Thursday, July 3, 2008

Diari Wardina

Diari Wardina

Hasil Karya: Leen_Qadida
Disenarai Pada: 15 July, 2004

Wardina meluru ke kamar lalu menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Airmatanya deras mengalir. Esakannya semakin kuat. Iefa yang sedang asyik membelek-belek majalah ‘Nona’ di ruang tamu rumah sewaan mereka agak kehairanan melihat gelagat aneh Wardina. Dengan pantas Iefa menuju ke kamar Wardina lalu mendekati sahabatnya itu.

“Dina, kau tak apa-apa?” Esakan Wardina semakin kuat.

“Dina, kenapa dengan kau ni? Apa yang dah berlaku? Cakaplah!” Iefa mendesak.

Wardina bingkas bangun. Jarinya mengesat lemah airmata yang mengalir laju di pipinya. Dia berpaling ke arah Iefa sambil membetulkan kedudukannya.

“Iefa, aku dah tak tahan! Aku tak tahan!!!!” Ujar Wardina sambil tersedu-sedan.

“Tak tahan? Tak tahan apa?”

“Haikal tu… tak habis-habis bercerita tentang girlfriend dia pada aku!”

“Laaa… apa hal pulak? Takkan kau cemburu kot? Biarkanlah dia orang tu.”

“Kau tak faham, Iefa!”

“Tak faham? Hei,Dina! Kau ni macam ada taruh hati kat Haikal je! Betul ke, Dina?”

“Baiklah, Iefa. Demi persahabatan kita, aku berterus-terang saja pada kau. Iefa, sebenarnya dah lama dah. Tapi aku simpan kat hati je.”

“What?!!! Maksud kau... kau dah lama jatuh hati pada si Haikal tu?” Iefa merenung tepat kedua-dua biji anak mata Wardina bagai tidak percaya. Wardina tertunduk sambil menahan malu. Dia sendiri tidak menyangka yang akhirnya dia terpaksa juga membongkar rahsianya itu kepada Iefa. Sebelum ini dia pernah bertekad untuk tidak akan sekali-kali membocorkan rahsianya itu kepada sesiapa mahupun sahabat baiknya sendiri.

“Dina, kenapa kau tak bagi tahu aku tentang hal ni dari dulu lagi?”

“Aku malulah, Iefa. Lagipun kau bukan tak tau. Si Haikal tu hanya sahabat baik aku. Dah hampir empat tahun kita orang menjalinkan persahabatan.”

“Hai… Dina… Dina!!!! Aku betul-betul tak sangka. Dalam diam kau jatuh hati kat jejaka idaman Malaya tu? Bestfriend sendiri pulak tu! Tak terfikir betul aku sebelum ni. Mana tak… aku tengok kau orang berdua tu steadyyyyy… jek! Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Pandai betul kau berlakon depan kita orang semua ye Dina? Kalaulah aku ni wartawan, nak aje aku isytiharkan berita hangat ni dalam Buletin Utama kat Duniamu TV3 tu! Mesti gempak punya kalau member-member lama kita tahu!” Iefa berseloroh. Hilai tawanya galak berderai.

Tidak terlintas di fikirannya sebelum ini bahawa Wardina ada menyimpan perasaan terhadap Haikal. Wardina dan Haikal memang terlalu akrab. Mereka mula mengenali antara satu sama lain sewaktu sama-sama menuntut di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Mereka umpama belangkas. Ke sana ke mari pasti berdua. Pernah juga Wardina dan Haikal diusik oleh pelajar-pelajar lain tentang keakraban mereka yang dikatakan begitu secocok seandainya mereka menjadi sepasang kekasih. Namun, itu semua dianggap tidak lebih daripada gurauan. Mereka semua amat memahami antara Wardina dan Haikal merupakan dua orang sahabat baik yang agak lincah dan dikenali dalam kalangan penghuni kampus. Oleh sebab itulah Iefa berasa agak terkejut dengan pengakuan Wardina sebentar tadi.

“Iyalah… kau ketawakanlah! Sampai besok pagi pun tak apa. Tak guna punya member!!!!!” Wardina menggetap bibir. Matanya menjeling tajam ke arah Iefa yang sedang galak mentertawakannya.

“Ala… rilexlah! Janganlah marah-marah,kak Long! Nanti kena jual karang!” Tawa Iefa semakin galak. Tangannya menekan perut kerana menahan gelak.

“Adoiiiiii… sakit perut aku! Ok… ok… ok… I’m really sorry. Aku bukan sengaja nak gelakkan kau, Dina. Cuma… aku betul-betul tak sangka yang kau cintakan Haikal selama ni. Kalaulah si Haikal tu tahu… aduh… terkejut beruk Mat handsome tu dibuatnya. Iyalah… orang yang disangka sahabat baik, rupanya memendam perasaan cinta pada dia. Hah… Haikal macam mana? Dia tahu ke?”

“Dahlah! Malas aku nak layan kau.” Wardina merajuk.

“Panjangnya muncung… macam todak! Tapi aku tengok macam muncung Mak Wok kat majalah gila-gila tu pun ada jugak! Hei… janganlah macam tu. Nanti abang Haikal lari tau!” Iefa mengusik nakal. Wardina tersenyum sipu.

“Kau ni ada-ada je. Kalau Haikal dengar… macam mana? Hei, Iefa! Aku nak ingatkan kau awal-awal… kau tolonglah jangan usik aku macam tu depan si Haikal. Kau ni bukan boleh dipercaya sangat. Silap haribulan, habis rahsia aku semua terbongkar! Sebab tulah aku rahsiakan hal ni pada kau dulu. Mulut kau tu… macam mulut tempayan!”

“Hishhh… Teruknya! Sampai hati kau cakap aku macam tu. So… kau tak percayakan akulah, Dina? Apalah member! Hei... sebecok-becok aku pun, tak tergamak aku nak malukan kawan sendiri tau!” Giliran Iefa pula merajuk.

“Alahaiiii… sorrylah, Iefa.Tak sangka pulak aku yang kau ni pandai merajuk jugak, ye?!”

“Apa?! Kau ingat kau sorang je pandai merajuk?Aku pun pandai merajuk jugak tau! Heh!!!!!!” Sempat juga Iefa membuat lawak antarabangsanya itu. Wardina tertawa kecil melihat gelagat lucunya.

“Oklah… I’m sorry! Sebenarnya, aku bukan apa, Iefa. Kalau boleh aku tak nak Haikal tahu tentang perasaan aku ni pada dia. Aku malu, Iefa. Aku pun tak tahu macam mana perasaan ni boleh hadir. Mesti kau kutuk akukan? Iyalah… ada ke jatuh cinta dengan sahabat baik sendiri. Macam tak ada lelaki lain pulak.” Iefa segera berpaling ke arah Wardina yang sedang tunduk muram.

“Dina, aku faham. Actually, kau janganlah ingat aku nak kutuk kau. Aku tahu niat kau tu ikhlas. Lagipun bukan kau yang minta. Perasaan unik tu hadir tanpa diundang. Ini semua kuasa Allah. Benda ni normal, Dina.”

“Tapi, dia dah ada yang lain. Aku betul-betul cemburukan dia, Iefa. Dia selalu bercerita tentang perasaannya terhadap kekasihnya, Norli tu kepada aku.”

“So… kerana itulah kau menangis tadi?” Iefa menduga.

“Hati mana yang tak terkilan, Iefa! Kalau orang yang kita cintai menjadikan kita sebagai tempat untuk dia meluahkan perasaan terhadap orang lain. Aku dah tak dapat bersabar lagi. Bertuah si Norli tu kerana memiliki orang seperti Haikal. Iefa, kau rasa,aku bertepuk sebelah tangan ke? Aku perhatikan dari gerak–geri Haikal, dia tak ada sedikit pun menunjukkan reaksi yang dia pun berperasaan seperti aku. Macam mana aku nak hadapi semua ni? Apa yang harus aku buat, Iefa?” Iefa melepaskan satu keluhan panjang. Dia merenung wajah kusam Wardina dengan rasa simpati.

“Entahlah, Dina. Aku tak mampu nak tolong kau. Cuma... apa yang aku nak sampaikan pada kau ni, aku harap kau tak tersinggung. Kau pun tahukan yang Haikal tu dah ada pilihan hatinya sendiri. Aku tengok, dia memang sayang gile kat makwe dia yang sorang tu. Jadi, kau mesti fikir, kalau dia pun suka kat kau… dia takkan cari yang lain. Dan dia akan berusaha memikat hati kau. Kau juga mesti ingat, dia tu sahabat baik kau dan dalam masa yang sama dia adalah insan yang sangat kau cintai. So, kalau benar cinta kau suci, biarkan mereka bahagia. Walaupun kau mungkin gagal memiliki dia tapi hakikatnya kau berjaya kerana sikap timbangrasa kau tu. Cuma… satu perkara kau harus ingat.Qada' dan Qadar kita di dunia ni Allah yang tentukan. Jodoh, pertemuan dan ajal terletak di tanganNya. Kalau ada jodoh kau dengan dia, tak akan ke mana.”

Wardina terkaku seketika. Pandangannya dilarikan ke anak mata Iefa. Dia amat terharu mendengar setiap pengucapan kata-kata yang keluar daripada bibir sahabatnya itu.

“Iefa, terima kasih atas nasihat kau tu. Mungkin ada benarnya kata-kata kau tu. Kita tak sepatutnya mengikutkan sangat perasaan kitakan? Kau telah menyedarkan aku, Iefa.” Iefa tersenyum puas sambil memaut mesra bahu Wardina.

***********************************

Wardina bergegas meluru ke arah Haikal yang setia menantinya di bawah pohon redup yang betul-betul mengadap pantai setelah meletakkan Kembara birunya di tempat yang sesuai. Hampir sebulan mereka tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kerja yang berlambak di pejabat. Semenjak Wardina dan Haikal menamatkan kursus Ijazah di UM, mereka jarang berjumpa. Kini, mereka telah pun menjawat jawatan masing-masing. Wardina sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah di salah sebuah Universiti di Kuala Lumpur di samping menguruskan perniagaan di restorannya. Manakala Haikal pula sering out-station sejak bergelar pegawai Arkitek.

“Kal, aku minta ampun sesangat kat kau.” Ujar Wardina setelah melabuhkan punggungnya bersebelahan Haikal. Dia segera mencapai air tin yang berada di atas meja yang diperbuat daripada kayu balak itu kerana terlalu kehausan. Sampai tersemput-semput Wardina dibuatnya. Mana tidaknya,dia telah berlari-lari anak untuk sampai ke situ sebentar tadi.

“Lambat lagi. Kali ni, apa pula alasan kau datang lambat?” Tangan Haikal pantas meleraikan cerutan tali lehernya akibat kepanasan. Mana tidaknya, hampir satu jam dia menunggu sahabatnya yang seorang itu.

“Sorrylah, Kal. Aku bukan sengaja. Si Iefa mengamukkan aku kat rumah tadi. Mana tak... habis baju dia aku dah hanguskan. Bukan aku sengaja. Dia pun satu. Yang dia biarkan baju vouge dia tu kat atas meja tu apasal?! Aku tak nampak. Aku pun dengan tak sengaja terletaklah seterika yang tengah panas membara tu kat atas baju dia. Lagipun aku nak cepat masa tu. Tak alih-alih, lepas je aku habis mandi…. si Iefa dah terpekik terlolong kat luar. Aku ingatkan anak dara sorang tu terkena histeria ke apa… rupa-rupanya tengah melalak menatap baju dia yang dah terlopong tu. Almaklumlah… baju beli kat luar negaralah katakan. Mengamuk sakan dia kat aku tadi.”

Haikal tidak dapat menahan gelak apabila mendengarkan celoteh panjang Wardina yang agak menggelikan hatinya itu. Wajah tampannya bertukar menjadi merah kerana menahan ketawa. Kelakuan Wardina sejak dulu lagi memang begitu. Ada sahaja cerita-cerita menarik daripada gadis berperwatakan manja itu yang boleh membuatkan Haikal tidak kering gusi mendengarnya.

“Kesiannya… aku pada kau, Dina. Tak pasal-pasal kena jadi mangsa amuk dek member sendiri. Adoiiii… kau orang ni tak habis-habis mencetuskan lawak antarabangsa korang tu.” Haikal menyambung gelaknya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Itulah pasal! Kesian aku kan? So… kau dah tak marahkan aku lagilah ni?”

“Tidak… Profesor Wardina binti Mirnawan oiiii….!!” Sahut Haikal panjang sambil mengusik manja.

“Iye ke? Kalau macam tu… kaulah kawan aku dunia akhirat.” Puji Wardina sambil tersenyum lebar, sekadar mengambil hati orang yang amat dikasihinya itu. Wardina memang bijak melindungi perasaan terpendamnya itu terhadap Haikal. Dia seboleh-bolehnya cuba mengawal perasaan gemuruh yang melanda kalbunya itu setiap kali berhadapan dengan Haikal agar dia tidak kehilangan kata-kata. Dia telah bertekad tidak akan sekali-kali membiarkan rahsianya itu terbongkar. Wardina rela meskipun tindakan itu akan membakar dirinya sendiri.

“Ha… kenapa kau nak jumpa aku sangat ni? Ada hal penting ke?” Tanya Wardina.

“Oh… hampir terlupa aku nak bagi tahu kau. Sebenarnya tak adalah penting sangat hal yang aku nak sampaikan pada kau ni. Cuma, aku ada satu berita gembira. Tak lama lagi aku akan jadi raja sehari!”

“Apa? Kau nak kahwin?” Wardina terkejut bukan kepalang. “Oh!… errr… dengan siapa? Norli ke?”

“Iyalah! Habis… dengan siapa lagi? Takkan dengan kau kot?” Seloroh Haikal tidak diendahkannya. Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati perempuannya.

“Tapi, bukannya sekarang. Tengoklah… kalau tak ada aral melintang, mungkin bulan depan. Aku cuma merancang je dulu. Keluarga aku nak datang merisik. Kalau keluarga belah perempuan setuju… hah! Kahwinlah aku!”

“Oh… .baguslah kalau macam tu. Aku tumpang gembira, Kal. Aku doakan kau dan Norli kekal bahagia. Kalau buat majlis nanti… jangan lupa jemput aku!”

“Eh, of course! Kalau kau nak tahu, kaulah orang pertama yang aku bagitahu berita gembira ni tau. So, kau pula, bila lagi, Dina? Dah nak masuk 4 tahun aku kenal kau. Tak pernah pula kau ceritakan pada aku tentang boyfriend kau? Hei… takkan dengan aku pun nak berahsia!”

Wardina sebak mendengar setiap kata-kata yang terluncur daripada bibir Haikal. Airmatanya seakan mahu menitis namun cuba ditahannya. Dia harus kuatkan semangat menerima pengakuan Haikal itu agar tidak sampai mengalirkan airmatanya di situ. Segala-galanya telah jelas kini. Kadangkala dia malu pada dirinya sendiri kerana mendambakan cinta yang tidak pasti daripada sahabat baiknya sendiri sehingga tidak mahu menerima lelaki lain dalam hidupnya selain Haikal. Wardina tidak boleh terus lama di situ. Dia perlu beredar segera sebelum air jernih di kelopak matanya itu gugur ke bumi.

“Haikal, baru aku teringat. Sepatutnya hari ni aku ada appointment. Dah janji dengan client. So… I’m really really sorry. Aku terpaksa pergi dulu. Lainkali kita jumpa lagi, ye. Bye!” Kedengaran sebak suaranya mengucapkan kata-kata itu. Haikal tidak berpeluang untuk bertanya lagi. Wardina pergi bagaikan puting beliung. Terlalu laju. Mujur Haikal tidak mengesyaki apa-apa terhadap Wardina. Dia mula mengatur langkah untuk pulang. Tiba-tiba matanya terpandang ke arah sebuah beg kertas di atas tempat duduk Wardina sebentar tadi. Nampaknya Wardina terlupa untuk membawa begnya itu bersama.Haikal mencapai beg itu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia membawa pulang sahaja beg itu ke rumahnya dan bertekad akan memulangkannya kepada Wardina sekiranya ada masa nanti.

************************

Bammmmmmmm….!!!!! Pintu bilik dihempas kuat. Haikal memetik pantas suis kipas lalu menghempas kasar tubuhnya ke atas katil bujangnya. Perasaan marah bercampur kecewa menyentak-nyentak nalurinya ketika itu. Dia merenung tajam ke arah kipas yang sedang ligat berpusing di siling. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mencampakkan tubuh Norli ke arah kipas itu. Biar dia rasakan penangan akibat perbuatannya itu. Perasaan marahnya semakin menjadi-jadi apabila wajah Norli menjelma di ingatannya sekaligus mengingatkannya kembali pada peristiwa yang berlaku sebentar tadi.

“Norli!!! Siapa dia ni??!!! Haikal terus bertanya kepada Norli kerana inginkan kepastian sewaktu mereka terserempak di tempat letak kenderaan berdekatan dengan pusat membeli-belah. Haikal telah bergegas meluru ke arah Norli setelah dilihat dengan mata kepalanya sendiri, kekasihnya itu berjalan sambil berpeluk-pelukan dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Wajah Norli kelihatan pucat kemerahan menahan ketakutan kerana rahsianya telah terbongkar.

Kala itu, Haikal tidak dapat menahan kemarahannya atas perlakuan curang Norli lalu dia bertindak menampar pipi milik gadis itu tanpa perlu menunggu penjelasan daripada mulutnya lagi. Sejurus kemudian, tumbukan hebat daripada teman lelaki Norli pula hinggap tepat ke arah muka bengis Haikal. Haikal terduduk sambil menahan kesakitan. Darah akibat tumbukan itu mula mengalir keluar malalui mulutnya. Dia benar-benar rasa tercabar lalu cuba membangkitkan semula tubuhnya dengan perlahan-lahan sambil tangannya pantas mengesat sisa darah di bibirnya. Haikal membalas tumbukan lelaki itu dengan kuat membuatkan dia tercampak ke arah tembok batu di situ. Hatinya semakin panas apabila melihat perlakuan Norli yang lebih menyebelahi lelaki itu. Kala itu, Haikal berasa cukup terhina. Dengan pantas, dia meluru ke arah lelaki yang telah berada di pangkuan Norli itu untuk cuba berlawan lagi dengannya.

“Haikal, stop it!!! Please give me a chance to explain!” Haikal terhenti.

“Kau nak explain apa lagi?! Depan mata aku, Norli!! Aku dah tak nak dengar lagi! Sekarang, baik kau cakap… siapa yang kau pilih? Aku atau jantan keparat ni?!!!”

“Baiklah… Aku minta maaf Haikal sebab aku telah merahsiakan hal ni daripada pengetahuan kau. Kalau kau nak tahu, dialah bakal tunang aku. Kami akan bertunang tak lama lagi. Sebenarnya dah lama aku nak bagi tahu kau tentang hal ni tapi aku tak sampai hati. Aku tahu kau terlalu baik pada aku. So… sekarang kau dah fahamkan? Aku harap, cukup sampai di sini sahaja hubungan kita. I’m sorry, Kal.” Tegas Norli dengan nada perlahan.

Wajah Haikal serta-merta berubah menjadi pucat dan merah. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. ‘Sampai hati kau, Norli. Setelah sekian lama kasih sayang yang ku berikan hanya untuk kau, ini balasan kau terhadap aku! Kejam sungguh dirimu!’ Dada Haikal benar-benar sebak. Airmatanya seakan mahu gugur namun ditahannya lantaran keegoannya sebagai seorang lelaki. Dia bertekad tidak akan tunduk kepada perempuan.

Lamunan Haikal tersentak apabila bibirnya terasa pedih.Pedihnya luka itu tidak dapat menandingi luka di hatinya saat itu. Dia masih tidak mempercayai akan apa yang telah terjadi. Kasih sayang yang dicurahkan kepada Norli selama ni ternyata sia-sia. Dia menjadi benci kepada Norli. Meskipun agak sukar untuk dia melupakan gadis itu namun Haikal bertekad tidak akan sekali-kali berpaling kembali. Dia pasrah. Tiba-tiba matanya tertancap ke arah sebuah beg kertas yang tersangkut kemas di belakang pintu biliknya. Sudah hampir seminggu beg itu tersadai di situ tanpa disentuh.

Hatinya berdetik untuk mengetahui isi beg itu lantas mencapainya. Haikal mengeluarkan sebuah diari biru yang sangat cantik milik Wardina itu dari dalam beg kertas tersebut. Entah mengapa, hatinya meronta untuk membacanya. Dia tertarik untuk cuba membaca serangkap coretan yang ditulis dengan menggunakan pen berwarna merah hati di dalam diari itu.

“Bagaimana harus aku menyatakan hal yang sebenarnya? Mungkinkah impian ini hanya akan berlalu dan lenyap seperti mimpi? Aku tak sanggup ambil risiko. Seandainya Haikal tahu cintaku terhadapnya, aku bimbang Haikal tidak dapat menerimanya. Pasti persahabatan yang telah kita bina sekian lama akan musnah bagaikan debu. Aku tak sanggup kehilangan Haikal. Daripada aku akan kehilangan Haikal, lebih baik aku pendamkan sahaja perasaan ini. Biarlah cinta ini akan terus kekal menjadi rahsia. Aku rela. Bagi diriku, cinta adalah sekali seumur hidup. Haikal merupakan satu-satunya lelaki yang berjaya mengetuk pintu hati ini setelah sekian lama terkunci. Dialah cinta pertamaku. Andainya tiada jodoh antara kami…. biarlah aku pasrah pada takdirnya. Aku berserah pada Allah untuk menentukan masa depanku. Aku akan cuba menerima sesiapa sahaja yang sudi mengisi kekosongan hati ini dan menerima lamaran mereka. Semoga ikatan perkahwinan itu bisa membunuh segala harapan yang tiada kepastian. Biarlah… kalau jodoh kita bukan di dunia, Aku bermohon pada Allah agar kita akan dipertemukan di syurga kelak, Haikal”

Haikal tergamam. Diari itu ditutupnya semula. Dia tidak menyedari yang airmatanya telah mengalir sewaktu sedang leka membaca luahan hati Wardina itu. Haikal mengesat airmatanya itu dengan perlahan. Saat itu, dia merasakan dirinya seolah-olah berada di alam mimpi. Haikal seperti tidak percaya dengan apa yang telah dibacanya. Tidak terbenak pun di fikirannya selama ini bahawa Wardina memendam suatu perasaan terhadap dirinya. Selama ini, dia fikirkan Wardina hanya menganggapnya tidak lebih daripada seorang kawan baik. Meskipun telah hampir empat tahun mereka berdua menjalinkan persahabatan namun Haikal tidak pernah langsung menyedari akan perasaan suci yang lahir dari hati sahabatnya itu.

‘Bijak sungguh Dina menyembunyikan perasaannya itu terhadap aku.’ Detik hati kecilnya bagai tidak percaya sambil kepalanya digeleng perlahan. Dia tersenyum sendirian. Perasaan terharu tidak dapat digambarkan kala itu. Kini, bayangan wajah Norli dan Wardina bersilih ganti di fikirannya.

******************************

“Ya Allah, Ya Rabbi…! Apa dah jadi dengan rumah ni, Dina? Kau mengamuk ke? Habis barang-barang dalam rumah ni berkecah! Astaga! Dah macam tempat kucing beranak dah rumah ni!” Iefa merungut apabila melihat keadaan di sekeliling ruang tamu yang berkecah itu.

“Iefa, kau ada nampak tak diari aku? Kat mana entah aku letak. Tak ingat betul aku!”

“Laa…. cari diari rupanya. Cari diari pun dah macam kena rasuk polong! Dasyat betullah kau ni!”

“Cepatlah, Iefa! Kau ada nampak tak kat mana aku letak diari biru kesayangan aku tu?” Wardina semakin tidak tentu arah. Tangannya pantas sahaja menyelongkar semua buku-buku di dalam almari.

“Manalah aku tahu. Sepanjang aku duduk kat rumah ni dengan kau… tak pernah langsung aku sentuh diari kau tu. Macam mana rupa diari kau tu pun aku tak tahu. Inikan pula aku nak ambil.”

“Alamak!!! Habislah aku macam ni. Siapa pulak yang ambil diari aku tu? Pelik betul aku.Tak kanlah diari aku tu lari pulak?”

“Eh… mana tau tiba-tiba je diari kau tumbuh kaki! Hahahahahaha…..!” Iefa berseloroh.

“Apasal? Penting sangat ke diari tu? Aku tengok kau cari diari dah macam cari orang! Barang-barang kat rumah ni juga yang jadi mangsa. Alahaiiiiiiiii… dahlah aku ni penat, Dina. Bertambah penat aku bila tengok keadaan rumah ni tau! Sudah! Aku tau, kau kemas rumah ni sorang-sorang macam sediakala. Aku tak sanggup….!” Iefa terus meluru ke bilik dengan selamba.

“Iefa, teruklah kau ni! Bukannya nak tolong carikan ke apa! Selamba dek jek muka dia masuk bilik! Aku tengah risau ni tau! Diari tu penting. Kalau tercicir, mampus aku dibuatnya!!!!” Wardina terjelepuk keletihan. Bibirnya digetap tanda geram yang teramat. Dia mengesat peluh yang memercik di dahinya. Sejurus kemudian, telefon di ruang tamu berdering. Wardina bangkit dengan lemah menuju ke arah telefon yang terletak di atas meja bulat.

“Hello!!!! Siapa tu??!!!" Jawab Wardina separuh menengking.

“Ya Allah… kenapa dengan kau tu, Dina? Nak pecah gegendang telinga mama ni dibuatnya.”

“Errr… Mama! Ada apa hal ni, Ma?”

“Yang kau tu apa hal pulak? Kau bergaduh dengan si Iefa ke?”

“Eh, tak adalah, Mama. Dina cuma tension je ni. Diari Dina hilanglah, Ma. Mama ada nampak tak?”

“Laa… yang kau tanya Mama apa kena? Mama tinggal serumah dengan kau ke?”

“Dina risaulah, Ma. Mana entah pergi diari Dina tu? Dina betul-betul lupa tentang diari tu sejak kebelakangan ni. Entah macam mana tadi, Dina teringat semula. Bila Dina tengok kat dalam laci, diari tu dah tak ada kat situ. Diari tu penting, Ma.”

“Macam manalah anak Mama ni? Cuai tak sudah-sudah! Dina letak kat mana? Jangan-jangan tercicir tak?”

“Ala… kalau tercicir, habislah Dina!” Wardina bertambah risau. Jarinya ligat menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Sudahlah tu, Dina. Kau jangan risau lagi. Nanti taulah Mama belikan yang baru. Yang lebih cantik, ya?” Puan Fuziah cuba melegakan perasaan anak perempuan tunggalnya itu.

“Senang je Mama cakap! Mama ingat diari tu boleh senang-senang je ditukar ganti macam kita tukar baju?” Ujar Wardina dengan nada merajuk.

“Okeylah. Mama minta maaf. Mama bukannya sengaja. Macam nilah, esok… masa Dina nak pergi mengajar kat kampus nanti, Dina cuba cari betul-betul kat sana. Manalah tau kot-kot Dina tertinggal kat bilik kuliah semasa sedang mengajar ke? Nanti Mama cuba pulak carikan diari Dina tu kat rumah Mama ni. Mungkin Dina tetinggal kat sini.” Wardina hanya membisu.

“Sebenarnya, Mama ada hal penting nak dibincangkan dengan Dina ni.”

“Hal apa pulak tu, Mama?”

“Macam ni… semalam ada orang datang ke rumah kita untuk merisik tanya tentang anak gadis Mama ni.”

“Merisik? Dina tak berapa jelaslah, Ma.” Wardina masih ragu-ragu.

“Mama telefon ni pun sebab nak tanya dengan diri Dina sendirilah sama ada Dina setuju atau tidak menerima lamaran mereka semalam.”

“Apa? Ada orang datang melamar Dina? Mama tak bergurau ke ni?”

“Ya, sayang! Macam mana? Apa keputusan Dina? Dina bersetuju?”

“Iyalah, Mama bukan apa… usia Dina pun dah meningkat dewasa. Dah 23 tahun pun anak dara kesayangan Mama ni. Jadi, elok benarlah kalau Dina mendirikan rumahtangga. Mama dan Papa tak kisah. Keluarganya pun terdiri daripada orang yang baik-baik. Mama berkenan sangat, Dina. Mama rasa, Dina pun tentu suka!” Jelas Puan Fuziah apabila dilihatnya Wardina hanya diam membisu. Nada suaranya jelas menunjukkan yang dia sangat mengharap agar anaknya itu berkahwin.

“Baiklah, Mama. Kalau Mama dan Papa rasakan yang ianya baik untuk Dina, terpulanglah pada Mama. Dina tak kisah. Lagi pun Dina memang belum berpunya.” Wardina tidak mahu berfikir panjang lagi. Dia perlu akur dengan janjinya untuk menerima sesiapa sahaja yang sudi melamarnya. Dia berserah nasibnya itu kepada Allah yang Maha Esa. Kalau lelaki itu telah ditakdirkan untuk menjadi suaminya, dia redha. Dia nekad akan cuba membuang jauh perasaan sucinya terhadap Haikal dan berusaha memupukkan perasaan itu pula terhadap bakal suaminya. Wardina pasrah. Kala itu, airmatanya telah gugur membasahi pipi gebunya. Mujur dia dan ibunya tidak berbincang secara bersemuka. Jika tidak, pasti ibunya dapat melihat airmatanya yang gugur satu persatu itu.

“Betul ke Dina bersetuju? Alhamdulillah, Dina. Tercapai juga hasrat Mama untuk melihat Dina berumahtangga. Mama bukan apa… kalau boleh, sebelum Allah mengambil nyawa Mama, Mama teringin nak melihat Dina bersuami dan melahirkan cucu-cucu Mama.”

“Mama janganlah cakap macam tu. Mama buat Dina takut je. Mama jangan bimbang. Dina benar-benar ikhlas menerima lamaran tu.” Ujar Wardina cuba meyakinkan Mamanya.

“Kalau macam tu, minggu depan… Dina bolehlah balik ke rumah untuk jumpa dengan bakal suami Dina tu nanti.” Puan Fuziah memberi cadangan.

“Mama, walaupun Dina dah setuju menerima lamaran mereka, tapi Dina rasa, Dina masih mempunyai hak untuk membuat keputusan Dina sendirikan? Sebenarnya, Dina ada satu permintaan. Dina harap, Mama boleh menerima permintaan Dina ni. Buat masa ni, Dina tak mahu lagi berjumpa dengan bakal suami Dina tu. Kalau boleh, Dina tak mahu melihat dan berjumpa dengan dia sehingga hari akad nikah nanti.”

“Eh, kenapa macam tu pulak, Dina?”

“Mama, Dina harap Mama menghormati keputusan Dina ni, ya Mama? Okeylah, Ma. Dina ada kerja lain ni. Nanti kita bincang lagi, ya? Assalamualaikum, Ma.” Dina meletakkan gagang dengan serta-merta. Puan Fuziah berasa aneh dengan permintaan Wardina sebentar tadi. Setelah meletakkan gagang telefon, dia terus tertawa kecil sambil mengeleng-gelengkan kepalanya kerana agak gelihati dengan keletah anak gadisnya itu.

********************************

Dada Wardina berdebar kencang. Sebentar sahaja lagi rombongan pengantin lelaki akan sampai. Wardina yang telah siap didandan oleh Mak andam yang ditempah khas kelihatan menawan sekali pada hari itu. Dengan mengenakan pakaian pengantin berwarna hijau dihiasi labuci–labuci kilat, menambahkan lagi seri pengantin di wajahnya. Namun begitu, hari bersejarah yang sepatutnya disambut dengan meriah dan istimewa itu tidak langsung dirasainya. Kala itu, hanya Allah yang mengerti gelodak yang ada di hati kecilnya. Persoalan timbul di benak Wardina, mungkinkah ikatan perkahwinan ini akan membuahkan kebahagiaan?

Wardina bertambah sayu apabila mengingati semula peristiwa pada bulan lepas sewaktu dia bertemu Haikal bagi menyatakan hasratnya untuk berkahwin. Saat itu, dia menuduh Haikal betul-betul seorang manusia yang tidak mempunyai perasaan. Dia telah pun mengetahui yang Haikal baru sahaja putus cinta dengan Norli. Oleh sebab itulah dia berjumpa Haikal dengan harapan Haikal akan cuba menghalangnya daripada mengahwini lelaki lain. Segala harapannya itu umpama mimpi. Sebaliknya Haikal menyambut gembira berita sedih itu. Wardina berasa pahit sekali untuk menelan segala kepedihan itu. Dia benar-benar terkilan dengan sikap Haikal. Ternyata selama ini dia memang bertepuk sebelah tangan.

Suara kompang telah mula bertalu menandakan mempelai lelaki telah sampai. Degupan jantung Wardina semakin kencang. Dia sendiri bagai tidak mengerti mengapa terjadi sedemikian. Kemungkinan dia terlalu berdebar menantikan kemunculan bakal suaminya itu kerana mereka berdua belum pernah lagi dipertemukan dan mengenali antara satu sama lain. Memanglah terasa lain macam. Apabila difikir-fikir semula, tindakannya itu memang tidak masuk akal. Mujur keluarga pihak lelaki tidak merungut atau meragui sesuatu ke atas tindakan anehnya itu selama ini.

Suara hiruk–pikuk para jemputan serta sanak saudara di luar semakin kuat kedengaran. Terdapat suara-suara yang memuji akan ketampanan mempelai lelaki dan ada juga yang mengusik-usik dengan berbagai-bagai usikan. Wardina menanti kedatangan pengantin lelaki ke biliknya dengan penuh debaran. Sebentar sahaja lagi, dia akan sah bergelar isteri orang. Saat itu, bayangan wajah Haikal semakin bermain-main di fikirannya. Matanya melilau mencari kelibat Haikal melalui pintu biliknya yang sedikit terbuka.

Saat-saat yang dinantikan telah tiba. Pengantin lelaki telah mula diarahkan masuk ke kamar untuk bertemu dengan pengantin perempuan bagi menjalankan upacara pembatalan air sembahyang. Wardina hanya mampu menundukkan kepalanya. Perasaan bersalah bercampur malu timbul secara tiba-tiba dibenaknya sehingga menjadikan dia tidak berupaya untuk menatap wajah itu. Setelah cincin tersarung di jari manisnya,Wardina mencium tangan suaminya itu sambil memohon restu. Wardina nekad. Dia tidak peduli. Kali ini dia mesti memandang wajah suaminya itu dan memberikan senyuman yang cukup menawan sekaligus menebus segala kesilapan terhadap tindakan bodohnya selama ini. Namun begitu, belum sempat pun Wardina mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba suaminya telah terlebih dahulu menghulurkan sebuah diari yang amat dikenalinya itu kepadanya.

Wardina tersentak. Pandangannya segera dialihkan ke wajah lelaki yang berada di hadapannya itu dengan pantas. Sekali lagi dia terkaku. Dia merenung tepat ke anak mata Haikal dengan seribu tanda tanya. Wardina cuba memerhatikan ke sekeliling ruang bilik itu bagi memastikan yang dia tidak bermimpi ketika itu. Haikal tersenyum nakal. Wardina tidak lagi menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Lidahnya kelu untuk mengeluarkan kata-kata. Tubuhnya seakan kejang. Dia berterusan merenung kaku ke arah Haikal yang segak berpakaian pengantin, sedondon dengan pakaiannya.

Seluruh para jemputan bagaikan terpukau. Mereka semua turut terkaku menyaksikan gelagat aneh kedua-dua mempelai itu. Ibu dan bapa Wardina saling berpandangan lalu kedua-dua mereka tertawa kecil akibat tidak dapat menahan perasaan lucu mereka apabila melihat aksi anak gadis mereka itu. Sememangnya mereka telah dapat menduga dari awal bahawa perkara ini pasti akan terjadi. Bijak sungguh papa dan mama Wardina mengatur rancangan ini bersama-sama keluarga Haikal. Rupa-rupanya keluarga Haikal dan keluarga Wardina telah sama-sama bersepakat untuk membuat satu kejutan pada Wardina selepas saja mengetahui akan permintaan Wardina dahulu. Silap Wardina juga kerana tidak mahu langsung melihat wajah bakal suaminya sebelum ini.

Air mata Wardina telah mula mengalir dipipinya tanpa sedar. Dia benar-benar tidak dapat menahan perasaan terharu yang tersimpan di sanubarinya. Sekilas itu, dia teringatkan kembali kata-kata sahabat baiknya,Iefa. - “Kalau ada jodoh kau dengan dia, tak akan ke mana.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Dengan serta-merta Wardina mencari-cari kelibat Iefa. Matanya terpandang tepat ke arah Iefa yang sedang berdiri di muka pintu sambil mengukirkan senyuman yang cukup bermakna kepadanya. Dia membalas senyuman Iefa sambil mengesat perlahan airmata di pipinya. Iefa sempat mengusik nakal dengan mengenyitkan matanya ke arah Wardina. Saat itu, Wardina dapat melihat air jernih yang turut mengalir di pipi Iefa seolah-olah Iefa sendiri dapat merasakan kegembiraan yang sedang dialaminya.

“Terima kasih kerana sudi menerima lamaran Haikal. Mulai hari ni, tak akan ada sesiapa yang boleh memisahkan kita. Ambillah diari ni. Aku minta maaf kerana telah membacanya tanpa keizinan kau. Anyway… I love you, sayang!” Haikal mengucup lembut dahi Wardina.

Wardina semakin sebak. Dia benar-benar rasa terharu sehingga membuatkan dia tidak dapat menahan airmatanya daripada terus mengalir. Dia menyambut diarinya itu daripada genggaman Haikal sambil membalas senyuman Haikal yang cukup bermakna itu. Wardina memanjat kesyukuran pada yang Esa di atas segala ketentuanNya. Kini, barulah dia benar-benar dapat merasakan kenikmatan menjadi raja sehari sekaligus memenuhi impiannya selama ini untuk menjadi permaisuri hidup Haikal.

‘Hakcipta terpelihara’
-Hafizah/Leen_Qadida-
(February 2001)


Dynamic Glitter Text Generator at TextSpace.net

No comments: