Saturday, October 18, 2008

Sepi Sekuntum Mawar

Sepi Sekuntum Mawar
Oleh Fatimah Addariah Abdul Mubin


"PUTUS benang boleh dihubung, putus arang bercerai lalu, siapa sangka hubungan kamu berdua masih dapat diselamatkan lagi," kata Shana kepada rakan sejawatannya, Aida, seorang janda muda yang baru sahaja ditinggalkan oleh suaminya.

"Susah Shana. Sekali dipatuk ular, tali pun aku takut. Sudahlah, biarkanlah hanya sekali aku menderita. Lepas ni aku akan lebih berjaga-jaga," kata Aida, tangannya masih ligat menanda kerja-kerja sekolah anak muridnya di tingkatan 4 Sains 1.

"Aku kasihankan kau. Lepas satu, satu masalah yang menimpa kau. Bersabarlah Aida. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi," nasihat Shana.

"Assalamualaikum," seorang lelaki berbadan tegap berdiri di muka pintu bilik guru SMK USJ 8 tersebut.

"Waalaikumsalam, Encik Muszaphar," kedua-dua guru tersebut berdiri tanda hormat.

"Cikgu Aida, sila ikut ke pejabat saya sebentar," kata lelaki yang dipanggil Encik Muszaphar oleh kedua-dua guru wanita terbabit. Walaupun sudah melewati empat puluhan, namun pengetua sekolah menengah itu masih kelihatan kacak dan segak.

Aida menurutinya. Pelbagai soalan menerjah masuk ke korteks serebumnya. Adakah Man, anak lelakinya dikenakan tindakan tatatertib lagi? Ya Allah, jauhkanlah daripada perkara-perkara yang boleh memalukanku lagi. Mukaku sudah comot diceloreng arang dek kes perceraiannya juga dek disiplin anak lelakinya yang semakin merosot.

Apalagi kes-kes yang biasa kedengaran yang membabitkan budak-budak sekolah zaman sekarang kalau bukan bertumbuk dan merokok? Aida mengetap bibir menahan duka. Duka yang hanya dia seorang menanggungnya. Duka yang hanya dia seorang berendam air mata.

"Cikgu, ini surat daripada Kementerian Pendidikan," pengetua itu menyerahkan sepucuk surat kepadanya lalu disambut dan dibacanya.

"Tahniah cikgu. Cikgu telah dinaikkan pangkat ke jawatan GPK HEM," ucap pengetua lelaki itu.

"Terima kasih, Cikgu Muszaphar. Em... cikgu, tapi bagaimana pula dengan Cikgu Khalid yang sedang menyandang jawatan tersebut?" ujar guru perempuan yang baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai guru penolong kanan itu.

"Oh ya, Encik Khalid telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Jabatan Pendidikan. Tidak mengapalah. Hari Isnin nanti, saya akan umumkan kenaikan pangkat cikgu berdua," kata pengetua yang masih segak itu.

"Terima kasih cikgu. Terima kasih," ucap Aida berkali-kali sambil melemparkan senyuman yang penuh bermakna. Tidak dapat digambarkan perasaannya ketika itu.

"Cikgu memang layak memegang jawatan tersebut. Tahniah sekali lagi," ucap pengetua itu, ikhlas.

Selepas ini komitmennya akan menjadi semakin besar dan berat terhadap sekolah dan keluarganya. Dia akan menjadi lebih sibuk berbanding sekarang. Dia harus membahagikan masa antara keluarga dan kerjayanya dengan bijak apatah lagi selepas memegang status ibu tunggal.

Selepas bercerai, dia terpaksa menanggung nafkah anak-anaknya seorang diri. Jangan harap bekas suaminya, Shahzan, akan memberikan walau sekeping syiling lima sen sekalipun kepada dia dan anak-anak. Sikap lelaki itu yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah menjadi punca perceraiannya.

Namun begitu, sikap negatif Shahzan itu berlaku selepas perkahwinan keduanya dengan Rozita empat tahun yang lepas. Hampir empat tahun jugalah Aida dimadukan oleh Shahzan sebelum mereka bercerai setahun yang lalu. Shahzan hanya mementingkan keperluan dan kebajikan isteri mudanya sahaja. Segala perhatian dan kasih sayangnya hanya ditumpukan sepenuhnya terhadap Rozita. Apatah lagi selepas Rozita melahirkan seorang bayi lelaki.

