang menghadapi dugaan itu. “Oo ya, tahniah! Awak jaga la tunang awak baik-baik. Jangan kacau saya lagi, nanti tunang awak marah.”

“Amir, I still loving you and I’ll love you till the end of time.”

Tutur kata yang jujur itu membuatkan Amir terharu, namun kata-kata itu tidak berguna kerana Alina akan bertunang pada hari esok. “Ha elok la tuu, cintakan saya, sayangkan saya, tapi kahwin dengan orang lain. Dah la, saya bukan lagi insan yang menyayangi awak. Awak perlu tumpahkan segala rasa sayang awak pada suami awak kelak. Jangan awak hirau pasal saya lagi. Ok?”

Air mata berderai, hanya itulah yang mampu untuknya melepaskan tekanan emosi. Tidak terfikir bagaimanakah untuk tidak menghiraukan insan yang disayangi, bagamanakah untuk tidak ambil peduli pada insan yang dikasihi. Perlahan hatinya dipujuk, butir bicara Amir ada benarnya, tidak patut dia meluahkan rasa cinta pada orang yang bukan tunangnya.


Setelah seminggu berlalu cincin emas bermata berlian itu tersarung di jari manisnya. Selama itulah dia masih lagi tidak bertemu dengan tunangnya dan cuma ada tempoh seminggu untuk dia bergelar isteri. Kadang-kadang dia berasa takut, seolah dia belum bersedia untuk menjalani hidup berkeluarga. Apatah lagi dengan memikul tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kelak. Tersenyum sendiri bila menggambarkan kehidupan bahagia yang akan ditempuhi bersama suaminya.

Memang dia mengimpikan kebahagian bersama suami dan anak-anak. Dalam sudut hati ada juga tertanya, bagaimana rupa bakal suaminya. Teringat kembali pada syarat yang dikenakan pada mama. Untuk kebaikannya juga, dia takut berubah hati bila mengetahui siapa tunangnya.

Semasa menanti majlis pertunangan, perasaan kalut menguasai jiwa. Masakan tidaknya tempoh 3 hari yang diberikan tidak cukup untuk membeli barang keperluan. Keprihatinan pihak lelaki cukup membuatkannya terharu, segala barang hantaran yang sudah siap dihantar pada pagi majlis. Dia turut diberikan sepersalinan lengkap bersama jurusolek.

Kepalanya seakan ditimpa segunung batu, begitu berat untuk diangkat. Perasaannya berdebar-debar turut melanda jiwanya ketika itu. Dia tunduk semasa pintu dikuak oleh wakil perempuan dari pihak lelaki. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaannya ketika itu. Satu tangan yang menyamankan menyentuh dagu lalu mengangkat kepalanya beralih dari posisi tunduk. Senyuman manis Puan Suriani itu disambutnya dengan senyuman yang mengindahkan wajahnya.

Puan Suriani mencapai jari manis gadis yang sedang mengenakan baju kurung pesak berwarna cream. Cincin berlian bermata satu diambil dari kotak baldu lalu disarungkan pada jari tersebut. Tangannya yang dihulur disambut lembut oleh bakal menantunya dan menerima kucupan.

Dingin terasa dahi dan kedua pipi Alina akibat dikucup oleh bakal mertua. “Alina, tahniah. Semoga Alina serasi dan bahagia bersama anak mak.”

Diraba dahinya kedinginan masih lagi terasa. Dia seakan-akan berasa serasi dengan bakal mertua yang prihatin itu. Dalam kegembiraan yang dirasai hatinya turut berasa sedih. Dia harus memadamkan rasa cintanya terhadap Amir. Dia tidak boleh berbohong pada hatinya. Andai dapat menjerit, dia akan menjerit ‘Amir, Alina sayangkan Amir.’

Dia tidak berdaya untuk merubah kata abahnya. Sekali-kali dia cuba untuk tidak derhaka kepada kedua-dua orang tuanya. Jika dia menolak, pasti akan memalukan keluarganya. Pasti mama dan abah tidak suka pada anak yang memalukan keluarga.

Akan dipastikan harapan mama dan abah dipenuhi. Harapan melihat puteri sulung keluarga itu bahagia bersama suami dan anak-anak akan dilaksananya. Hanya tinggal seminggu saja lagi. Ya, semnggu saja lagi, selamat tinggal Amir..


Keriuhan suara orang bertandang menghingarkan majlis perkahwinan. Alina duduk berteleku di birai katil bersama Nadia yang setia menemani dan mendamaikan gelora hatinya. Sesekala air mata yang mahu menitis dilap dengan tisu yang sentiasa berada di tangannya. Nadia cuba memujuk Alina supaya menghiaskan wajah dengan senyuman.

Di sebalik keriuhan itu terdengar suara yang menyatakan pengantin lelaki sudah tiba. Alina cuba sedaya yang boleh untuk memaniskan rupa. Namun disudut hatinya terselit rasa rindu terhadap Amir. Dia menarik nafas sedalam yang mungkin. “Selamat tinggal Amir, akan ku kenang dirimu selamanya.” Tutur yang dibicarakan dalam keadaan berbisik.

Jurunikah beredar dari bilik setelah mendapatkan tandatangan dari pengantin perempuan. Kini upacara akad nikah akan dilangsungkan. “Mohd Amir Asyraf bin Muhammad.” Tersentak Alina mendengar nama yang disebut oleh jurunikah.

“Saya.” Jawab pengantin lelaki. Nadia yang berada berhampiran dengan Alina turut terkejut bila mendengar suara yang dikenalinya.

Setelah selesainya akad nikah, Alina dengan sahnya telah menjadi isteri Amir.

Amir melangkah masuk ke dalam bilik untuk menyarung cincin bagi memenuhi adat membatalkan air sembahyang. Wajah putih bersih di hadapannya direnung dalam-dalam. Mencari sejalur keikhlasan. Senyuman yang dihadiahkan dibalas dengan mesra.
Disentuh lembut tangan isteri yang sedang tunduk. Tangan yang dihulur disambut oleh kelembutan tangan wanita yang sah menjadi miliknya. Lalu tangan itu dikucup tanda hormat dan patuh. “Surprise!”

Luahan kata dari insan yang sememangnya didambakan menjadi suami itu merungkaikan segala kekusutan yang dikepalanya pada waktu dia terkejut tadi. Alina bangun dengan tiba-tiba dan memeluk erat suaminya. “Abang jahat tau buat sayang camni..”

Amir terperanjat dengan tingkah-laku isterinya. Lalu cuba diungkaikan pelukan erat itu kerana perasaan malu mula menyelubungi. Malu kerana ditonton oleh semua yang hadir. “Abang cuma nak tengok rupa orang yang kena kahwin paksa. Dah la, nanti kita sambung lagi, malula orang tengok ni.”


Berterabur tawa mereka berdua ketika menonton rakaman majlis perkahwinan mereka. Alina berasa bahagia di samping suami yang penyayang dan amat memahaminya. Dia selesa bersandar di dada suaminya yang sasa. Kehangatan dakapan suaminya membuatkan dia berasa dirinya dilindungi.
“Best juga tengok rupa orang kena kahwin paksa ya. Tak tahan tengok sayang menangis sambil pegang tisu. Sayang juga sayang pada abang yer.”

“Jahat tau, tak aci la semua pakat dengan abang nak kenakan sayang.” Alina menjeling wajah selamba Amir.

“Sebenarnya, abang pun tak tau yang mak datang pinang sayang. Mak rahsiakan aje. Sampai seminggu sebelum nikah baru mak bagi tau.” Senyuman yang terukir menceriakan lagi wajah Amir. “Kira abang pun dah kena tipu dengan mak, mama dan abah.”

Alina tertawa bersama Amir. “Masa abang bagitau sayang yang abang tak sayangkan sayang tu macam nak gugur jantung sayang tau.Sekarang ni abang sayang ke tak?”

“Mestila sayang.. Tambah-tambah dah ade ni…” Amir mengusap lembut perut isterinya. Senyuman bahagia terukir di bibir kedua-dua mereka. Alina turut membelai perut yang semakin membesar. Jauh di sudut hati dia bersyukur, berkat bersabar dan patuh pada ibu bapa kini dia bahagia bersama insan yang memang dinantikan untuk mendirikan keluarga bahagia bersama.

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

Saturday, June 28, 2008

Secarik Mimpi

~ Oleh : mat_romeo ~

Hembusan bayu lembut yang membelai. Sang camar riang berterbangan berpasangan. Mentari ufuk merah mula menyembunyikan diri dan desiran ombak yang memukul pantai membuatkan Ayu leka sendirian menikmati keindahan ciptaan Tuhan di pesisir pantai. Baginya berada di pantai memberikan ketenangan padanya. Sejak kedatangannya di pulau terpencil ini membuatkan dia merasa tenang dan damai. Malahan keluarga angkat yang menjaganya begitu baik melayani dirinya.

“ Jauh termenung, apa yang Ayu fikirkan tu? Sapa satu suara yang cukup dikenalinya.

“ Tak ada apa-apa. Sahaja ambil angin petang”. Jawabnya bersahaja.

“ Boleh saya turut serta bersama Ayu?

“ Boleh apa salahnya….

Petang itu mereka berdua kelihatan begitu rancak berbual. Jelas tergambar kemesraan serta keserasian antara mereka. Tapi pada peringkat awal perhubungan, mereka seperti anjing dengan kucing. Pantang bersua pasti tercetusnya pertelingkahan antara mereka. Dan Ayu sendiri tidak suka akan guru muda yang bernama Adam itu. Perasaan benci mula melonjak dalam dirinya. Namun perasaan itu mula menghilang, lantaran Adam telah menyelamatnya dari mangsa manusia yang tidak berhati perut seperti Kamal. Ia berlaku dua bulan yang lalu, di mana Mak Jenab dan Pak Abu tiada di rumah pada malam itu. Kamal telah menyelinap masuk ke dalam rumah itu kemudian dia cuba untuk melakukan perbuatan yang terkutuk pada Ayu. Mujur Adam mendengar jeritan Ayu sewaktu dia baru pulang dari masjid. Dengan penangkapan Kamal pada malam itu dia telah dimasukkan ke dalam penjara, bukan hanya dia cuba melakukan perkara yang tidak senonoh itu, malah dia juga merupakan pencuri di kampung ini. Haji Mail telah meletakkan jawatannya sebagai ketua kampung, lantaran malu akibat perbuatan anaknya, Kamal.

“ Anak tak berguna, tak mengenang budi. Kalau gatal sangat hendak berlaki cakap dengan aku. Boleh aku carikan untuk kau. Kenapa laki aku, yang kau hendak”. Marah Rokiah lalu memukul Ayu dengan tali pinggang.

“ Tolong kesiankan Ayu, Bukan salah Ayu Mak Uda”. Rayu Ayu pada ibu tirinya.

“ Kau memang tidak mengenang budi. Aku yang jaga kau sejak ayah kau mati. Hendak harapkan mak kau. Entah kemana. Kalau tidak kerana aku, kau sudah mati kelaparan”. Bebel Rokiah.

“ Mak Uda tolonglah, jangan pukul Ayu Mak Uda. Sakit Mak Uda”. Ayu menangis teresak-esak cuba merayu pada ibu tirinya. Sewaktu Ayu cuba menceritakan kepada mak tirinya, bahawa suami Mak Kiah telah melakukan perkara yang tidak senonoh terhadapnya. Bukan sekali dua Malahan banyak kali dia dijadikan mangsa untuk melepaskan nafsu serakahnya, hinggakan dia tidak tahan lagi untuk melayan kehendak lelaki itu yang lagaknya seperti binatang. Sebab Itulah dia cuba menceritakan pada Mak Kiah. Dia fikir mungkin ibu tirinya akan menyebelahi dirinya. Malah dia pula dituduh cuba menggoda suaminya.

“ Bukan salah Ayu Mak Uda.

“ Sudah, aku tak mahu dengar lagi dan aku tak ingin tengok muka kau dirumah ini. Kau keluar dari rumah aku ini”. Tengking Rokiah lalu mengheret Ayu ke tangga dan ditolaknya tubuh kecil itu ke bawah. Lalu Rokiah mencampakkan beg dan pakaian keluar. Dengan kudrat yang ada Ayu sedaya upaya mengutip pakaiannya dan dimasukkan ke dalam begnya. Dia cuba bangun walaupun badannya terasa sakit dan sengal. Digagahinya untuk melangkah dalam kepekatan malam itu. Walaupun dia sendiri tidak tahu kemana arah tujuannya.

“ Ayu, mak tengok Adam tu memang sukakan Ayu. Mak dah ayah memang suka kalau kamu berdua berkahwin. Adam tu baik budaknya, pandai hormatkan orang tua, berbudi bahasa pula tu”. Cerita Mak Jenab pada Ayu yang sudah dianggapnya sebagai anaknya sendiri. Namun Ayu tidak menunjukkan sebarang reaksi, dia begitu tekun membaca novel kegemarannya.

“ Ayu dengar tak apa yang mak cakapkan ni”. Tegur Mak Jenab.

“ Dengar mak. Ala, mak jer yang beria-ia sangat suka pada Adam tu. Entah-entah dia sudah ada buah hati yang menunggunya dekat KL tu”. Ayu menjuihkan mulutnya yang kecil itu. Pada hakikatnya dia begitu senang dengan Adam tapi dia tidak layak untuk perempuan yang sekotornya. Adam terlalu baik, sedangkan dirinya yang terlalu hina.

“ Lain benar bunyinya tu”. Sampuk Pak Abu tiba-tiba.

“ Apa yang lainnya ayah. Betul kan apa yang Ayu cakap. Lagipun ayah juga pernah cakap kita jangan suka sangat berangan”. Katanya lalu meletakkan novel disisinya. Dia mengamati wajah kedua orang tua dihadapannya. direnungnya jauh kedalam. Jelas kelihatan garis ketuaan mula memenuhi muka mereka berdua. Dengan mereka berdualah dia memperolehi belaian kasih sayang dari seorang ibu dan ayah yang sering diimpikannya selama ini. Seingatnya ibunya telah meninggalkan dirinya sewaktu dia berumur 5 tahun untuk mengikut lelaki lain. Atas alasan ayah tidak mampu untuk memberikan kemewahan pada ibu. Sejak ketiadaan ibu, ayahlah yang menjaganya sebaik mungkin, ternyata ayah tidak pernah mempersiakan dirinya. Dialah ibu dan dia juga ayah dalam pada masa yang sama. Ayah bekerja keras dan hasilnya ayah telah berjaya memiliki perniagaan sendiri. Kehidupan mereka benar-benar berubah. Dari hidup kais pagi makan pagi, kini mereka mampu memiliki apa sahaja kemahuan mereka. Dalam pada itu ibu cuba kembali kepangkuan ayah, tapi ayah telah menolak mentah-mentah kehadiran ibu. Ayah benar-benar kecewa dengan sikap ibu. Pernah sekali dia dimarahi oleh ayah sewaktu dia cuba untuk memujuk ayah supaya menerima ibu. Sebelum ini ayah tidak pernah hendak menengking padanya. Sejak dari itu dia tidak berani untuk berbicara apa tentang ibunya. Walaupun jauh disudut hatinya dia terlalu rindu akan belaian seorang ibu.

Pada suatu hari dia dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita dan budak perempuan yang bernama Suraya yang tiga tahun lebih tua dirinya dalam rumah itu. Ayah menyatakan bahawa wanita itulah yang akan menjadi ibunya kini. Berita yang disampaikan bukanlah berita gembira buat dirinya. Segala cerita-cerita yang sering didengari dari kawan-kawan sekolahnya, bahawa ibu tiri ini jahat dan kejam sering menghantui dirinya. Namun sangkaan itu meleset, ternyata Mak Uda melayannya dengan baik. Dia mula menceritakan pada kawan-kawan sekolahnya tidak semua ibu tiri jahat dan kejam. Tapi itu semua hanya bertahan beberapa bulan. Sejak kemerosotan perniagaan ayah, Mak Uda mula berubah sikap, yang dikenalinya dulu seorang yang lemah lembut, bertukar menjadi seorang yang bengis. Dia sering dijadikan alat untuk melepaskan geramnya. Malah dia selalu disisihkan. Seolah-olah dia merasa seperti penumpang dirumah sendiri. Pergerakan terbatas, semuanya dikawal oleh Mak Uda. Begitu juga dengan soal makan, setelah mereka anak beranak selesai makan barulah dia boleh menjamah makanan. Tapi ia berlaku hanya ketiadaan ayah. Kalau ayah di rumah, dia akan dilayan seperti biasa.

Tidak lama kemudian ayah telah menghembuskan nafas yang terakhir. Kini dia tiada tempat bergantung harap. Walau hakikatnya dia ada Mak Uda. Dan persekolahannya diberhentikan oleh Mak Uda atas alasan tidak mampu untuk membiayai pembelajarannya. Bukannya tidak mampu, tapi Mak Uda mahu membolot semua harta ayah. Puas dipujuknya namun sia-sia. Dia tidak sempat untuk sama-sama dengan temannya untuk menjalani peperiksaan SPM pada tahun hadapan. Segala impiannya untuk ke menara gading terkubur begitu sahaja. Dia telah dibawa pulang ke kampung Mak Uda yang terletak di Pantai Timur. Dengan sedikit peninggalan ayah yang ada dan hasil simpanan Mak Uda selama berkahwin dengan ayah boleh dikatakan seorang Janda kaya dikampung itu. Rupa-rupanya Mak Uda berkahwin dengan ayah semata-mata kerana harta. Segalanya telah dirancang. Walaupun apa yang Mak Uda telah perolehi dari harta ayah, namun itu masih tidak cukup baginya. Mak Uda dan Suraya melaram habis dengan harta yang ada, sedangkan dirinya di jadikan sebagai hamba abdi. Itulah balasannya yang harus diterima oleh Ayu, kata Mak Uda. Terasa dirinya seperti di dalam epik dongeng Bawang Putih dan Bawang Merah yang selalu ditayangkan di televisyen, lakonan Latifah Omar.

“ Ayu, kenapa Ayu tengok ayah begitu? Tegur Pak Abu yang hairan benar melihat anak gadis dihapannya ini. Semenjak kedatangan Ayu dirumah ini, kehidupan mereka suami isteri bertambah ceria.

“ Hah! Ayu terkejut. Pertanyaan Pak Abu menyedarkan Ayu dari lamunannya.

“ Kenapa ni Ayu? Soal Mak Jenab pula.

“ Tak ada apa-apalah mak, ayah. Sebenarnya Ayu bersyukur kerana mak dan ayah sudi menumpahkan kasih sayang terhadap Ayu. Selama ini Ayu fikir diri Ayu tidak layak untuk mengecapi kasih sayang seperti ini”. Luahnya.

“ Usahlah perkara itu difikirkan lagi. Yang penting kita semua bahagia dengan apa yang telah dikurniakan pada kita. Inilah yang dikatakan takdir. Hidup kita ini Umpama roda, adakalanya kita dibawah dan adakalanya kita akan berada di atas. Tapi bila kita sudah terbang tinggi ke awan jangan sesekali lupa memandang rumput dibumi”. Luah Pak Abu yang penuh bererti.

“ Sudahlah tu bang, hari pun sudah jauh malam. Marilah masuk tidur. Abang tu bukan boleh terkena embun lama-lama sangat. Nanti sakit semput abang tu datang balik”. Telah Mak Jenab lalu masuk ke dalam rumah.

“ Ayu, apa yang ditunggu lagi, mari masuk tidur. Hendak tunggu Adam ker? Entah-entah Adam tu sudah Tidur, lagipun esok kan dia hendak mengajar”. Seleroh Pak Abu.

“ Ish, ayah ni. Mana ada. Lalu Ayu turut masuk ke dalam rumah.

Selang beberapa bulan berikutnya, Mak Uda telah berkahwin dengan seorang pemuda bernama Hamid. Sebenarnya Hamid mahukan harta dari Mak Uda. Mana tidaknya Mak uda merupakan orang terkaya dikampung itu. Fikir Ayu setelah Mak Uda berkahwin mungkin sikapnya akan berubah, namun ia meleset sama sekali. Sejak Pakcik Hamid tinggal bersama dirumah itu, Ayu merasa tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu. cara pandangan mata Pakcik Hamid terhadap dirinya begitu menakutkan. Pernah satu hari dia terserempak dengan Pakcik Hamid sewaktu baru keluar dari bilik air. Tidak berkelip matanya memandang Ayu yang sedang berkemban.

Pada satu malam Pakcik Hamid datang kepadanya menyuruh Ayu membuatkan bubur nasi buatnya. Kerana dia tidak berapa sihat ujarnya. Waktu itu, Mak Uda dan Suraya tiada di rumah. Ayu menghantarkan bubur nasi yang diminta oleh Pakcik Hamid ke dalam biliknya. Didapati Pakcik Hamid tiada di atas katilnya, fikir Ayu mungkin dia ke bilik air. Rupa-rupanya Pakcik Hamid ada dibelakangnya. Ayu cuba keluar dari bilik itu, namun telah dikunci oleh Pakcik Hamid. Walaupun puas ditempis namun tenaga lelaki itu terlalu kuat. Dia bagai telah dirakus syaitan. Dikeheningan malam itu mahkota kesucian yang dijaganya selama 17 tahun telah dinodai lelaki yang berperangai binatang seperti Pakcik Hamid. Malah lelaki itu mengugutnya akan membunuhnya sekiranya Ayu membuka mulut pada Mak Uda. Sejak dari itu malam yang dilalui oleh Ayu bagaikan satu Keperitan yang terpaksa dilaluinya. Jelas tergambar segala perlakuan Pakcik Hamid pada malam jahanam itu. Bukan sekali dua lelaki itu datang padanya malahan hampir setiap malam dirinya dijadikan sebagai tempat melepaskan hawa nafsu serakahnya. Dan setiap itu jugalah dia terpaksa menahan kesakitan akibat perbuatan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Kononya Mak Uda tidak lagi mampu untuk melayah kehendaknya. Yang menjadi mangsa dirinya.

“ Assalamualikum Ayu! Sapa satu suara dari belakang.

“ Waalaikussalam. Oh, Cikgu Adam. Cikgu dari mana ni? Ramah Ayu. Lalu meletakkan novel ke sisinya.

“ Saya sahaja jalan-jalan sambil mengambil angin petang. Lepas tu nampak Ayu dekat sini, itu yang saya kemari. Kedatangan saya ini mengganggu Ayu?

“ Tak adalah.

“ Ayu memang minat baca novel? Boleh dikatakan saya selalu perasaan kemana Ayu pergi tak pernah lekang dengan novel”. Ramah guru muda itu mula memancing Ayu untuk berbual dengannya.

“ Aha! Inilah kawan yang Ayu ada, cikgu”.

“ Tak payahlah panggil saya cikgu. Formal benar bunyinya. Ayu panggil saya Adam cukup. Kalau Ayu suka baca novel saya boleh pinjamkan novel-novel saya. Saya ada banyak koleksi-koleksi novel dirumah.

“ Rupanya Cikgu pun suka baca novel?

“ Hah! Kan saya beritahu tadi, janganlah panggil saya cikgu.

“ Ayu sudah biasa dengan panggilan itu. Lagipun semua orang dikampung ini panggil dengan nama itu kan”. Kata Ayu.

“ Saya tak mahu dengar lagi Ayu panggil saya cikgu. Kalau tidak saya tak mahu bagi Ayu pinjamkan novel-novel saya tu”. Adam sekadar mengusik.

“ Tak sampai begitu sekali. Ini namanya tak ikhlas hendak bagi Ayu pinjam novel tu”. Telah Ayu.

“ Bukan begitu maksud saya.

“ Ayu……….. Mari kita balik. Hari sudah senja ni”. Jerit Pak Abu.

“ Tak apalah Ayu minta diri dulu. Ayah sudah panggil tu”. Permisi Ayu pada guru muda itu.

“ Baiklah. Esok Ayu tunggu saya disini. Saya akan bawa novel itu untuk Ayu”. Kata Adam. Ayu hanya sekadar mengangguk kecil lalu terus berlari mendapatkan ayahnya.

“ Hai, Adam meleret senyum kau sampai ke telinga. Ini mesti ada cerita menarik telah berlaku”. Usik Azlan teman serumahnya yang juga merupakan seorang guru ditempat Adam mengajar.

“ Biasalah. Aku baru jer berjumpa dengan bidadari. Kata Adam.

“ Hantu laut mana yang sudah sampuk kau ni Adam? Entah kau jumpa siapa-siapa, boleh dikatakan bidadari”. Telah Azlan.

“ Apa yang kau merepek ni, Lan. Aku rasa dialah gadis yang selalu muncul dalam mimpi-mimpi aku selama ini. Aku sudah jatuh hati padanya, Lan”. Luah Adam tersenyum sambil membayangkan kecantikan dan kehalusan wajah milik Ayu. Wajahnya begitu sempurna.

“ Malaslah aku hendak layan kau ni Adam. Kau hendak aku panggilkan Haji Kassim untuk ubatkan penyakit sampuk kau ni. Lain kali waktu senja-senja begini jangan suka sangat pergi ke pantai tu. Sudahnya kena sampuk dek hantu dan jembalang laut tu”. Bebel Azlan.

“ Apa yang kau melalut tak tentu pasal ni. Aku bukan kena sampuk lah. Tapi aku sudah jatuh cinta. Kau ingat tak, anak perempuan Pak Abu dan Mak Jenab. Waktu kita selamatkan dia dari perbuatan tak senonoh si Kamal anak ketua kampung dulu”. Cerita Adam.

“ Ya, aku ingat. Kau suka dengan budak perempuan tu? Soal Azlan.

“ Kenapa? Tak boleh kalau aku suka dengan dia?

“ Bukanlah macam maksud aku. Cikgu Mazwin yang cantik, cun melecun tu suka sangat pada kau. Kau tolak macam tu jer. Tapi dengan budak tu yang kau terpikat. Kau ni buta ker apa Adam?

“ Kau tu yang buta sebenarnya Lan. Selama ini kau tertipu dengan kecantikan Mazwin tu. Ditempek-tempek dengan mekap tebal. Kalau kau Tak percaya esok aku bawa kau jumpa dengan Ayu. Lagipun aku sudah janji dengannya untuk bagi pinjamkan novel padanya….

“ Adik buat apa sorang-sorang disini? Adik tengah tunggu kawan ker? Soal seorang perempuan cantik berpakaian menarik dan berjenama datang tiba-tiba datang menghampiri Ayu sendirian di perhentian bas.

“ Saya tidak tunggu sesiapa dan tak tahu hendak kemana”. Balas Ayu jujur.

“ Nama akak Maslinda”. Kata perempuan itu memperkenalkan dirinya pada Ayu. Sebenarnya agak lama dia memerhatikan Ayu sendirian yang hilang arah tujuan. Mungkin dia boleh dijadikan salah seorang magsa barunya.

“ Putri Irwayu”. Balasnya lalu menyambut salam dari perempuan cantik itu.

“ Cantik nama tu macam orangnya juga”. Puji perempuan dihadapannya. Dia tersenyum sinis memandang Ayu. Kalau dia berjaya membawa gadis ini mesti perniagaannya bertambah maju.

Pertemuan singkat bersama perempuan yang disangkakan baik oleh Ayu telah membuatkan Ayu terjebak ke dalam kancah yang hina ini. Ayu menyangkakan perempuan yang dikenali dengan nama Linda begitu ikhlas ingin menolongnya, dia telah menjanjikan satu pekerjaan di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya dia dijadikan sebagai pelacur di pusat pelacuran milik Linda dan seorang bapa ayam yang dikenali Mr. Lim. Sejak dia ditempatkan dipusat pelacuran itu, ramai pelanggan ingin memilikinya. Sehinggakan setiap malam dia terpaksa melayan lebih dari enam orang lelaki yang inginkan perkhidmatan tubuhnya. Secara tidak langsung dia merupakan aset penting ditempat itu. Mana tidaknya, ayam kampunglah katakan. Muda dan segar. Walaupun banyak kali Ayu cuba melarikan diri, namun gagal. Orang-orang Mr. Lim ada dimana untuk memerhatikan dia. Tapi dia bernasib baik, kerana dia telah dibawa bercuti oleh Dato’ Zainal ke Langkawi. Walaupun pada peringkat awalnya Mr. Lim tidak membenarkan Ayu dibawa pergi kerana takut Ayu akan melarikan diri. Tapi Dato’ Zainal memberi keyakinan bahawa dia akan menjaga Ayu dengan sebaik mungkin.

Sewaktu Ayu dibawa oleh Dato’ Zainal bersiar-siar dengan menaiki bot laju disekitar pulau yang ada di Langkawi, tanpa fikir panjang Ayu telah terjun ke dalam laut. Sekiranya dia ditakdirkan mati lemas sekali pun dia rela dari terus hidup dengan bergelumang dengan maksiat. Apabila dia tersedar, di dapati dia berada di sebuah rumah diperkampungan nelayan yang terletak di negeri Melaka. Suami isteri yang dikenali dengan Mak Jenab dan Pak Abu telah melayannya dengan baik, sehingga dia tidak merasakan seperti orang asing dalam rumah itu.

Sejak dari itu bermulalah penghidupan baru dalam diri Ayu. Namun kenangan silam membuatkan dirinya masih terbelenggu. Pelbagai persoalan yang berlegar dalam fikirannya. Apa pula tanggapan dari Mak Jenab dan Pak Abu bila mengetahuinya dirinya adalah seorang insan yang kotor dan hina?

“ Assalamualaikum. Sudah lama Ayu tunggu? Sapaan Adam telah menyentapkan lamunan Ayu.

“ Waalaikussalam”. Balas Ayu.

“ Ayu kenalkan ini kawan Adam, Azlan namanya”. Kata Adam lalu memperkenalkan Azlan pada Ayu.

“ Cikgu jugalah ni”. Ayu tersenyum kecil. Azlan terpempan melihat wajah Ayu. Sesuai dengan namanya. Betullah kata Adam, dia juga mula terpikat tatkala melihat senyuman dari Ayu. Terasa satu ketenangan wujud dalam dirinya bila melihat senyuman sedemikian.

“ Ayu, ni novel yang saya janjikan semalam. Masih banyak lagi di rumah tu. Kalau Ayu sudah habis baca, saya beri novel yang lain pula”. Kata Adam lalu menyerahkan beg yang berisi penuh dengan pelbagai novel dari penulis-penulis terkenal seperti Ramlee Awang Murshid dan Aisya Sofea. Mereka bertiga rancak berbual sambil menyusuri pantai.

“ Cantik betul Ayu tu, kenapa lain benar masa aku tengok pada malam tu? Telah Azlan sewaktu mereka berdua pulang dari menemui Ayu di pantai.

“ Baru kau tahu. Kau pun terpikat padanya? Soal Adam.

“ Kenapa tak boleh. Lagipun Ayu tu belum ada yang punya lagi kan. Apa kata esok kau pergi rumah Pak Abu pinangkan Ayu untuk aku”. Gurau Azlan.

“ Apa! Banyak cantik muka kau. Lawan taukeh nampak. Kalau kau suruh aku pergi pinangkan Ayu, bukannya untuk kau. Tapi untuk aku”. Telah Adam.

“ Ala rileks lah. Tak kan gurau sikit pun tak boleh. Tapi aku hendak tanya kau satu perkara. Kau sudah luahkan perasaan kau padanya?

“ Itulah masalahnya. Aku tak tahu macam mana hendak luahkan pada dia. Aku takut dia tak terima nanti. Malu aku dibuatnya”.

“ Buat apa kau hendak rasa malu. Nanti Ayu tu jatuh ketangan orang lain baru kau tahu. Adam, kau tak perlu malu dan takut sekiranya dia menolak lamaran cinta kau. Kau kena terima sebarang kemungkinan sekali pun. Hidup kena berani terima kenyataan. Kalau kau benar-benar yakin Ayu tu pilihan kau. Ayu pasti jadi milik kau”. Bebel Azlan.

Part 4

“ Ada apa Adam hendak jumpa Ayu ni”. Soal ayu sebaik sahaja dia sampai ditempat yang dijanjikan. Kelihatan Adam lain benar. Dia tidak seperti hari-hari yang sebelumnya. Kini lelaki itu kelihatan begitu serius.

“ Sebenarnya ada perkara penting yang perlu Adam sampaikan pada Ayu. Ini melibatkan soal hati dan perasaan”. Luah Adam.

“ Apa dia? Tanya Ayu sambil menguis-guis pasir dengan kakinya.

“ Ayu, sejak kali pertama saya lihat Ayu pada malam kejadian itu, hati saya sudah terpaut sayang pada Ayu.

“ Hah! Ayu terpempan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Adam.

“ Ayu, saya cinta pada Ayu”. Luah Adam lalu memegang erat jari halus milik Ayu. Direnung jauh ke dalam mata bundar Ayu. Ayu membalas renungan mata Adam. Sesungguhnya dia turut merasa apa yang dirasai oleh Adam. Adam menarik dirinya rapat dalam dakapannya. Ayu membiarkan dirinya terus berada dalam dakapan Adam. Tiba-tiba dia tersedar akan siapa dirinya sebenar. Lalu Ayu menolak badan Adam, dia meleraikan pelukan kemas Adam di pinggangnya.

“ Kenapa ni Ayu?

“ Ayu tak layak untuk Adam”. Katanya keras.

“ Tapi kenapa Ayu?

“ Sudahlah Adam. Cukuplah Ayu katakan diri Ayu memang tidak layak untuk lelaki yang sebaik Adam”. Luah Ayu lalu berlari meninggalkan Adam terpinga-pinga sendirian. Adam memandang sayu ke arah Ayu yang kian jauh darinya. Adam pulang dengan perasaan yang hampa.

Atas cadangan Azlan, Adam telah ke rumah Pak Abu. Dia harus mengetahui perkara sebenarnya. Dia boleh terima apa kemungkinan sekali pun. Tapi dia perlu dengar dari mulut Ayu sendiri.

“ Entah lah Adam. Sejak Ayu balik dari berjumpa kamu semalam. Dia terus berkurung dalam bilik. Makan dan minum langsung tak dihiraukannya. Ayu asyik menangis sepanjang malam. Apa sebenar yang telah berlaku semalam”. Tanya Pak Abu pada guru muda dihadapannya.

“ Sebenarnya pakcik, semalam saya ada luahkan perasaan saya terhadap Ayu. Dia cakap dirinya tak layak untuk saya dan terus pergi meninggalkan saya, tanpa tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Ayu”. Terang Adam.

“ Kalau awak hendak tahu jawapannya. Ayu boleh beritahu sekarang juga. Mak dan ayah jadi Saksi”. Kata Ayu tiba-tiba keluar dari biliknya. Kelihatan matanya merah dan bengkak akibat terlalu lama menangis.

“ Ya, sememangnya Ayu akui perasaan sayang dan cinta Ayu pada Adam ada dalam hati ini, tapi Ayu tak boleh dan Ayu tak layak untuk Adam. Sebab……….. katanya tergantung disitu. Ayu cuba mencari kekuatan untuk berterus terang pada pemuda yang berjaya mencuri hati kerdilnya.

“ Sebab apa, Ayu?

“ Sebabnya diri Ayu ini tak suci lagi. Ayu ni perempuan kotor. Perempuan hina. Kata Ayu tersedu-sedu menahan tangisannya. Dalam kepayahan Ayu telah menceritakan satu persatu jalan hidupnya hinggalah dia tiba ke daerah ini pada Adam, Mak Jenab dan Pak Abu. Mereka terkedu mendengar cerita Ayu. Mereka bertiga tidak menyangka sama sekali begitulah perkara yang menimpa pada gadis yang bernama Putri Irwayu. Mereka hanya diam membisu seolah-olah mati kutu. Ayu terus meluru kedalam biliknya. Tidak lama kemudian dia keluar dengan sebuah beg pakaiannya.

“ Ayu hendak kemana dengan beg ni? Tanya Mak Jenab.

“ Ayu hendak keluar dari rumah ni mak. Ayu tak layak tinggal di rumah ini lagi. Ayu ucapkan terima kasih pada mak dan ayah kerana sudi membenarkan Ayu tinggal di rumah ini dan memberikan peluang pada Ayu untuk menumpang kasih seorang ibu dan ayah. Ayu minta diri dulu”. Kata Ayu lalu bersalaman dengan Pak Abu dan Mak Jenab.

“ Janganlah Ayu tinggalkan mak dan ayah. Mak tidak mahu ambil peduli apa sejarah hitam yang Ayu lalui dulu. Cukuplah sekali mak sudah merasa kehilangan anak. Tolong jangan ulangi lagi penderitaan mak ni, Ayu. Tolong jangan pergi nak”. Getaran suara Mak Jenab jelas kelihatan menahan sebak yang terbuku di dadanya. Tangan Ayu tidak mahu dilepaskannya.

“ Betul cakap mak kau tu, Ayu. Lagipun ini semua bukan salah Ayu dan Ayu sendiri tak minta jadi macam ini”. Tambah Pak Abu pula.

“ Tapi ayah!

“ Tak ada tapi-tapi lagi nak. Tinggallah di sini. Kalau Ayu pergi, kemana Ayu hendak bawa diri? Jangan tinggalkan mak dan ayah, nak”. Luah Pak Abu menahan sebaknya.

“ Walau bagaimana pun, Ayu terpaksa pergi mak, ayah. Ayu tak mahu orang kampung memandang serong pada mak dan ayah sekiranya Ayu terus tinggal disini. Terima kasih Ayu ucapkan di atas segalanya”. Katanya lalu terus menuju kepintu. Dia tidak dapat bertahan dengan lebih lama di rumah itu. Perasaan sedih dan sebak terus menghimpit jiwanya.

“ Ayu! Tunggu dulu”. Laung Adam yang dari tadi hanya diam membisu. Ayu menghentikan langkahnya bila mendengar namanya dipanggil.

“ Ayu tak kesian pada Mak Jenab dan Pak Abu. Sampai hati Ayu buat mereka begitu. Selama Ayu disini mereka berdua begitu baik melayan Ayu seperti anak mereka sendiri. Ada mereka tanya asal usul Ayu? Itu tandanya mereka tidak kisah, siapa dan apa kisah hidup Ayu. Ayu telah mengembalikan sinar kegembiraan dalam hidup mereka”. Kata Adam. Ayu merenung wajah kedua orang tua yang menanti dimuka pintu dengan wajah yang penuh pengharapan padanya. Kalau diikutikan hatinya dia tidak mahu meninggalkan kampung itu. Tapi dia……….

“ Kalau Ayu pergi, bagaimana pula dengan saya? Adam juga tidak sanggup untuk kehilangan Ayu. Adam terlalu sayang pada Ayu. Adam tak kisah tentang itu semua dan itu tidak penting bagi Adam. Yang penting dalam hidup Adam, Ayu sudi untuk menjadi teman hidup Adam”. Luah Adam lalu memegang erat jari Ayu.

“ Tapi!

“ Tak ada tapi-tapi lagi sayang. Adam tidak sanggup kehilangan mu sayang. Sejak kali pertama melihat wajahmu, Adam telah menyerahkan seluruh jiwa dan raga Adam padamu. Hanya Ayu sahaja yang bertakhta dalam hati ini. Percayalah sayang”. Kata Adam lalu menarik Ayu dalam dakapannya. Ayu menangis semahu-mahunya dibahu Adam. Tidak menyangka sama sekali ada juga insan yang sanggup menerima dirinya dalam keadaan begini.

“ Sayang, apa yang dimenungkan tu”. Tegur Adam pada isteri kesayangannya sewaktu mereka berdua berbulan madu.

“ Tak ada apa-apalah, bang. Ayu Cuma mengenangkan kisah lampau”. Balas Putri Irwayu lalu menghampiri suaminya. Adam merangkul kemas pinggang Ayu.

“ Sayang, usahlah dikenang kisah lama lepas. Biarkan ia berlalu dibawa arus masa. Yang penting kita bahagia sekarang. Dan abang mahu anak yang ramai, barulah hidup kita bertambah ceria. Kalau boleh setahun, seorang”….

“ Apa! Ramainya. Penatlah Ayu macam ni. Abang ingat Ayu ni kilang ker”. Gurau Ayu. Adam ketawa terbahak-bahak mendengar isterinya berkata begitu.

“ Pandai betul isteri abang buat lawak yer”. Kata Adam, lalu mengucup dahi isterinya. Ayu tersenyum dalam dakapan suaminya. Keperitan yang dilaluinya dulu telah berakhir dan kini dia sedang meniti jalan-jalan kebahagian. Syukur pada tuhan!

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net