Perhatian dan kasih sayang Shahzan terhadap Aida dan anak-anak hasil perkongsian hidup mereka selama dua puluh tahun yang sememangnya sudah kurang menjadi semakin berkurangan. Dibiarkannya Aida menanggung sendirian anak-anak dengan hasil kerjanya sebagai seorang guru.

Lantas setahun yang lalu, Aida telah bertindak memohon fasakh daripada Shahzan walaupun lelaki itu enggan melepaskannya. Aida tidak sanggup lagi berkongsi kasih dengan wanita lain. Wanita yang hanya mementingkan diri sendiri dan menyakiti wanita lain demi mendapatkan kasih sayang seorang suami yang satu itu.

Aida beralah, dia tidak mahu terus memendam rasa, dia tidak mahu menjadi penghalang cinta antara Shahzan dan Rozita. Dia sedar, Shahzan tidak memerlukannya lagi. Shahzan tidak lagi menyentuhnya. Mungkin tubuhnya begitu jijik untuk disentuh lagi.

Namun begitu, ketika di Mahkamah Syariah di Shah Alam, cerai fasakh yang diminta oleh Aida ditukarkan oleh hakim kepada cerai taklik berikutan kedatangan Shahzan pada hari itu melancarkan proses perceraian. Pada 16 Jun 2007, maka rasmilah perpisahan mereka sebagai sepasang suami isteri dengan lafaz talak satu di hadapan hakim.

Betul kata Shana, segala yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Selepas bercerai, rezekinya mencurah-curah ibarat kata pepatah, terang kabut teduh hujan. Anak perempuannya, Salsabila akhirnya diterima masuk ke universiti setelah menunggu hampir dua tahun dengan biasiswa yang melebihi RM15,000. Nah, lihatlah dia pula dinaikkan pangkat dan tentulah gajinya turut dinaikkan sekali. Alhamdulillah, ya Allah, bisik hatinya, syukur ke hadrat Ilahi.

"Man, nak ke mana tu? Duduklah rumah, baca buku. Exam dah dekat kan?" tegur Aida apabila Man menuruni tangga dengan berpakaian kemas pada suatu malam.

"Sekejap saja mak. Pukul 11 Man balik. Esok Man akan bangun pagi-pagi untuk study, macam kakak," janji Man.

"Betul ke? Man selalu berjanji dengan mak tapi Man tak pernah nak kotakan janji Man. Man kena ingat, Man SPM tahun ni. Disiplin Man pun dah semakin teruk sekarang. Mak malu, Man, apa cikgu lain cakap pasal kita," Aida tidak putus-putus menasihat Man saban hari, namun kata-katanya itu bagai masuk ke telinga kanan, keluar ikut telinga kiri anaknya itu.

"Man lagi malu pasal mak dengan Encik Shukor. Mak tak fikir pula pasal hal tu," tiba-tiba Man melemparkan kata-kata yang menyentap naluri keibuannya.

"Man tahu itu semua fitnah, bukan? Man lebih percayakan cakap-cakap orang daripada kata-kata mak sendiri?" kata Aida yang tidak menyangka anaknya akan mengungkit tentang hal itu.

"Man keluar dulu mak. Man dah lambat ni."

Aida cuba menyelami masalah sebenar anaknya. Namun begitu, pengaruh kawan-kawan lebih kuat daripada pengaruhnya terhadap Man. Didikan yang diberikan selama ini bagai tidak tertumpah ke sanubari Man. Semuanya ibarat mencurah ke daun keladi, tidak diguna pakai.

Jam di dinding menunjukkan pukul 10.30 malam namun begitu, bayangan Man masih juga tidak kelihatan. Man sekali lagi melanggar janjinya. Hati ibu mana yang tenteram apabila anak tidak pulang seperti dijanjikan. Manalah tahu ada bala yang menimpa di luar.

"Mak tak tidur lagi?" tegur Sal menuruni tangga setelah melihat ibunya sedang membaca buku di ruang tamu.

"Tunggu si Man ni, tak balik lagi," keluh Aida sambil menjenguk-jenguk ke luar pintu kaca, takut-takut bayangan anaknya muncul tiba-tiba.

"Tak apalah mak. Biar Sal yang tunggu Man balik. Lagipun Sal nak surf internet ni, nak cari bahan rujukan. Habis cuti ni kena hantar," kata Sal yang sedang bercuti pertengahan penggal di universitinya.

"Kalau begitu, mak tidur dulu. Esok pagi ada mesyuarat PIBG. Sal tunggu Man balik tau," kata Aida sambil memanjat anak tangga ke atas. Matanya sudah tidak mampu dikekang sehingga lewat malam.

"Baru balik kau!" tegur Sal setelah membuka pintu untuk adiknya.

"Kak, mak ada cakap apa-apa tak?" Man menduga.

"Pasal apa?" Sal mengerut dahi.

"Pasal aku?" Man menduga lagi.

"Tak adalah. Mak tu tak pernah nak cakap belakang pasal anak dia. Anak dia saja yang buat begitu."

"Kakak ni cakap apa? Perli Man ke?"

"Memang betul bukan? Kau cerita macam-macam pasal mak. Macam aku tak tahu," Sal menduga.

"Hei, jangan main tuduh-tuduh. Apa buktinya. Apa yang kakak tahu?" kata Man.

"Adalah," Sal berdalih.

"Alah, kakak tak tahu sebenarnya. Saja nak takut-takutkan Man," Man masih berlagak tenang.

"Aku tahu Man. Sampai hati kau buat mak macam tu. Kau fitnah mak kau sendiri Man. Kalau mak tahu, tentu dia sedih," Sal menyatakan kekesalannya.

"Alah kakak ni, nak berleter pula. Cakap sajalah apa yang kakak tak tahu," desak Man.

"Betul ke kau cakap kat orang yang mak minta cerai daripada abah sebab mak nak kahwin dengan Cikgu Shukor? Teruklah kau ni," luah Sal pada sikap adiknya yang bagaikan tepuk di muka dulang, terpercik ke muka sendiri.

"Betulkah Man apa yang kakak cakap tu?" celah Aida dari atas tangga. Dia terbangun setelah terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

"Aduh kakak ni," keluh Man menyalahkan kakaknya.

"Nak salahkan kakak pula," Sal pula menyalahkan adiknya. Saling bermain tarik tali antara satu sama lain.

"Mak juga yang cakap macam tu masa nak bercerai dengan abah dulu," Man mengungkit peristiwa lama. Peristiwa yang menjadi sejarah hitam bagi mereka sekeluarga terutamanya Aida.

"Itu hanya alasan untuk abah lepaskan mak. Kalau tidak, abah akan membiarkan mak hidup gantung tak bertali Man, Sal. Mak tak akan kahwin dengan sesiapa lagi. Kau berdua tak faham. Mak menderita selama ni," Aida meluahkan perasaannya.

Timbul rasa kekesalan di dalam hatinya kerana telah bertindak membuat alasan sedemikian sedikit masa dahulu.

"Manalah Man tahu. Man ingat memang betul mak nak kahwin dengan Cikgu Shukor tu. Lagipun bukan main lagi mak main SMS dengan dia," tegur Man akan sikap ibunya.

"Dia suami orang Man. Cukuplah mak hidup bermadu selama ini. Mak tak nak dituduh sebagai perampas suami orang setelah suami sendiri dirampas orang," Aida menduga kata-kata yang bakal dilemparkan padanya oleh masyarakat sekeliling yang suka benar menjaga tepi kain orang lain.

"Kalau begitu, janganlah layan SMS dia. Dahlah mak ni. Mak asyik nasihat orang tapi diri sendiri pun tak betul lagi. Macam ketam," kata Man terus berlari naik ke tingkat atas.

Aida mengetap bibir. Sal hanya mampu memandang ibunya dengan pandangan yang sayu. Masing-masing mahu masuk tidur dan mengharapkan kedatangan hari esok agar peristiwa malam ini akan dilupakan, terus lenyap daripada ingatan. Aida tidak mahu peristiwa malam ini berulang lagi. Dia tidak mahu hubungannya dengan anak-anak renggang disebabkan oleh memori yang lalu.

"Puan, Man dan Taufik bergaduh di kantin," adu seorang murid perempuan yang menerpa masuk ke pejabat barunya dengan tergesa-gesa. Tanpa banyak soal, dia segera ke kantin diikuti oleh murid itu.

"Man, Taufik sudah! Kamu berdua masuk ke pejabat saya sekarang," arah Aida. Kedua-dua orang pelajar itu mengekorinya dari belakang.

"Man, masuk ni sudah lebih daripada sepuluh kali awak dipanggil untuk bersemuka dengan guru disiplin dan saya. Apa punca kamu berdua bergaduh? Saya naik bosan menasihat perkara yang sama setiap kali," kata Aida malas untuk mengulas hal itu lagi.

"Saya cuma mempertahankan diri," adu Taufik.

"Tak kisahlah kamu mempertahankan sesiapa. Saya tak nak kamu mencemarkan nama sekolah dengan sikap tidak berdisiplin kamu. Sudah, kamu berdua pulang ke kelas. Ingat pesanan saya," Aida mengakhiri kata-katanya.

"Cikgu Aida," panggil seorang lelaki dari jauh, menahan guru perempuan tersebut sebelum sempat masuk ke dalam perut kereta. Aida menanti langkah lelaki itu berhenti di hadapannya.

"Cikgu, saya minta maaf pasal kes bertumbuk pagi tadi. Antara anak cikgu dan anak saya," kata lelaki di depannya.

"Tidak mengapalah Cikgu Shukor. Kita jangan libatkan diri dengan hal anak-anak kita. Budak-budak. Entahlah saya tak tahu apa lagi yang perlu saya buat. Mereka berdua asyik bergaduh sahaja," Aida naik runsing dengan perihal anaknya yang suka mencari masalah di sekolah.

"Mereka bergaduh pasal kita," ujar Cikgu Shukor bersahaja tetapi mendalam maknanya.

"Pasal kita? Kenapa?" soal Aida ingin tahu.

"Timbul semula gosip yang sayalah punca perceraian cikgu," jelas guru disiplin itu.

"Ya Allah," rintih Aida.

"Man mempertahankan maruah cikgu. Kes-kes pergaduhannya selama ini semuanya disebabkan dia mahu mempertahankan maruah cikgu. Sebelum ini dia baik dengan Taufik tetapi salah Taufik juga yang selalu cari masalah dengan Man. Man baik budaknya cikgu," jelas Cikgu Shukor.

"Benar kata-kata cikgu tu?" Aida inginkan kepastian. Guru lelaki itu mengangguk.

Oh Tuhan, adakah aku silap kerana memarahi anakku saban hari walhal masalah itu berpunca daripada kesilapanku sendiri? Adakah salahku kerana memulakan persengketaan ini? Bisik hati kecil Aida.

Di kejauhan, Aida melihat kereta bekas suaminya berada betul-betul di hadapan pintu pagar rumahnya. Dia meletakkan kereta di seberang jalan dan terus berjalan masuk ke dalam rumahnya. Shahzan yang menyedari kepulangan Aida segera bergegas keluar.

"Abah balik dulu," kata Shahzan.

"Abang..," sapa Aida namun bagai tidak didengari oleh Shahzan.

"Abang, janganlah abang memusuhi saya kalaupun benarlah saya punca semua masalah ini," kata-kata Aida menyebabkan langkah Shahzan terhenti, bagai menanti kata-kata selanjutnya daripada mulut Aida.

"Saya minta maaf kalau saya yang harus bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku sekarang," Aida menahan sebak di dada.

"Kenapa perlu minta maaf? Bila nak kahwin?" soalan Shahzan membuatkan Aida terdiam.

Shahzan meneruskan langkahnya. Aida tunduk membisu. Hanya Tuhan sahaja yang memahami perasaannya ketika itu. Hanya Tuhan yang tahu betapa terubat rindunya terhadap bekas suaminya itu. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia masih menyintai dan menyayangi lelaki itu. Teralang-alang bagai sampan di depan mata, terlalu sukar untuk diluahkan.

Tiada siapa yang tahu apa yang tersirat di dalam hatinya, semuanya hanya Tuhan yang tahu. Bukan kehendak hatinya untuk berpisah, siapa rela berpisah dengan kekasih hati yang sudah lebih dua puluh tahun hidup bersama. Dia tidak rela. Tapi, dia lebih tidak rela membayangkan lelaki yang dicintainya berada dalam dakapan wanita lain saban malam walhal dirinya sendiri kegersangan kasih sayang seorang suami.

Biarlah dia hidup sendirian dengan anaknya daripada terikat dengan tali ikrar perkahwinannya dengan Shahzan tanpa merasai kasih sayang yang sempurna.

"Ni lawa lawa nak keluar ke mana?" ujar Aida.

"Nak keluar sekejap," jawab Sal, ringkas.

"Nak tengok wayanglah tu," duga ibunya.

Sal tersengih-sengih saling tidak tumpah seperti kerang busuk.

"Mak naik atas dulu. Mandi," kata Aida memanjat tangga.

"Mak turun sekejap. Mak ada buat open house ke?" kata Sal.

"Merepek kamu ni. Puasa pun tidak lagi, apatah lagi hari raya. Takkan nak buat open house pula," Aida mengerut kening.

"Ramai pakai baju raya ni mak," kata Sal yang kebingungan.

"Assalamualaikum," kedengaran suara dari luar rumah.

"Waalaikumsalam," jawab anak beranak itu.

"Kami minta maaf Cikgu Aida kerana mengganggu kalian anak beranak. Cikgu pun tentu baru pulang dari sekolah. Tapi kedatangan kami ni membawa hajat yang besar," kata seorang lelaki tua yang mengetuai sekumpulan manusia yang tiba-tiba hadir di rumah janda muda itu.

Keadaan menjadi semakin bingung dan pelik selepas orang tua tersebut menyerahkan sebentuk cincin kepada Aida. Tahulah Aida maksud kedatangan rombongan seramai lima orang tersebut.

"Encik Muszaphar, sudah lama saya kenal hati budinya. Dia memang baik tetapi anak saya terlalu muda untuk menjadi bakal isterinya. Lagipun Sal baru sahaja dapat belajar di universiti. Lambat lagi habis belajar. Saya harap pak cik dan mak cik faham maksud saya. Saya nak anak-anak saya berjaya dahulu, barulah memikirkan untuk hidup berumah tangga," tutur Aida dengan baik supaya penolakan peminangan itu tidak melukakan hati sesiapa.

"Nampaknya Cikgu Aida tersalah anggap hajat kedatangan kami. Kami bukanlah datang untuk meminang anak cikgu tetapi diri cikgu sendiri untuk anak kami, Muszaphar, pengetua sekolah cikgu tu," lelaki tua itu menjelaskan keadaan yang sebenarnya.

Sal dan Aida saling berpandangan. Kemudian, Sal menguntumkan senyuman.

"Mak, terimalah," Sal membisik ke telinga ibunya.

"Apa kata Man pula?" Aida mahu pendapat daripada anak lelakinya juga.

"Man setuju mak. Sekarang tiba masanya mak fikir untuk keperluan mak sendiri. Mak dah banyak berkorban untuk kami. Man janji, Man akan jaga nama baik mak. Bukankah ibu Man sendiri guru penolong kanan dan bakal ayah tiri Man seorang pengetua? Tentulah Man akan jadi pelajar paling berdisiplin," Man berjanji lagi.

"Eh Man ni belum tentu lagi dah cakap macam tu. Malu mak," kata Aida sambil tunduk malu.

"Apa jawapannya?" tanya lelaki tua itu lagi.

"Saya setuju kalau dia dapat menerima anak-anak saya sekali," ujar Aida tersenyum simpul. Dia mahu dengan keputusan ini, akan menutup mulut orang tentang dirinya. Dia juga mahu keluarganya kembali bersatu ibarat air dicincang tidak akan putus, pancung abu tidak berbekas.

Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

No comments: